Nuuk: Ketika Ramadan semakin hampir ke penghujung, berita seorang lelaki berpuasa selama 21 jam di Greenland, memberi pengajaran tersendiri.
Satu laporan televisyen Arab menyiarkan kisah orang Islam tunggal di Greenland yang juga warga Lubnan, Wassam Azaqeer, berpuasa hampir sepanjang hari, di sini.
Tempoh puasa panjang
Masa berpuasa begitu panjang kerana lokasi geografi Greenland di antara Atlantik Utara dan Lautan Artik menyebabkan matahari jarang terbenam ketika musim panas.
Wassam yang digelar ‘Columbus Arab’, sudah lama tinggal di Greenland, lapor laman web, ummid.com.
Beliau menguruskan perniagaan iaitu sebuah restoran yang menerima kunjungan kira-kira 200 orang sehari.
Selepas berpuasa selama 21 jam, Wassam hanya mempunyai masa selama dua jam untuk bersahur selain menunaikan solat Maghrib dan Isyak.
Wassam berkata, beliau amat berbangga kerana menjadi orang Islam tunggal di sini dan dapat menunaikan ibadat puasa.
Katanya, beliau ada kalanya berfikir untuk pulang ke Lubnan ketika Ramadan tetapi membatalkan hasrat berkenaan dengan memberitahu diri bahawa tiada siapa akan berpuasa dan bersolat di Greenland, jika beliau tetap meneruskan hasrat terbabit.
Greenland adalah pulau terbesar di dunia dan mempunyai pentadbiran sendiri di bawah pemerintahan Denmark.
Waktu panjang sebelum berbuka juga berlaku di bandar utara Finland, Rovaniemi kerana matahari naik pada jam 3.20 pagi waktu tempatan sebelum terbenam pada jam 11.20 pagi.
Ini bermakna, warga Islam di negara berkenaan perlu berpuasa kira-kira 20 jam.
Matahari tak terbenam
Malah, dalam tempoh beberapa tahun lalu apabila Ramadan bermula pada musim panas, matahari tidak terbenam langsung.
Mahmoud Said, 27, yang menetap di situ selepas berhijrah dari Kenya tahun lalu, berkata orang Islam di negara terbabit biasanya menggunakan waktu berbuka dan sahur negara Islam terdekat iaitu Turki.
Katanya, terdapat 100 orang Islam di Rovaniemi, kebanyakannya berasal dari Iraq, Somalia dan Afghanistan.
No comments:
Post a Comment