ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: POLIS RAMPAS DADAH, PISTOL

Wednesday 2 March 2016

POLIS RAMPAS DADAH, PISTOL


KOTA BAHARU - Polis Kelantan merampas dadah bernilai RM284,356 dan dua pucuk pistol dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Mas dan Pengkalan Chepa di sini pada 28 Feb dan semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, serbuan pertama oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sebuah rumah di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas pada Ahad lalu, berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 28 dan 31 tahun.

"Dalam serbuan pukul 2 pagi tersebut (Ahad lalu) pihak kami merampas dua pucuk pistol jenis Semi Auto dan Stage 3.8 serta 17 butir peluru pelbagai jenis dalam rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas rumah berkenaan, kami turut menemui 1,800 biji pil kuda (Methamphetamine) bernilai RM36,000 yang disembunyikan dalam sebuah bilik," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mazlan berkata ketiga-tiga suspek disyaki anggota sindiket "Fuad" yang bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di Pasir Mas sejak setahun lalu.

"Mereka ini ialah saki-baki anggota kumpulan Buyong yang kita tahan dahulu, malah mereka ini bukan sahaja terlibat aktif dalam pengedaran dadah, mereka juga terlibat dengan penjualan senjata api kepada orang tertentu," katanya.

Katanya, kesemua suspek yang positif dadah jenis Amphetamine direman seminggu bermula 28 Feb lepas untuk siasatan lanjut.

Polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM50,000 yang disyaki digunakan suspek untuk aktiviti jenayah, katanya.

Mazlan berkata serbuan kedua pada 5.45 pagi hari sama (Ahad) di sebuah rumah di Taman Rantau Panjang, Pasir Mas, polis menahan sepasang suami isteri warga Thailand yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap salah satu bilik di rumah berkenaan, polis menjumpai 2,062 biji pil kuda bernilai RM41,240. 

"Siasatan mendapati pasangan ini yang berusia 33 (suami) dan 21 tahun (isteri) mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan berniaga kedai makan (di Rantau Panjang) bagi mengaburi masyarakat dan pihak berkuasa sejak setahun lalu," katanya.

Kedua-dua suspek direman enam hari bermula pada 29 Feb lepas untuk siasatan lanjut.    

Sementara itu, dalam serbuan ketiga semalam (Isnin) yang dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kelantan, polis menahan seorang lelaki berumur 26 tahun di Kampung Chenok, Pengkalan Chepa di sini.

"Serbuan pada pukul 12.10 malam itu, polis berjaya merampas lebih 1,400 biji pil kuda (Methaphetamine), 322 gram Syabu, lebih 4,300 biji pil erimin 5 dan enam botol heroin seberat 24 gram, yang keseluruhannya bernilai RM207,116," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah kereta, sebuah motosikal dan sebuah telefon bimbit bernilai RM39,600.

Suspek direman direman seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut. 
Bernama

No comments:

Post a Comment