KULIM: Seorang penternak kambing parah ditembak ketika sedang minum di sebuah restoran di Taman Makmur, Lunas dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa yang berusia 39 tahun sedang minum bersama seorang rakannya apabila seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup dan bersenjatakan pistol meluru masuk ke dalam restoran itu lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.
Katanya suspek yang dikatakan datang ke tempat kejadian bersama seorang lelaki lain dengan menaiki sebuah motosikal bergegas meninggalkan tempat kejadian selepas menembak mangsa.
"Mangsa yang cedera di bahagian kaki, dada dan perut rebah ke lantai restoran tersebut dalam keadaan berlumuran darah akibat tembakan bertalu-talu.
Lelaki itu kemudian dikejarkan ke Hospital Kulim oleh pasukan polis yang tiba sejurus mendapat maklumat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Polis menjumpai lapan kelongsong peluru pistol di tempat kejadian.
Ghuzlan berkata kejadian malam tadi itu merupakan kejadian kedua serangan bersenjata api yang berlaku di daerah ini dalam tempoh empat hari.
"Dalam kejadian pertama, seorang pengawal keselamatan maut diserang seorang lelaki bersenjatakan pistol di persimpangan lampu isyarat bersebelahan kilang memasang kereta Inokom di Lebuhraya Kulim-Baling kira-kira 9 pagi pada 20 Feb lalu," katanya.
Beliau berkata kejadian malam tadi berlaku kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian pertama.
"Polis sedang mengesan suspek-suspek berkenaan dan tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa diserang akibat balas dendam dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut atau mengetahui sesuatu mengenainya boleh menghubungi polis di talian 04-4906222 (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim ASP M. Tharmalingam). - BERNAMA
No comments:
Post a Comment