Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) meminta kepimpinan kerajaan negeri Kelantan jangan ego dan berlagak bodoh sombong apabila ada pihak menegur mereka.
"Jangan ego dan berlagak bodoh sombong bila ada pihak menegur, kita kononnya lebih tahu apa yang mahu dilakukan. "Bagi saya jika kita positif, teguran Dr Agus Yusof mengenai Kelantan sangat baik dalam konteks memperbaiki kualiti pemerintahan," kata Mazlan dalam tulisan di facebooknya.
Ia turut dimuat dalam ruangan rencana dalam The Malaysian Insider. http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/tiada-keghairahan-baru-dalam-politik-kelantan-2-prof-dr-mohammad-agus-yusof
Beliau mengulas reaksi beberapa pemimpin kerajaan negeri Kelantan terhadap teguran yang dibuat oleh Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusof terhadap pemerintahan kerajaan negeri Kelantan.
Dalam tulisannya Dr Agus berkata, tidak ada keghairahan baru dalam pemerintahan kerajaan negeri Kelantan selepas pilihan raya umum lalu.
Beliau bertanya, mana pergi dua projek besar kerajaan negeri sebelum ini iaitu Lebuhraya Rakyat dan stadium baru.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar menjawab tulisan itu dengan mempertahankan kerajaan negeri dan mempertikaikan tulisan Dr Agus itu.
Turut menjawab balik tulisan Dr Agus adalah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.
Bagi Mazlan, lebih ramai ahli akademik atau cerdik pandai membuat teguran, "itu tandanya mereka sayangkan kerajaan kita."
"Jangan berada dalam zon selesa atau asyik menggunakan alasan yang sama; Kerajaan Pusat anaktirikan Kelantan! Alasan ini sangat kukuh jika kita baru memerintah 7-8 tahun. Barang diingat kita perintah Kelantan 23 tahun," tegas Mazlan.
Bagi beliau, sama ada teguran pihak luar tepat atau tersasar, "kita harus menjadi pendengar yang baik."
Sehubungan itu, beliau berjanji akan bangkitkan kedudukan Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan PAS Pusat sebelum ini.
"Mungkin skopnya boleh diperluaskan, keanggotaannya ditambah dan ada sayap pemikir di beberapa sektor tertentu seperti pembangunan tanah, perumahan dan kebajikan rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment