ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TOLONG CARI TANGAN SAYA !!!

Saturday, 31 May 2014

TOLONG CARI TANGAN SAYA !!!


KOTA BHARU - "Tolong cari tangan saya,” demikian pesan seorang mangsa tetak.

Sambil menahan kesakitan mangsa, Izani Ghazali, 43, sanggup berlari hampir satu kilometer tanpa pergelangan tangan bagi mendapatkan ibu saudaranya selepas dia diserang dan ditetak dua lelaki dalam kejadian pada malam Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Kampung Bukit Temalong, Gunong Bachok itu, Izani sebelum itu didatangi lelaki terbabit semasa sedang menghidupkan enjin motosikal yang ditunggangnya.

Selain putus pergelangan tangan, mangsa juga cedera di beberapa bahagian badan akibat ditetak suspek yang kemudiannya melarikan diri.

[Artikel berkaitan: Tangan putus ditetak lelaki bermotorsikal]

Isterinya, Aidah Arifin, 36, berkata, suaminya yang bekerja sebagai tukang paip, di Jelawat, Bachok berulang alik seminggu sekali dari kediaman mereka di Besut, Terengganu dan menyewa berhampiran rumah ibu saudaranya di sana.

“Suami saya juga berasal dari Bachok, dan jika dia tidak pulang ke rumah, dia akan singgah di rumah ibu saudaranya.

“Hanya sekelip mata ketika menghidupkan enjin motosikalnya, dua lelaki yang dipercayai membawa senjata tajam menghampiri suami dan menetak tangannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar wad, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini semalam.
Aidah berkata, suaminya kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi HUSM.

Menurutnya, bagaimanapun  doktor mengesahkan bahawa tangannya berjaya disambung semula, namun masih tidak sedarkan diri.
Aidah berkata, kejadian itu berkemungkinan dendam lama di antara pelaku dan suaminya yang tidak berkesudahan.
“Memang sudah lama, suami tidak bertemu dengan mereka yang dipercayai masih berdendam terhadap keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, Aidah mengharapkan agar pelaku terbabit dapat ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan di atas perbuatan mereka terhadap suaminya.

“Apa pun saya harapkan agar suami selamat dan cepat sembuh memandangkan saya tidak ada pekerjaan dan hanya bergantung harap kepadanya bagi membesarkan tujuh anak yang masih kecil berumur antara 18 hingga 5 tahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, setakat ini gerakan memburu suspek giat dijalankan.
“Kita percaya kes itu bermotifkan dendam namun mangsa enggan mendedahkan perkara tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.
SH

No comments:

Post a Comment