KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini pada 9.18 malam.
Razif, lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia.
Beliau juga menjadi Ketua Penerangan Umno Terengganu pada penggal lepas.
Ketika ditemui pemberita, Razif berkata beliau bersyukur kerana majlis peralihan kuasa kerajaan negeri berjalan dengan lancar.
Beliau turut memberi jaminan akan meneruskan perancangan yang dibuat Ahmad.
“Segala perancangan program untuk kebaikan rakyat, kita akan teruskan. Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said yang banyak mengajar saya.
“Banyak pengalaman bersama beliau yang boleh saya guna untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya,” katanya.
Razif yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus pernah menjadi Pengerusi Biro Pendidikan Umno Bahagian Kuala Nerus dari 2008 hingga 2013.
Beliau menjadi Adun Seberang Takir selepas memenangi pilihan raya umum ke-12 pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2013.
Razif, yang mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Halina Zakaria, dikurniakan empat cahaya mata.
Sementara itu, Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.
Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad dari PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dari Umno (1960-1970),
Datuk Mahmood Sulaiman dari Umno (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman dari Umno (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dari Umno (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh dari Umno (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said dari Umno (2008-2014).
BERNAMA
No comments:
Post a Comment