ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UPDATE TERKINI TRAGEDI NAHAS BAS DI GENTING (VIDEO INSIDE)

Thursday, 22 August 2013

UPDATE TERKINI TRAGEDI NAHAS BAS DI GENTING (VIDEO INSIDE)





KUANTAN - Bas yang terjunam ke dalam gaung di Km 3.5 Jalan Genting Highlands, hilang kawalan sejauh 100 meter sebelum melanggar tebing dan jatuh ke dalam gaung itu, kata Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani.

Katanya siasatan awal juga mendapati sebanyak 48 tiket dijual namun bilangan penumpang yang menaiki bas bernombor pendaftaran WGA 4136 berkenaan lebih daripada itu.

Kejadian dilapor berlaku 2.45 petang ketika bas berkenaan menuruni puncak Genting Highlands berdekatan Chin Swee Temple, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini. 

Nahas yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara itu mengorbankan 37 nyawa, manakala 16 lagi cedera

_____________________________________________________________________________                            

KUALA LUMPUR - Seorang daripada 16 mangsa yang terselamat dalam nahas bas di KM3.5 Jalan Genting Highlands semalam memberitahu, beliau berasa tidak keruan dan was-was ketika menaiki bas malang itu berikutan keadaan fizikal kenderaan yang uzur.

Dalam kemalangan tragis pukul 2.45 petang yang mengorbankan 37 nyawa itu, Nur Syamimi Ja'afar, 25, memberitahu, beliau melihat keadaan fizikal bas tidak baik seperti tayarnya yang sudah haus dan bas usang.

Beliau yang patah tangan kiri dan mengalami kecederaan di muka dan tangan itu menceritakan hal berkenaan kepada teman lelakinya, Zaid Ismail, 25, yang melawatnya di Hospital Selayang malam ini.

Zaid ketika ditemui Bernama berkata: "Selepas kejadian jatuh gaung, Nur Syamimi mencari adiknya, Nur Fathiah, 21, yang turut berada di dalam bas itu namun tercampak beberapa meter dari tempat duduk mereka.

"Nur Fathiah turut mengalami kecederaan ringan. Mereka kemudian merangkak keluar melalui tingkap yang pecah dan cuba membantu mangsa lain memandangkan mereka yang terawal sedar daripada kejadian itu.

"Mereka lihat ada mangsa yang pecah kepala, kecederaan serius selain melihat ada mangsa terperosok di bawah bas," kata Zaid.

Katanya Nur Syamimi memaklumkan kemalangan itu dengan menghubungi abang mereka yang dikenali sebagai Jeffrey sebelum diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat dan dibawa ke Hospital Selayang.

Zaid bersyukur kedua-dua adik-beradik, yang bercuti di pusat peranginan itu, terselamat dan tidak mengalami kecederaan parah memandangkan ramai yang maut dalam kemalangan berkenaan.

Seorang lagi mangsa, Nurul Quraitul Aini Md Jali, 19, pula memberitahu hari ini adalah hari terakhir beliau bekerja sebagai pekerja bankuet sebuah hotel.

Kakaknya, Nur Aini berkata adiknya merupakan orang kelima yang dibawa keluar dan diselamatkan pasukan keselamatan.

"Ibu dan kami semua terkejut dengan kejadian itu dan kami bergegas datang ke hospital dari Melaka sebaik sahaja adik menghubungi kami.

"Kami gembira dan bersyukur dia selamat dan dapat melihat serta berbual dengannya tadi," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Saidah Misbun, 19, sempat menghubungi ibunya yang berada di Perak sejurus kejadian.

Kakaknya, Sajidah Misbun, 21, memberitahu, panggilan adiknya itu terputus dan mereka semua bergegas ke Hospital Kuala Lumpur untuk melawatnya.

"Adik tidak sampai setahun kerja di Genting Highlands dan tidak sangka dia akan mengalami keadaan sebegini. Adik saya patah tulang rusuk belakang dan mungkin dihantar untuk pembedahan," kata Sajidah.

____________________________________________________________________________                              

KUALA LUMPUR - Identiti kesemua mangsa terkorban dalam kemalangan ngeri di Genting Highland akan dirahsiakan sehingga pengecaman mayat dibuat dan disahkan oleh waris.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. S.Jeyaindra, berkata, ia bagi mengelakkan berlaku kesilapan berikutan kebanyakan maklumat pengenalan diri gagal ditemui pada mangsa.

Menurutnya, kesemua 37 mayat kini berada di Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan proses bedah siasat telah bermula sejak kira-kira jam 11.20 malam tadi.

"Kita menjangkakan proses ini akan mengambil masa kira-kira 10 jam dan bedah siasatan dijangka selesai pada jam 9.30 pagi ini.

"Pengecaman akan dibuat oleh waris. Jadi kerana itu kita nasihatkan waris datang membawa maklumat dan dokumen peribadi mangsa sebagai pengesahan," katanya dalam sidang media di HKL malam tadi.

Bagaimanapun kata beliau, disebabkan ia tidak melibatkan mangsa terbakar, pengecaman mayat masih dapat dilakukan dengan mudah oleh ahli keluarga.

“Berhubung 16 mangsa yang terselamat beliau berkata, enam daripada mereka masih kritikal manakala 10 lagi stabil.

"Mangsa yang stabil kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur, Selayang, Sungai Buloh dan Bentong," katanya.

Beliau juga mengesahkan tiada kanak-kanak terlibat dalam tragedi itu.

Difahamkan sebanyak 18 ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membawa mangsa yang cedera ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Bernama

No comments:

Post a Comment