ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LELAKI MAUT, KERETA JATUH LAUT

Friday, 30 May 2014

LELAKI MAUT, KERETA JATUH LAUT



MANJUNG - Seorang lelaki lemas selepas kereta dinaiki terbabas ke laut di Lekir Bulk Terminal Pelabuhan Lumut, Teluk Rubiah, di sini, malam semalam.

Mangsa, Mohamad Yusaini Mat Jasin, 25,  menaiki kereta milik rakannya terbabas ke laut ketika cuba membuat pusingan U.

Pemilik kereta, Adham Badruzaman, 28, berkata, ketika kejadian, dia bersama mangsa baru menamatkan waktu kerja masing-masing.

“Saya meminjam motosikal mangsa untuk ke tandas yang berada 500 meter dari tempat kejadian sebelum menyerahkan kunci kereta kepadanya.

“Apabila kembali semua ke tempat kejadian ada rakan memberitahu saya kereta (Proton) Waja milik saya telah terjatuh ke dalam laut,” katanya.

Adham berkata, dia amat terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka arwah terjatuh bersama kereta.

“Memang kami selalu bertukar kenderaan kerana sudah berkawan dari kecil.

“Kemungkinan mangsa cuba untuk membuat pusingan U tetapi terlajak dan terus terjatuh ke dalam laut,” katanya.

Adham mengenali mangsa sebagai rakan sekerja dan rakan sekampung di Felcra Gugusan Lekir.

Adham berkata, Allahyarham Mohamad Yusaini seorang rakan yang ceria dan banyak bercakap selain disenangi rakan-rakan namun rakannya itu lebih banyak berdiam diri sejak beberapa hari lalu.

“Saya tak sangka itu pentanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mat Jasin Saad, 62, berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu ketika mangsa keluar untuk bekerja, kelmarin.

“Dia bekerja sebagai operator mesin di pelabuhan itu sejak empat tahun lalu.


“Arwah keluar bekerja seperti biasa pada petang itu kerana dan dia memasuki shift petang kira-kira jam 4 petang,” katanya.

Katanya, ketika keluar rumah pada petang itu, mangsa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya, Salmah Man, 60.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya.

“Walaupun terkejut dengan kejadian ini namun saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismail Othman berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan sebaik mendapat panggilan kira-kira jam 11.35 malam.

Katanya, operasi turut dibantu agensi lain termasuklah Maritim, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan pengurusan jeti berkenaan.

Katanya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 10.40 pagi semalam dengan bantuan kren pelabuhan Lumut dan unit skuba.

“Mangsa tersepit di dalam kereta dan pasukan bomba mengeluarkan mangsa menggunakan alatan khas,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment