ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KISAH BENAR : DIRENUNG LELAKI TUA DI TANAH SUCI

Friday, 31 January 2014

KISAH BENAR : DIRENUNG LELAKI TUA DI TANAH SUCI

Alhamdulillah, ketika umat Islam diberikan peluang menunaikan ibadah haji pada September dan Oktober lalu, saya dan isteri dijemput Allah SWT untuk menjadi tetamu-Nya.

Di celahan 22,300 jemaah haji Malaysia itu, saya dan isteri diberi keizinan oleh Allah SWT untuk terbang melalui penerbangan KT 44 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah pada 23 September 2013. 

Hanya linangan air mata menemani kami ketika melangkah masuk ke dalam Masjidil Haram dan tawaf Qudum umrah wajib yang dilakukan selepas solat Isyak benar-benar memberi keinsafan kepada kami betapa Agung Yang Maha Khaliq. 


Memenuhi rukun umrah bersaie dan bertahalul sambil air mata tidak henti berlinangan kerana perasaan bersyukur dengan nikmat dikurniakan Allah SWT, hati membisikkan betapa bertuahnya kami diberi kesempatan untuk bersama kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Keesokannya, selepas solat Zohor, saya dan isteri berniat melakukan tawaf sunat. Ketika menuruni anak tangga dari pintu King Abdul Aziz menuju ke dataran di hadapan Baitullah, saya dan isteri tidak putus-putus berdoa.

Menyaksikan Baitullah tersergam indah di hadapan mata adalah segala-galanya. Keindahan Kaabah menggamit kami untuk mendekatinya sehampir-hampirnya. Oleh sebab tidak berkesempatan menikmati keindahan Kaabah sepuas-puasnya malam tadi, kami mengambil kesempatan merenung kiblat umat Islam seluruh dunia.

Dalam keadaan perasaan bercampur baur antara terlalu gembira dan terharu diberikan peluang menikmati keindahan Kaabah, sedar dengan tidak, tiba-tiba saya dan isteri sudah menginjak anak tangga terakhir dari laluan sebelah pintu King Abdul Aziz ke dataran laluan untuk melakukan tawaf. 


Direnung lelaki tua


Tiba-tiba terasa selendang buatan India yang diselempangkan di kedua-dua bahu ditarik perlahan dari belakang. Saya segera menoleh dan seorang lelaki tua berbangsa Pakistan berpakaian agak lusuh merenung wajah saya seraya menarik-narik selendang itu.


Dalam bahasa Urdu, lelaki tua itu seolah-olah mengatakan beliau mahu memiliki selendang itu. Namun, dalam keadaan agak kelam-kabut antara mulut terkumat-kamit membaca doa dan menatapi Kaabah, saya berbelah bahagi sama ada ingin menyerahkan selendang itu atau sebaliknya.

Isteri saya hanya merenung wajah saya tanpa berkata apa-apa. Lelaki tua itu terus menarik-narik selendang sambil berkata-kata yang saya dan isteri tidak memahaminya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala saya memberi isyarat tangan bahawa selendang itu milik saya. 


Saya dan isteri lantas melangkah ke penjuru Hajarul Aswad untuk memulakan tawaf sunat dengan meninggalkan lelaki tua itu terus merenung kami berlalu pergi. Selesai menunaikan tawaf sunat kami kembali ke Maktab 97. 


Kejadian itu saya ceritakan kepada empat rakan sebilik dan seorang daripadanya berusia 63 tahun dengan nada agak kesal menegur tindakan saya tidak memberikan selendang kepada lelaki tua itu. Katanya, kita tidak tahu siapa lelaki itu kerana mungkin malaikat. 


Mendengarkan itu, hati kecil saya diselubungi seribu penyesalan kerana menolak permintaan seseorang yang berhajat memiliki selendang saya.


Namun, Allah SWT Maha Pengasih, dua hari selepas itu, sejurus selesai menunaikan solat Zohor di Masjidil Haram, seorang lelaki tua dari India menarik selendang saya dari belakang. Dengan bahasa Hindi, beliau menyatakan hasrat ingin memiliki selendang seperti itu.

Guna isyarat tangan


Tanpa banyak soal, saya lantas menarik selendang dan dipakaikan pada bahunya. Saya lihat air jernih mengalir di pipi lelaki tua itu seraya memeluk saya. Saya terpaksa menggunakan tangan untuk berbahasa isyarat bukan saya yang memberikan selendang itu, sebaliknya Allah SWT.


Tiga hari selepas itu, ketika melangkah keluar dari pintu King Fahd selepas menunaikan solat Asar, sekali lagi selendang saya ditarik dari belakang. Kali ini seorang lelaki tua berkemungkinan besar dari Bangladesh.


Saya segera meletakkan selendang itu pada bahu lelaki tua berjanggut tebal itu. Beliau tidak putus-putus mengucapkan jutaan terima kasih dengan menggunakan bahasa Bangladesh. 


Cebisan kisah ketika berada di Tanah Haram ini saya kongsi semata-mata kerana mengagumi kebesaran Allah SWT. Pada kali pertama diminta menyerahkan harta milik saya, saya keberatan menyerahkannya.

Namun, Allah SWT Maha Pengasih mengutuskan insan lain untuk menduga sama ada saya bersifat pemurah atau sebaliknya. 

Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan dua jemaah haji yang berhajat kepada sesuatu saya miliki. Semoga Allah SWT memberikan peluang kepada saya dan isteri untuk sekali lagi menjadi tetamu-Nya, Insya-Allah.

sumber

No comments:

Post a Comment