Gambar Hiasan |
Mangsa yang berusia 34 tahun mendakwa kerugian lebih RM60,000 apabila memasukkan wang kepada satu akaun bank sebanyak RM15,000 untuk kali pertama sebelum memasukkan RM1,000 atau lebih setiap bulan dalam tempoh itu.
Pereka hiasan dalaman itu berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana mendakwa ditipu rakan dikenali sebagai Alex dalam satu urusan perniagaan dengan menandatangani kontrak tawaran yang tidak diketahui isi kandungannya.
Menurutnya, kontrak itu ditandatangani di sebuah taman perumahan yang masih berada di dalam pembinaan di sini, ketika Alex membawanya ke lokasi dan mempertemukan seorang rakan kononnya atas urusan perniagaan.
“Tanpa mengesyaki apa-apa, saya bertemu dengan Alex dan rakannya di kawasan tersebut dan berbincang mengenai tawaran perniagaan yang ditawarkan sebelum saya bertindak menandatangani satu surat perjanjian.
“Namun, keesokan harinya saya dihubungi rakan Alex dan memaklumkan dia (Alex) sudah melarikan diri dan saya pula perlu membayar wang sebanyak RM15,000,” katanya pada sidang akhbar di Kelab Akhbar Cina, semalam.
Menurutnya, bermula dari insiden itu, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada nombor tidak dikenali meminta sejumlah wang dimasukkan ke dalam satu akaun sekiranya tidak mahu keselamatan terancam.
Katanya, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana SMS ugutan yang diterima iaitu bakal menerima gangguan ke atas ahli keluarganya dan tindakan disimbah cat merah jika gagal memenuhi permintaan pihak berkenaan.
“Mereka mempunyai maklumat lengkap serta latar belakang keluarga serta diri saya dan tahu di mana tempat tinggal kami. Saya menjadi takut dan menyebabkan saya akur dengan permintaan mereka sehinggalah perkara ini diketahui suami. "
“Suami mula mendapat tahu pada awal bulan ini apabila dihubungi rakan yang bertanyakan bila saya mahu membayar sebahagian duit yang saya pinjam dua tahun lalu sebelum dia (suami) meminta laporan polis dibuat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Jason Teoh berkata, pasangan terbabit datang menemuinya untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung masalah yang dialami mereka pada awal bulan ini.
Beliau berkata, kali terakhir mangsa memasukkan wang yang diminta menerusi SMS berbaur ugutan itu adalah pada 4 Januari lalu dan laporan berhubung kejadian sudah dibuat mangsa pada 18 Januari di Balai Polis Sentral.
SH
No comments:
Post a Comment