ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: JAKIM GANTUNG SIJIL HALAL DUA PRODUK CADBURY SERTA MERTA

Saturday 24 May 2014

JAKIM GANTUNG SIJIL HALAL DUA PRODUK CADBURY SERTA MERTA


PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Sabtu telah menggantung serta-merta sijil pengesahan halal bagi dua produk coklat Cadbury yang telah disahkan mempunyai DNA babi (porcine).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha menegaskan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca pencemaran ke atas dua sampel coklat berkenaan. 

"Jakim telah menggantung sijil pengesahan halal bagi kedua-dua produk berkenaan berkuatkuasa serta-merta. 

"Kami ingin menegaskan bahwa pensijilan halal Malaysia melibatkan proses pengauditan dan pemeriksaan yang ketat merangkumi penilaian bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan yang digunakan, termasuklah pengujian makmal berdasarkan Standard  Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. 

Beliau berkata selepas sijil pengesahan halal Malaysia dikeluarkan, pemegang sijil adalah tertakluk kepada pemeriksaan berkala Jakim. 

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan DNA babi dikesan setelah mereka menjalankan siasatan dan analisis terhadap tiga sampel produk coklat keluaran syarikat Cadbury.


Siasatan KKM itu dibuat selepas isu pengesanan DNA babi dalam produk coklat susu dengan kacang hazel - Cadbury Dairy Milk tersebar luas di media sosial pada Jumaat.

Sampel produk yang dikesan mempunyai DNA babi itu bernombor kelompok (batch no.) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014 dan nombor kelompok (batch no.) 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

Mengulas lanjut, Othman berkata pengguna yang selama ini menggunakan mana-mana logo halal Malaysia tidak perlu bimbang kerana pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa. 

"Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran atau ketidak patuhan terhadap syarat-syarat pensijilan, pihak Jakim akan menggantung atau menarik balik sijil pengesahan halal dengan serta merta," ujarnya. 

Jelasnya, dalam kes tersebut  pemeriksaan secara berkala terhadap syarikat pengeluar produk berkenaan telah dibuat dan pemeriksaan terakhir adalah pada 20 Februari 2014 dan didapati mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.
MStar

No comments:

Post a Comment