ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: HIKMAH BERPUASA !!!

Friday, 12 July 2013

HIKMAH BERPUASA !!!


Di dalam berpuasa, setiap Muslim diperintahkan untuk meninggalkan pelbagai syahwat (nafsu), makanan, dan minuman. Itu semua dilakukan semata-mata kerana Allah. Sepertimana dalam hadis qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud,
“Dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu,” (Riwayat Muslim)

Antara hikmah meninggalkan nafsu dan kesenangan dunia ketika berpuasa adalah :

Pertama : Dapat mengendalikan jiwa dengan baik. Apabila seseorang itu berasa terlalu kenyang kerana makan dan minum serta nikmat kepuasan ketika melakukan hubungan suami isteri akan membuatkan seseorang itu lupa diri, kufur dengan nikmat Allah dan menjadi leka serta lalai. Oleh itu, dengan ibadah puasa dapat membantu seseorang hamba itu memelihara jiwanya daripada menjadi kotor.

Kedua : Hati akan sentiasa cenderung untuk melakukan hal-hal baik dan mengingati Allah SWT. Apabila seseorang itu terlalu memikirkan kesenangan duniawi dan terbuai dengan makanan-makanan yang dimakan, hati akan terpesong daripada memikirkan hal-hal kebaikan dan menjauhi Allah. Dengan itu, hati akan bercahaya, menjadi lembut dan semakin mudah untuk bertafakur serta berzikir kepada Allah.

Ketiga : Rasa bersyukur akan terbit dengan segala nikmat yang dikecap berbanding dengan mereka yang memerlukan seperti orang fakir, miskin dan yatim piatu. Dengan adanya rasa syukur itu, mereka yang berkemampuan akan dengan senang hati berbahagi harta dengan mereka yang memerlukan iaitu dengan erti kata lain bersedekah. Amal jariah yang dilakukan menandakan seseorang itu menunjukkan rasa terima kasih kepada Allah. Segala rezeki yang dikecap adalah pemberian daripada-Nya.

Keempat : Berpuasa dapat membantu mengehadkan perjalanan darah. Seperti yang diketahui umum, syaitan itu berada dalam pengaliran darah manusia. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,“Sesungguhnya syaitan mengalir dalam diri manusia pada tempat mengalirnya darah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, berpuasa dapat menenangkan syaitan yang sering kali menyebabkan was-was dalam diri manusia dan dapat menghindarkan daripada rasa marah dan bernafsu. Oleh yang demikian, Rasulullah menjadikan puasa sebagai salah satu ubat yang mujarab bagi orang yang ingin bernikah tetapi belum sampai waktunya.

Menjadi Lebih Baik
Di bulan Ramadan, setiap umat Islam harus menjauhi segala perbuatan keji dan maksiat supaya amalan puasa yang dikerjakannya menjadi tidak sia-sia, tetapi apa yang diperolehnya hanyalah lapar dan dahaga. Setiap manusia harus berusaha menjaga lisannya daripada mengeji dan mengutuk orang lain dan pelbagai perkataan maksiat termasuk berdusta, melakukan maksiat dan hal-hal lain yang sia-sia.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, “Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum sahaja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan lagwu dan rofats. Apabila ada seseorang yang mencelamu tau berbuat usil padamu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa”,” (Riwayat Ibnu Majah dan Hakim). Lagwu bererti perkataan sia-sia atau tidak berfaedah. Manakal rofats adalah istilah untuk setiap hal yang diinginkan lelaki kepada wanita atau kata-kata berbaur kotor dan keji.

Sekiranya seorang Muslim itu dalam keadaan berpuasa, maka hendaklah dia menjaga pendengarannya, penglihatannya dan lisannya daripada hal-hal yang haram serta jangan sesekali menyakiti jiran. Jangan jadikan hari puasa sama seperti hari-hari biasa. Dikatakan seburuk-buruk puasa apabila seseorang itu hanya dapat menahan lapar dan dahaga sedangkan perbuatan maksiat masih berleluasa.

Oleh yang demikian, ketika datangnya bulan Ramadan setiap insan harus menjadi lebih baik dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain kerana banyaknya ganjaran pahala yang ditawarkan Allah untuk hambanya. Mereka yang sebelum ini malas untuk menunaikan solat lima waktu, seharusnya sedar dengan kelalaian itu. Juga bagi kaum lelaki untuk bersolat jemaah di masjid bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi pada bulan-bulan selainnya. Begitu juga wanita-wanita yang mengenakan tudung pada bulan Ramadan. Hal tersebut sepatutnya dijaga dengan sempurna pada bulan yang lain. Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda, “(Ketahuilah bahawa) amalan yang dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Abu Dawud, An Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah). Ada juga para ulama yang mengatakan “Seburuk-buruk kaum adalah yang mengenal Allah (rajin ibadah) hanya pada bulan Ramadan sahaja.”

No comments:

Post a Comment