ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TPP AKAN MELALUI PROSES YANG PANJANG

Wednesday 7 October 2015

TPP AKAN MELALUI PROSES YANG PANJANG



Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang rundingannya baru sahaja dimuktamadkan dijangka tidak berkuat kuasa dalam tempoh dua tahun akan datang, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ketua Setiausaha MITI, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria, berkata teks perjanjian yang dipersetujui masih mempunyai beberapa peringkat sebelum pengesahan, yang termasuk paparan awam, pembentangan di Parlimen dan analisis manfaat kos.

"Setiap negara perlu kembali kepada negara masing-masing untuk mendapatkan kelulusan bagi penandatanganan dan seterusnya, pengesahan.

"Ia akan melalui proses yang panjang," katanya kepada pemberita di luar Forum Megatrend Khazanah 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata kementerian berkenaan turut menunggu teks penuh tiba dan sebaik sahaja semuanya tersedia, ia akan dipaparkan kepada umum secepat mungkin.

"Tidak ada apa-apa yang hendak kami sembunyikan. Apa yang penting adalah kita perlu memastikan ia memberi manfaat kepada Malaysia," katanya.

Beliau berkata keputusan untuk menandatangani atau mengesahkan perjanjian berkenaan terletak kepada Parlimen.
Bernama

Sidang Khas Parlimen Perlu Bincang TPPA


Sidang khas Parlimen perlu diadakan bagi membolehkan penggubal undang-undang untuk membahaskan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum membuat keputusan sama ada Malaysia akan memeterai perjanjian perdagangan tersebut.

"Kita mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk membawa isu TPPA ke Dewan Rakyat pada mesyuarat akan datang iaitu antara 19 Oktober dan Disember 3 ini kerana butir-butir perjanjian itu hanya akan dikeluarkan kepada 12 negara terbabit dalam tempoh 30 hari.

"Kami memerlukan dokumen bersama-sama dengan analisis faedah kos untuk berdebat mengenai TPPA," kata Pengerusi Kaukus TPPA bi-partisan Dewan Rakyat, Datuk Wira Ahmad Hamzah.

Katanya lagi pada persidangan akan datang Ahli Parlimen akan sibuk membahaskan mengenai Bajet 2016 dan undang-undang baharu yang akan dibentangkan semasa prosiding Parlimen akan datang.

Selain itu Ahli Parlimen Jasin berkenaan berkata, kaukus 11 anggota yang terdiri daripada enam Ahli Parlimen Barisan Nasional dan lima Ahli Parlimen daripada pembangkang telah mengadakan 14 mesyuarat dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sejak ditubuhkan pada 2013.

Sementara itu Ahli Parlimen Lembah Pantai dan ahli kaukus Nurul Izzah berkata perjanjian TPPA perlu didedahkan sepenuhnya kepada penggubal undang-undang dan masyarakat awam.
mStar

No comments:

Post a Comment