ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TIADA WANITA YANG MAHUKAN LELAKI "PENDERA" !!!

Thursday, 8 May 2014

TIADA WANITA YANG MAHUKAN LELAKI "PENDERA" !!!

FOTO HIASAN
Memang jodoh itu ketentuan Allah SWT namun kita perlu berusaha mencari jodoh yang terbaik buat diri sendiri. Tiada wanita yang mahukan lelaki kaki pukul, panas baran, kasar dalam pertuturan dan tingkah laku untuk dijadikan suami.

Kebiasaannya lelaki jenis pendera ada tabiat mencaci maki, sepak terajang, kaki tempeleng dan suka memukul pasangannya walhal suami sepatutnya menjadi pelindung kepada isteri dan anak-anak. 

Dalam berhati-hati, wanita tertipu juga de­ngan sikap budiman yang dipamerkan semasa bercinta. Kata-kata cinta itu buta juga ada benarnya. Kerana cinta yang menggunung, wanita tidak lagi dapat melihat kejelekan perangai teman lelaki dan menganggapnya tidak penting. Hanya selepas ikatan termeterai barulah sedar rupanya tindakan membutakan mata dan memekakkan telinga daripada mendengar nasihat keluarga dan sahabat hanya memakan diri sendiri. 

Jika dilihat di dada akhbar, kes suami mendera isteri begitu banyak disiarkan malah ada suami yang sanggup membunuh si isteri apabila kemarahan menguasai diri.

Bagi wanita yang belum berumah tangga, berfikirlah semasak-masaknya jika teman lelaki atau tunang anda mempunyai ciri yang disenarai di bawah. Bagi yang sudah berumah tangga, usah takut untuk membuat laporan polis atau dapatkan bantuan ahli keluarga jika diri anda dianiaya dan jangan tunggu sehingga perkara menjadi lebih teruk.

Perhatikan ciri berikut sekiranya terdapat pada pasangan anda. 

Terlebih romantis 
Jangan mudah jatuh hati apabila pasangan terlalu kerap melontarkan kata-kata romantis dan ayat berbunga seperti ‘abang tak boleh hidup tanpamu’ atau ‘abang akan tetap setia selamanya’ ataupun ‘cinta abang sentiasa mekar untukmu’...

Sebaliknya, anda perlu berhati-hati dan berfikir dengan waras. Jangan termakan dengan ayat ‘power’ atau janji manis yang diucapkan­nya lebih-lebih lagi sekiranya perhubungan masih di peringkat awal. Perlu diingat, lelaki yang melakukan kekerasan pada permulaan hubungan akan bersikap lebih lembut dan penyayang selepas hubungan lama terjalin. 

Terburu-buru dalam hubungan 
Lelaki pendera juga agak terburu-buru me­ngajak pasangannya menjalinkan hubungan dengan lebih serius contohnya bertunang atau segera bernikah walaupun baru berkenalan. Lelaki jenis ini akan cuba mendesak kerana tahu bahawa mereka tidak dapat mementaskan perilaku yang baik secara konsisten untuk jangkamasa yang lama. 

Jika pasangan anda memiliki ciri ini, anda harus berwaspada dan fikir betul-betul mengenai ajakannya untuk bernikah atau ambil masa lebih lama untuk mengenalinya. Selain itu, cuba selidik latar belakangnya agar anda tidak menyesal di kemudian hari. 

Asyik berbicara mengenai diri sendiri 
Lelaki pendera juga gemar berbicara apa saja yang menarik tentang dirinya supaya dapat menutupi kelakuannya yang panas baran dan bersikap kasar. Malah lelaki jenis ini juga berusaha untuk menarik perhatian anda dengan kebaikan yang ada pada dirinya untuk mengaburi mata anda. 

Cemburu buta dan mengongkong 
Kata orang, cemburu itu tandanya sayang. Penyataan ini memang ada betulnya tetapi jika sikapnya melampaui batas, terlalu mengawal, mengawasi, mengongkong dan bersikap cemburu buta yang tidak munasabah, maka anda sememangnya layak untuk berwaspada. Hati-hati apabila pasangan anda asyik cemburu walaupun dengan teman sekerja atau teman rapat. Paling tidak boleh diterima ialah jika dia cemburu anda berhubung rapat dengan ahli keluarga atau saudara-mara anda sendiri. 

Selain itu, si dia juga selalu meminta anda meluangkan masa untuk bersamanya dan mahukan anda memberikan sepenuh perhatian kepada dirinya saja. Mereka juga mahu tahu setiap pergerakan anda contohnya ke mana anda pergi, dengan siapa anda keluar atau jam berapa anda balik. Pendek kata, apa saja yang anda lakukan.

Sikap cemburu sebegini boleh menjadikan manusia hilang pertimbangan dan tidak mustahil dia akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan anda satu hari nanti. Lelaki pendera juga lazimnya sangat suka mengawal atau mengong­kong pergerakan pasangan kerana dia sentiasa memerlukan masa dan perhatian pasangan.

Terlalu emosi 
Satu masa dia begitu ceria, gembira dan ramah bercerita, tetapi dalam sekelip mata dia boleh berubah menjadi seorang yang pemarah, baran dan langsung tidak mahu bercakap dengan anda. Ketika bersama dengannya anda berasa tidak bebas. Kebiasaannya anda akan berhati-hati dalam berkata-kata kerana takut tersalah cakap yang boleh mengundang kemarahannya. 

Anda juga rasa keliru dengan sikapnya yang tidak konsisten. Berhati-hatilah dengan lelaki yang bersikap begini kerana tidak mustahil satu hari nanti anda akan menjadi mangsa amarahnya. 

Perhatikan bagaimana dia berbicara dengan orang tua anda atau rakan anda. Apakah dia berkasar atau bersikap tidak baik? Lihat juga pola tingkah lakunya. Adakah perilakunya berbeza ketika bersama orang lain di sekeliling anda sehingga dia dilihat seolah-olah mempunyai dua identiti yang berbeza. 

Sering merendah-rendahkan pasangan 
Sebagai pasangan, lelaki seharusnya berasa bangga atau memberi sokongan apabila anda mencapai kejayaan yang diimpikan. Akan tetapi, berlainan pula dengan kaki pendera ini kerana mereka akan memperlecehkan atau merendah-rendahkan keupayaan atau kejayaan yang anda kecapi. 

Sebagai contoh, hanya kerana pakaian yang anda pakai tidak kena dengan seleranya, dia mengutuk anda tanpa mengambil kira perasaan anda. Segala kehendaknya juga harus dituruti tanpa kompromi kerana jika tidak, dia akan mengugut dan mengancam. 

Sikap sebegini sebenarnya memberi kesan kepada pasangan kerana lambat laun, pasa­ngan akan berasa tidak yakin pada diri sendiri. Sekiranya anda tidak mampu bertahan, maka kuatkan semangat, cekalkan hati dan yakinkan diri anda untuk tidak meneruskan lagi hubungan dengan lelaki sebegini. 

Tidak boleh dibantah atau dibangkang 
Bukan saja kemahuannya harus diikuti, si lelaki pendera juga tidak boleh dibantah atau dibangkang, kerana lelaki jenis ini sukar menerima sebarang penolakan. Jika dibangkang, tidak mustahil anda menjadi mangsanya. 

Barang rumah dipecahkan, malah dinding dan meja atau kepala anda juga mungkin menjadi sasaran kemarahannya. Ketika ini pasangan akan takut tapi si lelaki pendera akan cepat-cepat meminta maaf dan berjanji tidak mengulanginya. Biasanya dengan pujukannya yang mendayu-dayu, hati pasangan akan cair. Inilah kebiasaan yang berlaku. 

Murah dengan perkataan maaf 
Lelaki pendera ini memang pandai merayu dan memohon maaf setiap kali melakukan kesalahan dan kekerasan. Tetapi cara dia memohon maaf atau memberi penjelasan atas sikap salahnya seolah-olah ingin mengatakan bahawa anda turut bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi. Jadi, mahu tidak mahu, anda akan turut berasa bersalah akibat terkeliru dengan penjelasannya. 

Sentiasa menyalahkan 
Walaupun dirinya yang melakukan kekerasan atau keganasan, namun lelaki ini cuba meyakinkan dengan meletakkan kesalahan terbabit pada orang lain. Lebih teruk lagi jika dia meletakkan kesilapan itu pada diri anda yang menjadi mangsanya. 

Suka memberi hadiah 
Semalam dia memarahi dan mencaci anda semahunya tetapi hari ini dia meminta maaf dan memberikan barang yang anda sukai sebagai hadiah. Lelaki pendera beranggapan dia boleh membeli jiwa hati anda dengan barangan. Sikapnya ini boleh melembutkan hati wanita yang biasanya terus memaafkan mereka. Teknik membeli jiwa inilah yang digunakan lelaki pendera untuk menutupi kesilapan yang mereka lakukan. 

Hubungan kekeluargaan tidak rapat 
Biasanya lelaki jenis ini tidak rapat atau kurang mesra dengan ahli keluarganya. Berkemungkinan ada perlakuan yang mengecewakan ahli keluarganya sendiri. 

Lelaki pendera akan sentiasa memberi helah atau alasan untuk tidak menghabiskan masa dengan rakan dan keluarga. Dia mungkin cuba untuk menghalang anda menghabiskan masa dengan mereka juga. Semakin dia boleh mengasingkan anda daripada orang lain, semakin kuat ‘penguasaannya’ terhadap anda. 

Mempunyai sejarah yang disembunyikan 
Lelaki pendera semahunya enggan berkongsi sejarah cintanya dengan bekas teman wanitanya. Dia mungkin mengelak dengan menceritakan yang buruk-buruk tentang mereka. 

Tidak mustahil juga lelaki jenis ini pernah me­ngasari bekas teman wanitanya. Pelaku biasanya mengulangi perbuatan mereka khususnya terhadap seseorang yang tidak melawan dan boleh dikawal. Lelaki yang pernah didera juga cenderung untuk menjadi pendera. 

Memberi peringatan seperti ancaman 
Lelaki pendera sering mengingatkan anda akan kebaikan dirinya, pengorbanan yang dia lakukan dan mengingatkan betapa beruntungnya anda memilikinya. Walaupun dia mungkin juga mengakui bahawa dia berasa ‘kalah’ kerana menginginkan anda kembali di sampingnya. 

Berwaspadalah dengan kekerasan dan ancaman yang dilakukan oleh lelaki pendera. Perilaku sebegini tidak boleh diterima sama sekali. Adakah dia pernah terdorong untuk memukul atau mengasari anda atau orang lain secara terang-terangan? Apakah dia pernah melemparkan sesuatu pada anda ketika dia marah? Adakah dia menumbuk dinding, pintu atau objek lain ketika marah? 

Jika mempunyai sebarang keraguan kemungkinan pasangan anda seorang pendera, jangan teragak-agak untuk mengundurkan diri daripadanya secara perlahan-lahan. Dengarlah nasihat keluarga dan rakan yang boleh anda percayai.

Cubalah selidik sejarah tingkah lakunya. Jika dia pernah terbabit dalam banyak perkelahian dengan orang lain, anda akan mengetahui bahawa dia seorang yang keras dan tidak mustahil anda bakal menjadi mangsanya satu hari nanti. Ini adalah tanda yang paling jelas bagi seorang pendera. Fikirlah semasak-masaknya supaya nasi tidak menjadi bubur.

No comments:

Post a Comment