Tindakan calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azlan @ Endot Yusof berbaiah (bersumpah) di hadapan umum dalam majlis pengumuman oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundang pelbagai persepsi dari pelbagai lapisan masyarakat.
Antara yang turut gusar tentang perkara itu adalah Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali yang berkata baiah perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran di antara individu yang melafazkan sumpah berkenaan dengan Allah.
Beliau yang khuatir tentang masalah itu meminta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk melihat perkara itu daripada beberapa sudut berbeza termasuk mendengar suara dari peringkat akar umbi yang mahu perkara seperti itu dilakukan dengan baik supaya tidak menyinggung perasaan orang lain dan menimbulkan fitnah yang boleh memcahbelahkan masyarakat Islam.
Sementara itu, lafaz baiah tersebut berbunyi:
"Bahawa saya Azlan Endot Yusof berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasulnya serta patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.
"Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ADUN adalah haram dan bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk meletakkan jawatan dari menjadi ADUN apabila saya keluar atau dipecat dari parti dan Allah bersaksi atas apa yang saya tuturkan ini."
Penulis merasakan tidak perlulah untuk Azlan besumpah sampai sedemikian rupa, memadailah jika benar beliau ingin berbakti maka berbaktilah dan bukannya menunjuk-nunjuk kononnya hanya dengan bersumpah dapat membuktikan bahawa beliau ikhlas dalam perjuangan.
Pada pandangan penulis yang tidak berilmu ini apa yang dilakukan oleh Azlan dan pimpinan tertinggi PAS hanyalah untuk meraih undi pada PRK yang akan berlangsung nanti.
No comments:
Post a Comment