KUALA LUMPUR – Seorang pekerja gudang perabot warga Bangladesh ditemui mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dipercayai akibat hujan lebat di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh dekat sini pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harun berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Abul Kassim, 43, tertimbus sedalam satu meter di bawah timbunan dinding zink, akibat gudang itu ditimbusi tanah yang runtuh itu.
Gudang perabot berkenaan terletak berhampiran kawasan bukit.
“Semasa kejadian mangsa dipercayai sedang berada di dalam tandas di gudang itu. Dia dipercayai mati akibat kesukaran bernafas dan mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” katanya.
Mohd Sani berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.43 pagi mengambil masa lebih daripada tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa dari timbunan.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment