ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TUN M LANGGAR PRINSIP PENTINGNYA PERPADUAN !!!

Tuesday 1 March 2016

TUN M LANGGAR PRINSIP PENTINGNYA PERPADUAN !!!

Tun Mahathir langgar prinsip pentingnya perpaduan - Penganalisis politik

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO dilihat telah melanggar prinsip pentingnya perpaduan dalam parti yang turut diperjuangkan beliau ketika memimpin negara selama 22 tahun.

Penganalisis politik berpendapat tindakan mantan perdana menteri itu bukan satu tindakan bijak kerana ia dilihat lebih bersifat peribadi Dr Mahathir terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang Tun Dr Mahathir buat hari ini amat bercanggah dengan apa yang beliau pernah perkatakan ketika menjadi Presiden UMNO sebelum ini.

"Saya melihat tindakan Tun Mahathir hari ini sudah menjadi terlalu peribadi dengan Najib," kata pensyarah kanan Prof Madya Dr Jeniri Amir dari Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Dr Mahathir, 90, pada Isnin mengumumkan beliau sekali lagi keluar daripada UMNO.

Sebelum ini, Dr Mahathir keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 selepas beliau dilaporkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan perdana menteri dan presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

"Setiap pemimpin ada cara dan prinsip yang berbeza dan saya melihat Dr Mahathir sentiasa mahu melihat adanya seorang perdana menteri yang mempunyai cara yang sama seperti mana beliau pernah menerajui negara ini," katanya.

Jeniri berkata ketika kepemimpinan negara bertungkus lumus berusaha menangani isu berkaitan ekonomi, tindakan bekas presiden UMNO itu dilihat hanya memberi imej yang buruk kepada Malaysia.

"Sekarang masanya pemimpin negara untuk bersatu menghadapi cabaran ekonomi yang pada saya lebih penting dan bukannya berterusan berpolitik," katanya.

Sementara itu, pensyarah Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abd Hamid berpendapat tindakan Mahathir itu lebih bersifat peribadi dalam usahanya memberi tekanan kepada kepimpinan Najib.
"Ini permainan politik, selepas berusaha menekan dari dalam (parti) gagal, kini beliau cuba menekan pula dari luar," katanya.

Penganalisis Geopolitik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali pula percaya tindakan bersifat peribadi itu tidak akan menjejaskan solidariti ahli-ahli UMNO.

"Jika dibanding situasi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantungkan jawatan sementara sebagai Timbalan Presiden UMNO, kita lihat hanya ada bahagian kecil UMNO sahaja yang tidak menyokong," katanya.

No comments:

Post a Comment