ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KES LIWAT II : ANWAR SEHARUSNYA DIDAPATI BERSALAH KERANA BUKTI KUKUH - SHAFEE

Thursday 6 March 2014

KES LIWAT II : ANWAR SEHARUSNYA DIDAPATI BERSALAH KERANA BUKTI KUKUH - SHAFEE


PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, kerana bukti yang dikemukakan di mahkamah amat kukuh, Mahkamah Rayuan diberitahu Khamis.
Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata oleh itu, mahkamah seharusnya membenarkan rayuan pihaknya berhubung pembebasan Anwar.
Beliau berkata ketika diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Anwar memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh, yang menyaksikan dia tidak boleh disoal balas.
Muhammad Shafee berkata Anwar tidak berani memberi keterangan dari kandang saksi sebaliknya memilih untuk ‘bersembunyi’ di dalam kandang tertuduh dan menyerang kerajaan, hakim serta timbalan pendakwa raya.
“Keterangan beliau dari kandang tertuduh hanya penafian semata-mata selepas memberi notis alibi,” katanya sambil menambah hakim yang mendengar perbicaraan kes itu tidak mengambil kira keterangan Anwar dari kandang tertuduh.
Beliau berkata bagaimanapun, tiada secebispun pembelaan alibi dikemuka kepada mahkamah dan Anwar menggugurkan terus pembelaan itu ketika disoal berhubung klip video dari kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kondominium terbabit.
Muhammad Shafee berkata rakaman CCTV itu menunjukkan ketibaan serta kepulangan Mohd Saiful dan Anwar.
Katanya, Anwar menafikan melakukan perbuatan itu namun tidak menafikan bahawa dia berada di tempat kejadian.
Muhammad Shafee berkata demikian ketika berhujah di depan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh yang mendengar rayuan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012, yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Menyentuh isu lain, beliau berkata hakim mahkamah tinggi terkhilaf apabila memutuskan bahawa 11 item yang dibungkus berasingan dan mengandungi sampel DNA telah dicemari.
Muhammad Shafee juga berkata tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa sampel itu ‘diusik’ kerana bungkusan itu masih bertutup meskipun diletak dalam sampul oleh pegawai penyiasat kes berkenaan iaitu Jude Pereira.
Beliau berhujah kredibiliti pakar asing pembelaan boleh dipertikai kerana memberi keterangan berdasarkan buku teks serta manual sedangkan pakar tempatan menganalisis sampel DNA daripada Mohd Saiful.
Sementara itu, peguam Karpal Singh membantah hujah Muhammad Shafee berkaitan keputusan Anwar memberi keterangan dari kandang tertuduh.
“Ini merupakan hak substantif tertuduh, Anwar memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh dan pendakwaan tidak seharusnya dibenar membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu bagi meracuni pendapat mahkamah,” katanya.
Beliau juga berkata mahkamah tidak sepatutnya mengganggu keputusan hakim perbicaraan berhubung keterangan pakar.
Peguam Ram Karpal Singh pula berhujah mahkamah harus menolak rayuan itu kerana pakar telahpun memberi keterangan bahawa sampel terbabit sudah tercemar.
Perbicaraan kes bersambung esok 
Bernama

No comments:

Post a Comment