ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SEBARAN SEGERA : TIGA REMAJA DIKEHENDAKI POLIS !!!

Thursday, 8 May 2014

SEBARAN SEGERA : TIGA REMAJA DIKEHENDAKI POLIS !!!



TAIPING - Tiga remaja lelaki amat dikehendaki pihak polis berikutan terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Taiping sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mereka yang dikehendaki polis ialah Jeganathan atau dikenali dengan nama Ciku berusia 23 tahun, berasal dari Jalan Lama Kampung Pinang, Kamunting.

Menurutnya, seorang lagi suspek yang dikehendaki polis ialah S. Thangaraju, 25, berasal dari Taman Yayasan Kamunting.

“Suspek ketiga pula dikenali sebagai S.Mahendran, 24, dari Kampung Malakof, Ulu Sepetang atau dikenalu sebagai Sosen,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusuf berkata, susulan daripada beberapa kejadian membabitkan kes samun di sekitar Taiping, pihak polis berusah keras menjejak suspek yang dipercayai terlibat.

“Sejak operasi khas dijalankan, pihak polis telah berjaya menangkap dua suspek dikehendaki.

“Pada 24 April lalu, kira-kira jam 1.30 petang di Jalan Istana, pihak polis telah berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dengan kes samun,” katanya.

Menurutnya, usaha menjejak rakan-rakan jenayah suspek berjaya setelah seorang lagi suspek diberkas 28 April lalu.

“Dalam tangkapan terbabit, pihak polis turut menemui sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamun,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusuf berkata, kedua-dua suspek yang berjaya ditangkap telah mengaku melakukan empat kes samun.

“Malah ia turut membabitkan kejadian seorang isteri terpaksa bertarung nyawa menyelamatkan suaminya sehingga mengakibatkan jarinya hampir putus akibat ditetak dengan parang dalam kejadian di Aulong bulan lalu,” katanya.

Yusuf berkata, oleh yang demikian, pihak polis sedang melipatgandakan usaha bagi menjejak tiga lagi suspek yang terlibat dengan kes-kes samun.

“Kerjasama dan bantuan daripada orang ramai amat diperlukan bagi mengesan tiga suspek ini.

“Sebarang maklumat boleh disampaikan terus di balai-balai polis berhampiran atau melalui talian 05-8082222,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment