KUALA LUMPUR: Meskipun PAS Pusat menyokong Datuk Seri Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang kali ini, ia tidak bermakna Pemuda PAS bersetuju melantik Penasihat Ekonomi Selangor itu sebagai Menteri Besar yang baru, kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.
"Pemuda PAS bertegas menyokong Anwar sebagai calon PRK Kajang tapi tidak bermakna Pemuda PAS bersetuju beliau menjadi MB yang baru.
"Pemuda PAS mendesak agar isu MB dihentikan segera kerana rakyat telah muak dengan polemik tak berkesudahan.
"Kita sebut hal ini dalam Mesyuarat Lujnah Politik Pemuda PAS malam tadi. MB masih pegang jawatan itu. Kita khuatir ia akan berpanjangan melibatkan rakan-rakan PR dan pihak istana," katanya di sidang media parti itu di ibu pejabat PAS, pagi ini.
PRK DUN Kajang diadakan setelah penyandangnya Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar.
Tindakan itu juga dikatakan merintis jalan untuk Anwar dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Keputusan itu juga kononnya bagi melerai perbalahan yang berlaku antara Khalid dan Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali.
Dalam sidang media yang sama, Suhaizan mengakui Pemuda PAS kesal dengan alasan pengosongan kerusi tersebut yang padanya membazir dana awam.
"Kita khuatir permainan pihak lain yang inginkan ia berpanjangan hingga lupakan kepentingan rakyat Selangor,"
"Kita kesal dengan tindakan itu, membazir masa dan duit rakyat. Ia mendedahkan PR kepada risiko kemerosakan sokongan rakyat," katanya.
Dalam hal berkaitan, Pemuda PAS Pusat melalui Mesyuarat Lujnah Politiknya membuat ketetapan melantik Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Selangor, Hairul Nizam Tohar sebagai Ketua Penyelaras Pilihan Raya PRK Kajang bagi parti itu.
Antarapos
PETALING JAYA: Perbalahan antara sekutu pakatan pembangkang berhubung pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR)terus berpanjangan khususnya membabitkan kedudukan kerusi menteri besar.
Terbaharu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) membidas pendirian Pemuda PAS Pusat yang menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai menteri besar sekiranya menang pada pilihan raya kecil kawasan itu nanti.
Ketua AMK Johor, Khairil Adanan berkata sekutu Pakatan Rakyat termasuk PAS seharusnya menyokong pendekatan yang dilakukan PKR di Selangor.
“AMK Johor menyelar kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda PAS yang tidak bersetuju sekiranya Datuk Seri Anwar diangkat sebagai menteri besar Selangor sekiranya beliau menang. Kita tidak nampak sekiranya Datuk Seri Anwar diangkat ke jawatan itu akan memudaratkan rakyat Selangor itu sendiri.
“Kita tawarkan pemimpin bertaraf dunia untuk Selangor dan secara tidak langsung akan memantapkan lagi kerjasama dalam Pakatan Rakyat khususnya di Selangor,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian terbaharu Pemuda PAS Pusat yang dinyatakan ketuanya, Suhaizan Kaiat agar semua pihak menghentikan perbincangan mengenai jawatan menteri besar.
Katanya walaupun PAS menyokong keputusan PKR menamakan Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen sebagai calon di DUN Kajang, ia tidak bermakna parti itu menyokong pelantikan Anwar mengantikan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas Adun kawasan itu, Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan secara tiba-tiba pada 27 Januari lepas.
Keputusannya itu membolehkan Anwar diletakkan sebagai calon untuk kerusi tersebut.
Inilah julung-julung kalinya Anwar akan bertanding di sebuah kerusi dewan undangan negeri.
Beliau sebelum ini menjadi ahli parlimen Permatang Pauh. – Mstar.
No comments:
Post a Comment