ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PELAJAR TINGKATAN EMPAT MAUT BERTEMBUNG KERETA GURU !!!

Friday, 16 May 2014

PELAJAR TINGKATAN EMPAT MAUT BERTEMBUNG KERETA GURU !!!


SETIU - Seorang pelajar tingkatan empat SMK Chalok, di sini, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung sebuah kereta dipandu seorang guru wanita.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi semalam di Jalan Kampung Sungai Pinang, Jalan Jelapang, Chalok, mangsa, Khalid Rusydan Hamat, 16, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Jelapang (arah Jertih) menghala ke SMK Chalok, manakala guru berkenaan dari arah bertentangan.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Honda EX5 sedang mendaki bukit, manakala guru berusia 44 tahun itu yang memandu Perodua Myvi menuruni bukit sebelum kedua-duanya bertembung di tengah jalan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala guru terbabit hanya cedera ringan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bapa mangsa, Hamat Jusoh, 69, berkata, anak kesembilan daripada 13 beradik itu dalam perjalanan ke sekolah yang terletak kira-kira 11 kilometer dari rumah mereka.

Menurutnya, sebelum ini, mangsa beria-ria hendak menanam kangkung di halaman rumah dan rajin menyiram tanamannya itu setiap kali pulang dari sekolah.

“Sejak akhir-akhir ini juga termasuk pagi semalam, dia berubah menjadi  peramah dan suka bersarapan pagi sedangkan sebelum ini dia tidak gemar bersarapan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pejalan kaki, Wan Som Budin Wan Nik, 73, maut selepas dilanggar sebuah motosikal di Kilometer 69, Jalan Kuala Terengganu- Permaisuri dekat Kampung Bukit Abal, Banggol, di sini, kira-kira jam 9.15 malam kelmarin.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Setiu, namun meninggal dunia jam 1.20 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat cedera parah.

Penunggang motosikal berusia 15 tahun hanya cedera ringan.

No comments:

Post a Comment