ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PENGGANGUR DIBERKAS POLIS SELEPAS DUA JAM LAKUKAN LAPAN JENAYAH SAMUN !!!

Monday 7 April 2014

PENGGANGUR DIBERKAS POLIS SELEPAS DUA JAM LAKUKAN LAPAN JENAYAH SAMUN !!!



Ipoh, 7 April - Seorang penganggur yang dipercayai melakukan lapan kes jenayah samun dalam tempoh dua jam di sekitar bandar raya ini semalam diberkas.

Dia diberkas ketika cuba melarikan diri ke kebun jagung di Chemor.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata suspek berusia 26 tahun itu dipercayai menyamun di lapan lokasi berasingan antara pukul 6 hingga 8 pagi sebelum ditahan pada pukul 9.30 pagi.

"Semalam suspek dipercayai telah menyamun tujuh premis termasuk beberapa stesen minyak, pasar mini 24 jam dan kedai runcit dalam tempoh dua jam sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya yang bertindak atas maklumat telah melancarkan operasi serta-merta bagi mengesan suspek.

"Suspek yang menyamun sebuah stesen minyak di Kampung Tawas bertindak agresif dengan melibas rantai besi ke arah polis yang cuba menahannya di premis berkenaan," katanya.

Sum berkata suspek kemudiannya melarikan diri ke arah pekan Chemor.

"Polis kemudiannya menemui suspek di sebuah kebun jagung berhampiran pekan Chemor setelah suspek menyamun sebuah motosikal," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati suspek positif methamphetamine dan turut mempunyai tiga rekod jenayah iaitu melibatkan kes curi dan dadah.

Kerugian lapan kes samun itu melibatkan wang tunai RM2,000 serta barangan lain bernilai RM300.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan kerana melepaskan satu tembakan menggunakan sepucuk senapang patah di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Kuang, Chemor.

Sum berkata lelaki itu telah menyalahgunakan lesen senjata api yang dimilikinya dan bertindak melepaskan tembakan mengikut emosi.

"Dia dikatakan melakukan perbuatan itu pada pukul 3 petang selepas bergaduh dengan iparnya yang berusia 71 tahun. Kita merampas sepucuk shotgun, tiga peluru hidup dan satu kelongsong yang dipercayai digunakan untuk melepaskan tembakan," katanya.

Beliau berkata pengusaha ladang kelapa sawit itu boleh dipenjara minimum dua tahun jika sabit kesalahan.

"Kejadian difahamkan berpunca daripada masalah keluarga apabila suspek dan iparnya bergaduh mengenai sebidang tanah milik keluarga," katanya. 

BERNAMA

No comments:

Post a Comment