ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BN UMUM CALON #PRKKAJANG

Friday, 21 February 2014

BN UMUM CALON #PRKKAJANG


Barisan Nasional (BN) mengumumkan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, sebagai calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac depan.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media PRK Kajang di Menara Dato Onn di sini, sebentar tadi.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sedia berdepan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) Kajang 11 Mac ini.

Chew berkata, beliau tidak takut untuk berdepan dengan Anwar walaupun tokoh pembangkang itu adalah satu nama besar dalam arena politik negara.


"Ia sudah menjadi tanggungjawab saya apabila dipilih sebagai calon bagi Barisan Nasional (BN) pada PRK Kajang.

"Saya sedar pilihan raya kecil ini adalah satu cabaran yang amat besar kepada saya kerana terpaksa berdepan dengan seorang pemimpin yang ada nama besar dalam politik.

"Namun saya sedar bahawa pilihan raya kecil ini diadakan secara sengaja oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyelesaikan masalah dalaman parti mereka.

"Oleh itu, bagi mempertahankan prinsip demokrasi, saya perlu dan terpanggil untuk menerima cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima watikah pelantikan sebagai calon BN bagi PRK Kajang daripada Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Menara Datuk Onn di sini, Jumaat.

Chew berkata, BN tetap akan berdepan dengan cabaran supaya memberi peluang kepada rakyat untuk mempertahankan semangat demokrasi.

"Kita tidak mahu melihat mana-mana pihak yang berniat untuk memanipulasikan prinsip demokrasi kita sewenang-wenangnya.

"Seperti yang selalu disebut oleh Pakatan Rakyat bahawa perkembangan budaya politik yang lebih sihat dalam sistem dua parti, PRK ini merupakan satu peluang bagi pengundi-pengundi Kajang untuk memilih seorang Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) MCA ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya parti pembangkang Selangor iaitu BN dapat menyatupadukan kekuatan dan mendengar suara segenap lapisan masyarakat dalam DUN," katanya.

Menurut Chew, beliau memohon restu dan sokongan daripada pengundi-pengundi supaya dipilih sebagai Adun Kajang.

"Yang mana, ini dapat memperkuatkan lagi parti pembangkang di Selangor dalam peranan kami sebagai sebuah entiti 'check and balance ' kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Sekiranya ditakdirkan kemenangan tercapai, ini bukan anugerah kepada Chew Mei Fun semata-mata sebagai individu tetapi melambangkan DUN dapat menghala ke arah sistem dua parti yang lebih sihat dan bersesuaian dengan ciri-ciri kepelbagaian negara kita," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengundi Kajang supaya memberi satu peluang kepada beliau dan BN untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Berdasarkan rekod saya semasa saya pernah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, saya berikrar akan terus menjadi seorang wakil rakyat yang mudah didampingi dan dihubungi rakyat, yang benar-benar membantu rakyat.

"Ini adalah janji saya, jika saya menjadi calon pilihan pengundi di Kajang maka saya akan menggalas dan memikul tanggungjawab sendiri kepada pengundi, dan bukannya melalui pembantu atau setiausaha saya.

"Saya menyeru kepada anda semua supaya memberi satu peluang kepada saya, untuk bekerja untuk anda," katanya.

Selain pernah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara antara 1999 dan 2008, Chew juga pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, senator dan ketua wanita MCA.

No comments:

Post a Comment