ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DATUK AZIZ SATTAR DALAM KENANGAN

Wednesday, 7 May 2014

DATUK AZIZ SATTAR DALAM KENANGAN

BELASUNGKAWA
PETALING JAYA:  Ketika dunia hiburan baharu sahaja dikejutkan dengan kematian biduanita Kartina Dahari dan dramatis Sidek Hussain, satu lagi berita sedih muncul apabila seniman Datuk Abdul Aziz Sattar pula menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa.

Kematian Allahyarham pada usia 89 tahun memberi kesan kepada seluruh peminat filem Melayu kerana lakonannya bukan sahaja menjadi fenomena malah berjaya dikenang oleh setiap generasi sehingga ke hari ini.

Aziz atau lebih mesra dengan sapaan Pak Ajis yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia dan kemudiannya membesar di Pasir Panjang Singapura menjalani kehidupan sukar apabila terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Kota Raja pada usia 11 tahun ekoran serangan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu ketika itu.


Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.


Aziz bersama koleksi trofi dan keratan akhbar mengenai dirinya yang disimpan dengan baik dirumahnya
Biarpun tidak dapat meneruskan persekolahan namun kelebihan yang ada pada Aziz iaitu bakat seninya sejak usianya 10 tahun mampu membawa tuah selain beliau juga sering mengadakan persembahan di majlis perkahwinan di kampungnya.

Dari situ, bakatnya terus berkembang dan kebolehannya sebagai penghibur dan pelawak terus mendapat perhatian sehinggalah dia bersma dua orang sahabat  dipelawa untuk bekerja di studio Malay Film Production (MFP) sebagai krew penggambaran atas bantuan pelakon Shariff Dol.

Berkat kesabarannya Aziz diberikan watak pembantu dalam filem Putus Harapan pada tahun 1953 arahan B. N. Rao sebagai seorang guru sekolah.


Biarpun bukan peranan utama namun dia berjaya menjiwai watak berkenaan disamping pelakon utamanya iaitu  P.Ramlee, Rokiah Jaafar dan Nordin Ahmad.


Filem Bujang Lapok yang menggandingkannya bersama dua sahabat baiknya iaitu P.Ramlee dan S.Shamsuddin menjadi fenomena sehingga ke hari ini.
Ekoran kejayaannya membawakan watak dalam filem itu dengan baik, pihak pengurusan memberikan kontrak selama tiga tahun untuk bernaung bawah MFP dan di situlah bermulanya karier Allahyarham sebagai pelakon.


Aziz telah membintangi lebih daripada 50 buah filem sepanjang kariernya namun sudah tentu paling meninggalkan kesan kepada penonton adalah kemunculannya dalam filemBujang Lapok  bersama  P.Ramlee dan S. Shamsuddin pada tahun 1957.


Ramli, Sudin dan Aziz - tiga watak yang sehingga kini melekat di hati peminat filem Melayu siri Bujang Lapok dan kejayaan filem itu melonjakkan nama Aziz sebagai salah seorang pelakon dan pelawak terbaik dalam era filem Melayu.


Wajah Aziz yang dirakamkan oleh jurugambar The Star pada awal tahun 1990-an.
Keserasian tiga sahabat itu membuatkan mereka sering digandingkan bersama antaranya termasuklah Pendekar Bujang Lapok (1959), Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok (1961).

Penutupan MFP pada tahun 1967 telah membuka lembaran baharu kepada kerjaya seni Aziz apabila dia mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur bagi merancakkan kembali dunia perfileman Melayu yang hampir pupus ketika itu.

Kolaborasi dengan M.Borhan sehingga tertubuhnya Sabah Film meneruskan kerjaya Aziz sebagai pengarah apabila terhasilnya filem Keluarga Si Comat yang turut diarahkan oleh Aziz pada 1975.

Tidak hanya mengarah, Aziz turut berlakon dan menulis skrip filem berkenaan yang membariskan pelakon seperti S. Shamsudin, Ibrahim Pendek dan Junainah M.Amin.

Aziz (dua dari kanan) pernah menggangotai kumpulan Panca Sitara 3 bersama Ahmad Daud (paling kiri), Aziz Jaafar, Normadiah dan Nasir P.Ramlee.
Selain Keluarga Si Comat, Aziz turut mengarahkan beberapa buah karya lagi dalam kariernya seperti Si Badol (1979), Prebet Lapok  (1979), Penyamun Tarbus  (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria  (1993).

Penubuhan syarikat produksi dan penerbitan filem itu telah menjadi pencetus kepada kebangkitan era baharu industri perfileman Melayu sejak itu dan berkembang sehingga ke hari ini.


Kontroversi



Biarpun personalitinya kelihatan bersahaja dan mudah didekati namun Aziz turut dikenali dengan kelantangannya dalam menyuarakan hak sebagai seorang artis veteran dan pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Artis Veteran dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Beberapa kali penulis sempat menghadiri beberapa acara melibatkan persatuan hiburan di negara ini, Aziz tidak pernah melepaskan peluang untuk hadir biarpun sekadar mendengar apa yang dibincangkan.



Lebih mesra dengan sapaan Pak Ajis beliau semasa hayatnya aktif dalam aktiviti persatuan terutamanya dalam membela nasib pelakon veteran.
Kata-kata yang diluahkan sama ada pendapat atau pun cadangan sentiasa mendapat perhatian dalam meningkatkan industri perfileman Malaysia.



Kelantangannya bersuara bagi menegakkan hak sebagai seorang artis veteran juga sering mendapat perhatian malah keputusannya melepaskan jawatan dalam Karyawan kerana tidak berpuas hati dengan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez bukti dia bukan mudah dipermainkan.

Namun Aziz tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan hibanya apabila ada pihak mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadapnya membuatkan dia merajuk hati dengan situasi dalam industri seni ketika itu.

Namun rajuk si Pak Ajis tidak lama kerana sifat pemaaf dan saling memperbetulkan semua salah faham akhirnya menjernihkan semula kemelut yang berlaku.

Aziz pernah muncul dalam program Anita bersama Mustafa Maarof yang dihoskan oleh penyanyi Anita Sarawak.
Dalam pada itu dialognya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok  iaitu “siapa tak sayang bini daa…” tetap menjadi ingatan sehingga ke hari ini.

Dek kerana populariti dialog itu, maka terhasilah filem yang dibaut dalam bentuk cekera padat video (VCD) iaitu Siapa Tak Sayang Bini  hasil tulisan skrip  Allahyarham pada tahun 2003.

Pemergiannya pada pagi Selasa akibat serangan jantung di Pusat Perubatan KPJ Kajang kira-kira pukul 2 pagi mengejutkan seluruh masyarakat tidak kira tua mahu pun muda.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana dekat sini selepas solat Zohor dan pemergiannya ditangisi peminat-peminatnya.

Malah rakan artis dari segenap lapisan umur turut berhimpun bagi memberi penghormatan kepadanya selain mereka turut menyifatkan pemergiannya adalah satu kehilangan cukup berharga kepada industri perfileman negara.


Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana selepas solat Zohor pada Selasa.
Allahyarham pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara  yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor  pada awal tahun 1950-an.

Pada tahun 2007,  Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.

Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai).

Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100.

Bagaimanapun mereka dikatakan bercerai pada 3 Mac 2012. Hasil perkongsian hidup Aziz dengan perkahwinannya yang terdahulu, beliau dikurniakan tujuh orang anak, 20 cucu dan 10 cicit.


Pemergian Aziz Sattar umpama hilangnya sebutir permata. 

Semoga Allah memberi rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.
MStar

No comments:

Post a Comment