Georgetown : Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini, bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon bebas.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor Kapten (B) Anuar Yahya mengumumkan bahawa Ramkarpal Singh, 38, sebagai calon DAP, Naib Presiden PCM Datuk Huan Cheng Guan, 53, mewakili parti itu manakala Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar, 63, dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan, 46, sebagai calon Bebas.
Mohamed Nabi Bux akan menggunakan simbol bunga manakala Abu Backer Sidek simbol kuda. Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu selepas MCA memutuskan untuk tidak bertanding.
Pengumuman itu dibuat pada 10.15 pagi ini selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Dewan Sri Pinang di sini.
Terdahulu, Huan menyerahkan kertas pencalonan pada pukul 9.01 pagi, manakala Mohamed Nabi Bux berbuat demikian pada pukul 9.02 pagi diikuti Ramkarpal Singh pada pukul 9.13 pagi dan Abu Backer Sidek pada pukul 9.41 pagi.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Karpal Singh memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.
Bernama
No comments:
Post a Comment