PELAKSANAAN hukum hudud di Kelantan kembali menjadi topik hangat yang diperdebatkan di pentas nasional sehinggalah ke warung-warung kopi.
Isu hudud ini bukanlah sesuatu yang baru namun kesungguhan kerajaan negeri Kelantan untuk merealisasikan perundangan berteraskan syariah Islam ini menarik perhatian ramai.
Sinar Harian selaku pelopor wacana ilmiah sekali lagi menganjurkan Wacana Sinar Harian Siri ke-27 bertajuk "Hudud: Bersediakah Kita?" untuk memberi ruang kepada masyarakat menilai dan memahami hukum jenayah syariah berlandaskan Islam ini.
Bersama-sama moderator terkenal, Dr Maszlee Malik, kami bawakan juga panelis yang tidak kurang hebatnya, bekas Mufti Perlis, Prof. Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dr Mushaddad Hasbullah dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong.
2.30 petang: Peserta sudah memenuhi auditorium dan mengambil tempat. Antara panel yang kelihatan ialah Datuk Wee Ka Siong.
2.50 petang: Wacana Sinar Harian Siri ke-27 "Hudud: Bersediakah Kita?" bakal bermula sebentar sahaja lagi. Peserta kini sedang memenuhi auditorium.
3.05 petang: Para penalis jemputan mengambil tempat. Wacana akan bermula pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.
3.10 petang: Wacana bermula. Moderator menyatakan keputusan Pas ambil keputusan untuk laksanakan hudud kali ini lebih menarik apabila Umno menyatakan hasrat menyokong hukum tersebut.
Beliau kemudian beri masa lima minit kepada setiap peserta untuk ulas perkara itu.
Tambah Dr Asri, di zaman moden ada Pakistan, Libya, Sudan buat hudud, namun kemudian menghentikannya kerana keadaan yang tidak sama dengan zaman.
Sebab beza zaman nabi, yang terus berjalan di Arab Saudi, hudud bukan mudah untuk dilaksanakan.
3.11petang: Menurut Dr Asri, sebagai orang Muslim, orang Islam tidak akan pertikai akan hukum ALLAH ini. Namun katanya, adakah sampai keadaan untuk kita laksanakan hukum ini?
Jelas Dr Asri, sebagai Muslim, tiada halangan ke atas pelaksanaan hudud. Brunei hendak buat, Kelantan akan menyusul. Sebagai Muslim kita tidak tentang.
Apa yang perlu dibincangkan katanya, kita kena capai apa yang nabi ucapkan. Peniaga di zaman nabi tidak sama, sekarang tidak sama. Adakah hudud hendak buat hari ini, atau bila?
Jelasnya lagi, nabi laksana hudud nabi pastikan beberapa perkara. Nabi memudahkan yang halal. Menyukarkan yang haram.
3.20 petang: Mohd Amar mengambil peluang menyampaikan hujahnya.
Menurut Mohd Amar, apabila hendak melaksanakan hudud, isunya bukan hendak potong tangan dan rejam orang yang berzina tetapi menjadikan undang-undang jenayah Islam jadi undang-undang dalam negara.
Tambahnya, "kita baru hendak beli kereta, bukan bawa kereta takut langgar orang dan lain-lain".
3.25 petang: Panelis kedua We Ka Siong pula menyatakan pandangan beliau. Menurut Ka Siong, beliau menerima undangan ke wacana ini kerana beliau rakyat Malaysia.
"Saya tahu saya kafir. Kebetulan saya dibesarkan dalam kalangan orang Melayu," katanya memulakan hujah.
Menurut Ka Siong beliau tiada masalah dengan masyarakat Islam kerana ahli keluarganya juga ada yang beragama Islam.
Apa yang menjadi kebimbangannya, jika hudud dilaksanakan, "kalau orang Islam dan bukan Islam terlibat rogol. Macam mana? Nak kena cari 4 saksi untuk proses itu?"
3.40 petang: Menurut Dr Mushaddad pula, beliau setuju dengan pandangan Dr Asri. Sebagai Islam, tidak menolak hudud.
"Kita sebagai Islam perlu percaya, tiada undang-undang yang lebih adil sepertimana yang hukum yang ditetapkan oleh ALLAH. Pastikan prinsip kita sama dengan maqasid syariah," ujar beliau.
3.45 petang: Moderator meminta Dr Asri memberikan penjelasan terhadap persoalan yang dibangkitkan oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr We Ka Siong.
Kalau mencuri di Malaysia ini, ada juga yang mencuri Melayu, Cina India. Kalau satu kena potong tangan, satu kena penjara. Adil ke?
Kalau zina tadi, saksi mesti seorang Islam dan lelaki. Tidakkah itu sebagai menafikan hak bukan Islam. Kalau saya ada di sana, saya tak boleh jadi saksi. Perempuan juga begitu.
3.46 petang: Mengulas kepada jawapan Mohd Amar dan soalan Ka Siong, Dr Asri berkata, beliau percaya, hudud boleh dilaksanakan jika keadilan benar-benar dapat direalisasikan.
Katanya, "hudud perlu diwacanakan untuk dapat maklum balas rakyat dan semua orang".
"Sebagai contoh kita kritik Tabung haji, tetapi kita tidak kritik haji. Kita tidak pertikai hasrat Kelantan, cuma sekarang yang kita bincangkan ialah memperkemaskan hukum hudud," ulasnya.
Tambah beliau, "kita kena beza dosa peribadi, dengan dosa keselamatan awam. Hudud dibuat untuk kedamaian".
Dr Asri kemudiannya memberikan contoh negara-negara yang melaksanakan keadilan kepada rakyatnya seperti Denmark dan Norway.
Ujar Dr Asri, "Nabi sampai Madinah, ucapan pertama nabi ialah wahai manusia sampaikan salam, damaikanlah masyarakat, berilah orang makan, beri kebajikan, hubungan silatirahim dan solatlah. Ini slogan pertama nabi.
Tegasnya, beliau bersama Kelantan dalam bentuk kehendak. Namun beri gambaran, "kita ada gadis muslihah tetapi diberi kepada lelaki jahat. Itulah gambaran saya".
3.55 petang: Moderator memberi peluang kepada Dr Mushaddad untuk mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh Ka Siong.
Dr Mushaddad dalam hujahnya berkata, terdapat perbezaan di kalangan ulama mahupun mazhab berkaitan isu zina dan mencuri.
" Ulama berijtimak, bukan Islam mesti dikenakan hukum hudud sepertimana yang dikenakan kepada orang Islam.
" ... kena cakap atas dasar ilmu, bukan ikut kepala sahaja. Hudud tak sama tujuan sembahyang , ia jaga keamanan bagaimana hendak wujudkan keamanan jika hanya Islam dikenakan potong tangan," katanya.
4.15 petang: Moderator dan Ka Siong kemudiannya bersoal-jawab sama ada wakil MCA itu memahami apa yang disampaikan.
"Adakah Datuk Wee Ka Siong nampak itu tak adil, soal Maszlee merujuk kepada jawapan Dr Mashaddad.
Ka Siong kemudian berkata, "saya sudah baca empat hari. Dan minta kawan Melayu tolong jelaskan.
"Sebab itu saya tanya adakah itu keadilan sejagat. Yang merogol 2 orang, seorang kafir, seorang Islam merogol orang Islam. Tapi yang Islam kena hukum, seorang terlepas," ujarnya.
Moderator kemudian bertanya, "adakah Datuk nak bukan Islam pun kena hudud juga?"
Namun menurut Ka Siong, "kita perlu ada satu undang-undang saja yang merangkumi semua. Macam mahkamah syariah tak apalah. Saya tak terasa".
Ketika ditanya sama ada undang-undang sekarang mengurangkan kadar jenayah di negara ini oleh moderator, Ka Siong berkata, "sama juga... Indeks jenayah telah berkurangan. Manusia ada 1 peratus yang kepala tak betul. Ada hudud pun dia tetap buat jenayah juga".
Ka Siong kemudian ditanya oleh moderator, keputusan membenarkan hudud dibawa ke Parlimen diputuskan oleh menteri, komponen BN.
"MCA tak setuju dengan Umno?," soal moderator.
"Saya tak setuju. Tak kira siapa yang bawa dan disokong oleh Umno ke, asas kita nak laksana ikut perlembagaan. Jamil Khir tak wakili BN. Bukan satu persetujuan yg diwakili BN.
"Kalau berlaku, sudah sampai masa kita bincang kedudukan kita dengann rakan sekutu," tegas Ka Siong lagi.
4.30 petang: Mohd Amar turut menjelaskan mengenai hukuman kepada bukan Islam berkaitan isu rogol.
"Kalau tiada bukti 4 saksi, bukan Islam masih boleh dikenakan takzir.Takzir itu adalah undang-undang jenayah negara sekarang.
"Mana-mana kesalahan bukan Islam tidak akan dikenakan di mahkamah syariah, tapi dikenakan di mahkamah sivil," jelasnya.
4.35 petang: Sementara itu, menurut Dr Asri, perbezaan pendapat berkiatan isu zina boleh dirungkai.
"Keselamatan awam, kita dokong Kelantan, bagaimana tanggapan yang negatif dapat diatasi. Masalah jenayah, mesti diseragamkan," ujarnya lagi.
Sesi soal jawab berlangsung kira-kira jam 4.40 petang. Antara soalan yang ditanya kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, "kenapa perlu percaya kepada Umno untuk bantu laksanakan hudud?
"Kerana Umno pegang teras dalam BN sebagai pemerintah negara, bila Umno sedia beri laluan, kita terimanya, tiada agenda lain.
"Jika kereta rosak tiba-tiba orang nak tolong takkan kita hendak tanya, Pas ke Umno?," ujar Mohd Amar.
Sesi penggulungan menyaksikan Ka Siong tetap dengan pendirian sebelum ini.
Dr Asri pula menyatakan sokongan terhadap hudud di Kelantan, namun ia mesti dikemaskini.
"Saya ingin sebut negara Islam itu bukan negara hudud. Negara Islam meliputi semua, negara Islam adalah sepertimana negara yang bebas rasuah, bebas kerosakan," katanya.
Mohd Amar ketika menggulung sesi wacana berkata, walaupun Umno menyokong pelaksanaan hudud, Pas tidak akan menyertai parti itu.
Dr Mushaddad pula berkata, walaupun setuju pelaksanaan hudud di Kelantan namun undang-undang mengenainya diperkemaskan lagi.
SH
No comments:
Post a Comment