ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KEPIMPINAN PAS PERLU BERUBAH

Sunday, 18 October 2015

KEPIMPINAN PAS PERLU BERUBAH


Pendakwah terkenal, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata Pas semakin berada dalam keadaan tenat sekiranya pimpinan parti berkenaan masih tidak mahu melakukan sebarang perubahan.

Menurutnya, bagi memastikan Pas kekal relevan, beliau berkata parti berkenaan kini memerlukan tiga golongan pemikir iaitu Ulul Ilmi (Ahli Ilmu), Ulul Albab (Ahli Falsafah) dan Ulul Abroq (golongan yang dapat melihat apa terjadi pada masa depan).

Katanya lagi, kepimpinan Pas sedia ada juga disaran untuk berehat dan memberi ruang serta peluang kepada golongan bawahan terutamanya golongan muda dan profesional dalam parti berkenaan.

“Dalam politik, kita kena ada juga orang-orang dari bahagian akademik untuk masuk sekali dalam parti. Ulama akan fikir dengan cara dia tapi dari sudut nak bangunkan ekonomi, negara dan politik, kita kena juga pinjam orang dari bahagian akademik untuk bantu.

“Contoh nak buat kereta api, kita kena import jurutera dan arkitek tapi kenapa nak bangunkan Islam kita tidak mahu import orang dari luar?” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Hassan berkata, pimpinan Pas juga perlu mengambil pendekatan mendidik pelajar-pelajar di universiti-universiti tempatan dan luar negara dari peringkat awal bagi melahirkan golongan pelapis pada masa depan.

Ujar beliau, Pas sememangnya mempunyai ramai golongan ulama namun parti berkenaan masih kekurangan golongan walak iaitu taat setia serta ketua yang hebat.

“Pas perlu mencontohi kepimpinan seperti Hassan Al Banna, Abdul Qadir Audah dan Sayyid Qutb di mana orang ramai dapat mengambil kebaikan dari apa yang mereka luahkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan politik di negara ini, Hassan turut beranggapan senario politik negara pada masa ini menunjukkan peningkatan yang baik dan rakyat semakin matang.

Beliau berkata, masyarakat kini mula faham dan berani untuk mencabar, mengkritik serta mengemukakan idea berhubung sesuatu isu yang berlaku.

“Ini barulah politik sebenar. Kalau diam saja, itu dipanggil politik pak turut,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan yang juga ahli Pas juga turut memaklumkan bahawa kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dalam arena politik tanah air bertujuan bagi menunjukkan kepada Pas yang parti berkenaan bakal kekeringan golongan pemimpin akademik.

Hassan berkata, sekiranya ahli di dalam Pas berpecah, mereka masih mempunyai Amanah sebagai platform bagi meneruskan perjuangan politik.

“Ulama pernah berpesan, perpecahan kerana ingin bersatu itu lebih baik dari bersatu kerana hendakkan perpecahan.

“Kehadiran Amanah dalam politik tanah air adalah merupakan satu perubahan yang baik di samping melahirkan pemimpin dan pelapis yang hebat,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment