ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TARIKAN TERBARU DI MASJID BEIJING

Sunday 25 October 2015

TARIKAN TERBARU DI MASJID BEIJING



RANTAU PANJANG – Memanah merupakan salah satu daripada sukan kegemaran junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad SAW, dan tidak lama lagi, aktiviti sukan sunnah itu bakal menjadi tarikan terbaru di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing, di sini.

Imam Masjid Beijing, Mohsin Abdullah berkata, aktiviti itu bukan sahaja terbuka kepada kanak-kanak seawal usia 6 tahun, malah golongan wanita turut digalakkan untuk menyertainya.

"Pada setiap sesi aktiviti ini, pemanah-pemanah akan ditemani oleh tenaga pengajar berpengalaman dari Kelab Memanah Sunnah Kelantan. Pihak masjid juga akan mengambil inisiatif untuk menubuhkan Kelab Memanah Sunnah Masjid Beijing," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Beijing, Samsuddin Yasin berkata, idea itu tercetus apabila melihat ramai anak muda masa kini mempunyai peralatan memanah, tetapi tidak memiliki kemahiran untuk menggunakannya.

Menurutnya, selepas mendengar taklimat daripada Kelab Memanah Sunnah Kelantan, pihak Masjid Beijing berminat untuk mengetengahkan sukan tersebut dalam kalangan anak muda di Rantau Panjang.

"Mesyuarat bersama jawatankuasa masjid akan diadakan bagi menentukan tarikh dan waktu sesi pembelajaran untuk sukan memanah. Padang belakang Masjid Beijing dipilih sebagai kawasan memanah untuk memudahkan semua lapisan masyarakat mendalami sukan sunnah itu.

"Lebih menarik adalah sukan memanah ini juga boleh dipelajari oleh mereka yang bertangan kidal. Untuk sebarang pertanyaan atau urusan pendaftaran, boleh hubungi jawatankuasa masjid di talian 019-932 1840," katanya.
SH

No comments:

Post a Comment