ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DALAM RUMAH PUN DAH TAK SELAMAT !!! PEMUDA CEDERA DITETAK LELAKI BERTOPENG KETIKA SEDANG TIDUR !!!

Monday 7 April 2014

DALAM RUMAH PUN DAH TAK SELAMAT !!! PEMUDA CEDERA DITETAK LELAKI BERTOPENG KETIKA SEDANG TIDUR !!!


KOTA BHARU- Seorang pengusaha kedai makan bukan sahaja cedera di tangan kiri selepas ditetak lelaki bersenjatakan kelewang malah turut  kerugian RM2,500 dalam kejadian samun di rumah sewanya di Kampung Paya Senang, Bunut Payong, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Amiru Wan Salleh 26, diserang lelaki berkenaan secara tiba-tiba yang masuk ke dalam rumahnya dan menendang pintu biliknya yang dikunci dari dalam.

Menurutnya, dia yang menyewa rumah berkenaan berseorangan sejak setahun lalu, dikejutkan dengan kehadiran lelaki itu yang bertopeng dan bersenjatakan kelewang.

“Sebelum kejadian kira-kira jam 8.15 malam semalam (kelmarin) saya sedang nyenyak tidur dalam bilik selepas pulang dari berniaga.

“Saya hanya sedar dari tidur selepas terdengar bunyi pintu ditendang lelaki berkenaan yang terus menghampiri saya dan menghanyung kelewangnya yang terkena pada tangan kiri saya,” katanya.

Mohd Amru berkata, dalam kesakitan dia hanya mampu mendiamkan diri dan lelaki terbabit memintanya memberikan wang miliknya yang disimpan dalam bilik itu bernilai RM 1,000 serta dua jenis telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Note.

“Selepas mengambil telefon dan wang tunai milik saya, lelaki itu terus melarikan diri dalam cuaca yang gelap.

“Saya nekad menunggang motosikal berseorangan menuju ke klinik yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah walaupun dalam kesakitan bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke hospital,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di wad Hospital Raja Perempuan
Zainab II (HRPZ II) semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisiner Azham Othman berkata siasatan awal mendapati pintu gril hadapan rumah mangsa terbuka serta kunci mangga telah dipotong oleh suspek.

“Lelaki itu telah mengambil wang tunai milik mangsa selain turut mengambil dua jenis telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Note," katanya.

Mangsa kini berada di HRPZ II dalam keadaan stabil.

Azham berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyamun yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke balai polis  berhampiran atau melaporkan terus kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan.
SH

No comments:

Post a Comment