TELUK INTAN - Pusat penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak di sini akan dibuka pukul 9 pagi esok.
Polis menasihati orang ramai yang menggunakan Jalan Changkat Jong supaya keluar awal atau mencari jalan alternatif memandangkan kawasan itu akan sesak berikutan jumlah penyokong calon yang dijangka hadir esok agak ramai.
Sejumlah 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi Tidak Hadir Luar Negara layak mengundi pada PRK itu.
Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei.
PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Pada PRU13, Seah menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon Bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. - Bernama
No comments:
Post a Comment