ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BERJIHAD "PERKASAKAN" PERLEMBAGAAN !!!

Friday 24 May 2013

BERJIHAD "PERKASAKAN" PERLEMBAGAAN !!!

Orang Melayu diseru supaya berjihad memperkasakan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri bagi memastikan bangsa itu kekal menjadi pentadbir negara dan negeri.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah berkata, hal ini kerana dalam Perlembagaan di peringkat Persekutuan dan negeri, perkara berkaitan pelantikan Melayu Islam sebagai pentadbir boleh dilonggarkan.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, hendaklah melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat. Itu sahaja dan tidak ada disebut Melayu Islam."

"Tetapi mengikut amalan demokrasi oleh kerana negara ini negara Islam, Yang di-Pertuan Agong apabila melantik Perdana Menteri, bukan sahaja perlu mendapat majoriti itu tetapi hendaklah ia seorang Islam dan Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Post Mortem Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah di Menara Mara.

Menurut Mohd. Noor, bagi peruntukan Perlembagaan negeri pula, raja atau sultan hendaklah melantik Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada seorang yang mendapat majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kedua, dia mestilah orang Melayu Islam dan ketiga, syarat kedua itu, raja atau sultan dengan budi bicara boleh melonggarkan syarat ini bagi menepati syarat pertama," jelas beliau.

Katanya, dengan syarat ketiga itu, siapa sahaja mendapat majoriti, individu terbabit boleh dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri.

"Oleh itu kalau DAP dapat majoriti, maka orang Cina boleh menjadi Menteri Besar. Macam mana? Kalau kita kata tidak boleh, maka pindalah Perlembagaan dengan sokongan majoriti dua pertiga. Beritahu di Melaka dan Pahang yang mendapat majoriti dua pertiga, mansuhkan klausa itu," tegasnya.

Beliau juga memberi bayangan bahawa Singapura boleh dibawa masuk ke dalam Malaysia dengan suara majoriti di Dewan Rakyat.

"Tak perlu persetujuan Majlis Raja-Raja, tetapi nak bawa masuk Singapura ke dalam Malaysia memerlukan hanya Akta Parlimen, Pas dengan satu majoriti maka masuklah Singapura ke Malaysia. Bayangkan akibatnya. Ini agenda pengkhianatan.

"Sebab itu (isu) kalimah Allah 'dicampakkan' agar orang Pas dan UMNO, orang Melayu berpecah dengan matlamat akhirnya untuk menawan hati orang bumiputera Sabah dan Sarawak. Nampak tak telunjuknya ke mana? Tetapi orang Melayu termakan umpan, nasib baik bumiputera Sabah dan Sarawak masih menyokong kita," tegasnya.

Sebab itu jelasnya, pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu adalah sesuatu perkara yang benar-benar berlaku.

Selain persoalan terhadap Perlembagaan, orang Melayu juga perlu berjuang dalam memperkasa dan menambah tanah rizab Melayu yang tertakluk di dalam Perlembagaan.

"Isytiharkan tanah rizab ini di kawasan-kawasan bandar dan dalam erti kata lain, menyusun semula masyarakat. Isytiharkan tanah rizab Melayu untuk berladang dan menternak, cari tanah yang baik untuk Melayu berladang dan berniaga dan kalau ada bukit, beri kepada Melayu buat kuari.

"Kita susun atur tanah ini dan agih-agihkan untuk Melayu. Begitu juga dalam bidang ekonomi yang sehingga kini 20 peratus daripadanya dimiliki orang Melayu. Jadi susunlah strategi supaya dalam tempoh 10 tahun ini, kekayaan Melayu menguasai 67 peratus," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya bekerjasama menghapuskan rasuah dalam kalangan orang Melayu iaitu daripada kelompok ahli politik sehingga ke kakitangan kerajaan.

No comments:

Post a Comment