BESUT - Gara-gara mencungkil gigi dengan jarum peniti, seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Hulu Besut terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tertelan jarum tersebut.
Dalam kejadian jam 1 petang, kelmarin, mangsa Muhammad Alif Aiman Zulkifli mencungkil gigirnya selepas makan, namun tiba-tiba jarum berkenaan termasuk ke dalam mulutnya dan tertelan.
Ibu mangsa, Zawahir Mustafa, 40, berkata, kejadian di sekolah itu berlaku apabila anaknya mencungkil celah gigi dengan sebatang jarum peniti sambil bercakap.
Menurutnya, usaha anaknya untuk mengeluarkan jarum tersebut gagal menyebabkan rakan anaknya segera memberitahu guru sebelum dibawa ke Hospital Besut.
“Sebaik tertelan jarum peniti itu, suaranya langsung tidak keluar dan tidak boleh bercakap sehinggalah sampai ke Hospital Besut.
“Namun sekarang keadaannya stabil dan dia sudah boleh bercakap, tetapi jarum tersebut masih ada di dalam ususnya,” katanya.
Zawahir berkata, pihak hospital memaklumkan, sekiranya jarum tidak keluar juga, Muhammad Alif terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
"Saya hanya mengetahui kejadian menimpa anak saya selepas diberitahu guru di sekolah.
“Kejadian ini kali pertama berlaku dan saya berharap jarum tersebut akan keluar,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana cepat membantu anaknya.
SH
No comments:
Post a Comment