ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: March 2016

Wednesday, 30 March 2016

'SAYA TAK PERNAH SOKONG DEKLARASI MAHATHIR NAK JATUHKAN NAJIB' - KU LI

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak pernah menyokong Deklarasi Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tidak timbul soal beliau berubah pendirian dan kini menyokong Najib sebagaimana didakwa bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana menandatangani Deklarasi Kelantan Khamis lalu untuk menyokong Najib sebagai perdana menteri dan presiden UMNO

“Sebenarnya dokumen itu (Deklarasi Kelantan) adalah dokumen biasa yang dibuat oleh mana-mana majlis parti politik … dokumen itu tidak ada kesan kepada perundangan. Sebagai ahli UMNO saya boleh saja tandatangan.

“Jangan salah faham, saya tandatangan sebagai ahli UMNO, saya tidak berada di mana-mana kumpulan selain daripada UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak menyokong cara Tun Mahathir untuk menurunkan Najib kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Deklarasi Mahathir tidak akan membawa apa-apa kesan kepada pemimpin serta kerajaan yang sah dipilih rakyat dan mengikut perlembagaan negara.

“Saya cakap dengan Tun Mahathir, kalau hendak buat gerakan ini akhirnya ke mana kita pergi, beliau kata akan pungut banyak sokongan menerusi tandatangan dan sebagainya dan gunakan ia untuk tekan orang atasan untuk turunkan Najib”.

Sementara itu, Tengku Razaleigh menafikan ada mengedar akuan bersumpah yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri seperti yang tersebar dalam media sosial.

“Saya lihatnya di Facebook melalui telefon saya … tidak berapa jelas seperti surat kepada Agong meletak nama saya sebagai contoh,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata beliau sudah terlalu lama dalam UMNO untuk menjadi seorang perdana menteri dan adalah mustahil beliau yang menulis surat tersebut dan meletak nama sendiri.

TIADA LAPORAN GULA-GULA DADAH

Polis belum menerima sebarang laporan mengenai gula-gula yang dikatakan mengandungi dadah dan menyebabkan kanak-kanak menjadi ketagih selepas memakannya seperti didakwa di laman sosial baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu namun, masih tiada laporan diterima daripada orang ramai mengenai dakwaan tersebut.

Menurut beliau, gula-gula itu dipercayai dikilangkan di Myanmar berdasarkan plastik pembalutnya.

“Kemungkinan ia adalah gula-gula betul dan dijual di negara berkenaan selain di laman web syarikat tersebut.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab membungkus dadah menggunakan pembungkus gula-gula tersebut,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.
kosmo

DICERAI TALAK TIGA, SELEPAS SETENGAH JAM BERNIKAH !!!


KUALA LUMPUR –  Gara-gara wang hantaran tidak cukup seribu, seorang lelaki menceraikan isterinya selepas setengah jam melangsungkan pernikahan.

Insiden itu berlaku selepas hantaran yang diletakkan keluarga pengantin perempuan sejumlah RM22,222.22, didakwa tidak dapat disediakan oleh pengantin lelaki.

“Hantaran kahwin mak ayah perempuan ni letak, mahal gila, tapi si laki ni setuju. Aku tengok pun lelaki ini bukan calang-calang orang.

“Hari akad nikah, gembira sahaja dua-dua belah pihak. Pengantin muka dah tak saba mengawan. Ye la, musim hujan masa tu. Tok kadi sampai, maka berlangsung la acara akad nikah dan selamba dengan senafas sahaja si lelaki lafazkan akad. Hantaran pun bertukar tangan begitu gak ngan mas kahwin. Masa lelaki tu nak baca lafas takliq, tiba-tiba saudara dari pihak perempuan bising duit hantaran tak cukup seribu,”tulis jurugambar, Boii Amani Hashim yang memuat naik status perkongsian di Facebooknya, beberapa jam lalu.

Tambah Boii Amani, pengantin perempuan terus sahaja bangun dari tempat duduknya.

“Tinggikan suara kat pengantin laki bertanyakan pasal ape tak cukup seribu…siap pihak pompuan perli-perli ‘dah tau tak cukup duit tapi gatal sangat nak kahwin tu kenapa?’ (jeritnya).

“Yang pengantin lelaki walaupun mata berkaca, dia senyum saja. Dia amik ‘mic’ pastu dia cakap, baru jadi isteri tak sampai setengah jam dah camni. Saje saya tak cukupkan seribu sebab nak tengok kamu macam mana. Ni ada saya bawa wang yang tak cukup tu, (sambil buka beg yang berkepuk-kepuk duit 50 dan 100). Tak apa la…alang-alang semua ada kat sini, boleh jadi saksi saya. Saya ceraikan awak dengan talak tiga,” tulis Boii yang turut menceritakan lelaki itu terus beredar daripada majlis tersebut.

Tinjauan SuaraTV mendapati, ramai yang mengecam tindakan pengantin perempuan dan ahli keluarga yang mengenakan wang hantaran yang tinggi.

Ada juga yang berpendapat, keluarga pengantin perempuan tidak boleh keterlaluan dan mementingkan wang ringgit semata-mata hanya kerana ingin mengahwinkan anak mereka.

Ada juga menyifatkan di zaman ini, tindakan ibu bapa sama seperti ingin meniagakan anak perempuan mereka.

Arini Suhaimi berkata, “Pelik la, arwah Tok Guru Nik Aziz pun ambik seribu je. Itu anak tok guru!,”tulisnya.

“Ingat dia bangun nak ‘back up’ si laki. Awak dapat apa yang awak buat. Puas hati aku,” ujar Elinda Hashim.

Manakala Awin berkata, “Pengantin perempuan jangan terlalu tamak, nak caj mahal-mahal. Keluarga perempuan jangan macam niaga anak!,”katanya.

Zanzolees berkata, “Zaman ke zaman manusia bertindak seperti binatang. Tamak haloba!,”tulisnya.

Terdahulu, sebuah video mengenai satu majlis pernikahan bertukar kecoh apabila wang hantaran tidak mencukupi.

Kejadian dikatakan berlaku pada Sabtu lalu di Masjid Jamek Al Khadijah dekat Pantai Dalam itu bertukar kecoh apabila berlaku kejadian maki hamun dan pergaduhan melibatkan kedua belah pihak.

Susulan itu, saudara pengantin perempuan tampil memberi penjelasan menerusi kejadian yang berlaku.

Terbaharu, pengantin lelaki turut tampil membuat penjelasan berhubung insiden tersebut.
SuaraTV

Tuesday, 29 March 2016

SEKUMPULAN PEMANDU TEKSI LANCAR MOGOK DI BUKIT BINTANG

PETALING JAYA: Sekumpulan pemandu teksi pada Selasa melancarkan mogok di Bukit Bintang bagi membantah perkhidmatan Uber dan GrabCar.

Protes di Jalan Bukit Bintang berhadapan Hotel Grand Millennium dan berdekatan pusat membeli-belah Fahrenheit 88 dan Pavilion itu mengakibatkan kesesakan teruk.

Bantahan yang bermula kira-kira pukul 11 pagi itu dibuat oleh puluhan pemandu teksi yang sengaja menutup Jalan Bukit Bintang.

Puluhan pemandu teksi sengaja menutup Jalan Bukit Bintang sebagai tanda protes. Foto twitter @bernamadotcom
Menurut The Star Online, pihak polis mengadakan pertemuan dengan ketua kumpulan bantahan itu pada pukul 11.30 pagi dengan menasihatkan kesemua mereka supaya bersurai.

Antara yang ditahan polis ialah Timbalan Presiden Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain.

"Kami di sana bagi membantah Uber dan GrabCar," kata Kamaruddin kepada The Star menerusi telefon semasa beliau dibawa polis.

Kamaruddin berkata, beliau bukan penganjur protes tetapi berada di sana bagi menyokong perhimpunan itu.

Beliau berkata, tiga lagi pemandu teksi turut ditahan.

Seorang jurucakap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, mereka menyedari mengenai isu itu dan akan mengeluarkan kenyataan media.
mStar

'HENTI SPEKULASI SAYA GABENOR BANK NEGARA'

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. "Hentikan spekulasi saya sebagai Gabenor Bank Negara," kata Datuk Dr Awang Adek Hussin yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) pada 7 April ini.

Awang Adek yang pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan selama tujuh tahun sejak 2006 di bawah dua perdana menteri berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai spekulasi yang beliau akan menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang akan bersara bulan depan.

Beliau berkata tarikh 7 April itu adalah tamatnya tarikh pelantikannya sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat untuk tempoh dua tahun, dan beliau tidak mahu menyambung kontrak itu kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga.

Awang Adek berkata demikian kepada wartawan Malaysia yang berada di sini untuk liputan kerja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear.

Ahmad Zahid akan tiba pagi Selasa untuk lawatan kerja selama tujuh hari.

Awang Adek berharap orang ramai dapat menghentikan spekulasi berkenaan kerana keputusannya untuk tidak menyambung kontrak perkhidmatan sebagai Duta Besar di AS adalah pilihan sendiri.

Apabila dinyatakan bahawa beliau merupakan antara calon yang sesuai memandangkan beliau pernah menjadi penolong gabenor Bank Negara dari 1996 hingga 2001:

"Tak adalah... itu (calon Gabenor Bank Negara) orang lain. Banyak lagi orang lain (yang layak). Saya tidak tahu dan saya rasa tak ada sebab orang selalu cakap saya tak minat (menggantikan Zeti).

"Kita serah pada orang Malaysia, kita ini (duduk) jauh. Saya tak nak buat spekulasi dan tak perlu pun buat spekulasi mengenai nama saya," katanya.

Awang Adek, yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi dan telah bertugas dengan Bank Negara selama 16 tahun hingga ke jawatan penolong gabenor Bank Negara adalah antara tiga calon yang disebut-sebut paling popular untuk menggantikan Zeti.

Dua lagi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim.    

Zeti akan bersara selepas menerajui bank berkenaan selama lima penggal sejak 2000.

Awang Adek, berulang kali berkata beliau memilih untuk kembali ke tanah air semata-mata kerana mahu meluangkan masa dengan keluarga yang hampir kesemuanya di Kuala Lumpur.

"Saya mahu meluangkan masa dengan keluarga. Saya tak nak sambung," kata beliaunya yang akan menerima cucu keduanya tidak lama lagi.

Semasa ditanya apa yang akan dilakukanya apabila kembali ke Malaysia nanti, katanya, buat sementara waktu beliau hanya mahu berehat dahulu. 
Bernama

Wednesday, 23 March 2016

DATUK VIDA CADANG BINA STADIUM BAHARU KELANTAN BESERTA HOTEL


LONDON: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mahu membina stadium baharu Kelantan dan Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) mengikut acuan kelab bola sepak Inggeris, Arsenal yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM520 juta.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata stadium dan hotel bertaraf enam bintang itu seharusnya dibina di tengah bandar sebagaimana yang dilakukan pasukan kendalian pengurus Arsene Wenger.
"Saya bercita-cita besar dengan mengimpikan stadium seperti Arsenal. Bukan sahaja terletak di lokasi yang strategik iaitu di pusat bandar, ia juga mudah dikunjungi dan menjadi tumpuan pelancong.
"Malah, keadaan persekitaran stadium itu turut menjadikan Arsenal sebuah pasukan yang unik dan ada identiti tersendiri kerana dikelilingi beberapa blok apartmen mewah dan hotel," katanya kepada mStar Online pada petang Selasa.
Sebelum itu, Vida berkesempatan melawat stadium tersebut selama hampir dua jam selepas kunjungan ke Manchester United terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Justeru beliau mahu kerajaan Kelantan mempertimbangkan semula tawaran untuk membina hotel dan stadium kedua negeri itu di tanah seluas 108 hektar di Bukit Merbau dekat Pasir Puteh.
"Saya harap agar kerajaan negeri pertimbangkan semula tawaran tanah itu. Ini berikutan beberapa faktor yang perlu diambi kira termasuk jarak dan ketiadaan kemudahan infrastruktur yang lengkap," katanya.
Menurut jutawan kosmetik itu, beliau sedia mempertimbangkan jika kerajaan Kelantan berhasrat menawarkan lokasi baharu yang lebih strategik iaitu di Bandar Baru Tunjung.
"Lokasi di Bandar Baru Tunjung mungkin pilihan kedua selepas pusat bandar. Saya sedia pertimbangkan jika kerajaan negeri menawarkan lokasi tersebut," katanya.
Mengulas lanjut mengenai Stadium Emirates, Vida mengakui amat terpegun dengan struktur reka bentuk stadium tersebut yang unik, menarik, berbumbung dan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pemain serta juga penonton.
"Inilah stadium yang kita nak bina untuk Kelantan. Sebaik memasuki stadium aura kehebatan pasukan ini dapat kita rasai.
"Tidak mustahil Kelantan akan memiliki stadium seperti ini suatu hari nanti. Namun yang penting, sesebuah kemenangan itulah yang akan mencongak hala tuju pasukan ini," katanya.
Stadium Emirates yang terletak di Holloway, Islington, London mampu memuatkan seramai 60, 361 penonton untuk setiap perlawanan dan menelan kos kira-kira 470 juta pound.
Ia merupakan stadium kedua terbesar bagi pasukan Liga Perdana Inggeris selepas Stadium Old Trafford yang merupakan gelanggang pasukan Manchester United. 

VIRAL PESAWAT MAS TERHEMPAS PALSU !!!

Auta

Sebuah mesej tersebar di WhatsApp mengatakan pesawat Malaysia Airlines MH020 dari  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Paris terhempas di Leon Paris, jam 12.15 pagi semalam.

Mesej itu turut menyebut kesemua penumpang seramai 350 orang termasuk 16 anak kapal berbangsa Melayu terkorban.

Fakta

Mesej viral pesawat MAS MH020 terhempas disahkan palsu oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Azharuddin dalam kenyataan kepada Sinar Harian berkata, MAS telah menghentikan penerbangan MH020 sejak 20 Januari lalu.

TIGA HARI SUHU 40 CELCIUS DIISYTIHAR KAWASAN KECEMASAN GELOMBANG HABA

Tiga hari suhu 40 celsius diisytihar kawasan kecemasan gelombang haba - Madius

Kawasan yang merekodkan bacaan suhu melebihi 40 Celsius selama tiga hari berturut-turut akan diisytihar sebagai kawasan kecemasan gelombang haba Tahap 3, kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata apabila pengisytiharan itu diumumkan, Jawatankuasa Mengatasi Teknikal El Nino dan Cuaca Kering yang dianggotai pegawai kementerian serta pelbagai agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan akan berbincang sama ada sekolah akan ditutup.

"Keputusan penutupan sekolah tidak boleh dibuat sebarangan. Hanya dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Meteorologi dan nasihat Kementerian Kesihatan.

"Data tersebut akan diberi kepada semua jawatankuasa terlibat setiap hari pada pukul 4 petang dan terpulang kepada Kementerian Pendidikan untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan CyberSecurity Malaysia 2015, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Madius berkata tiga kawasan yang sebelum ini dilaporkan merekodkan suhu paling tinggi telah mengalami penurunan suhu setakat 4 petang Selasa iaitu Chuping, Perlis mencatat 36.6 Celsius, Alor Setar, Kedah 35.2 Celsius dan Batu Embun, Pahang 36.6 Celsius.
Menyentuh tentang ancaman siber, beliau berkata bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sebanyak 844 kes pencerobohan siber dan penipuan dicatatkan yang menyaksikan penurunan berbanding 1,201 kes bagi tempoh Januari hingga Februari tahun lepas.

Tuesday, 22 March 2016

GERHANA BULAN PENUMBRA BOLEH DILIHAT MALAM ESOK


Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penumbra yang akan berlaku pada esok iaitu 23 Mac.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Wan Hakimah Abd Rahim dalam satu kenyataan di sini berkata fenomena gerhana tersebut hanya mula dapat disaksikan apabila bulan mulai terbit pada jam 7.21 malam sehingga 9.55 malam ketika bulan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra bumi.

"Ini merupakan gerhana bulan pertama tahun ini dan diameter bulan yang dilihat adalah lebih kecil daripada diameter purata bulan memandangkan gerhana berlaku 2.1 hari sebelum bulan berada pada kedudukan paling jauh dengan bumi atau kedudukan "Apogi" 77.5 peratus.

"Bulan akan melintasi bayang penumbra Bumi semasa fasa maksimum," katanya.

Beliau berkata, pihak Angkasa; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Starfield Instruments Supply akan menganjurkan program Gerhana Bulan Penumbra mulai pukul 7.30 malam hingga pukul 9.30 malam di Planetarium Negara.

Menurutnya, Angkasa akan menyediakan beberapa teleskop untuk tujuan mencerap Gerhana Bulan Penumbra dan planet Musytari selain orang awam dialu-alukan untuk membawa teleskop sendiri.
Bernama

Tuesday, 8 March 2016

PEMBANGKANG SEDIA PENTAS UNTUK TUN M, MUHYIDDIN


Pakatan Harapan akan menganjurkan perhimpunan Muafakat Selamat Malaysia di negeri-negeri dan sedia berkongsi pentas dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selain Mahathir, mereka juga sedia bekerjasama dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pemimpin lain yang sependapat mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu sidang media bersama antara Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Nasional, Mohamad Sabu bersetuju mengenai perkara tersebut.
Mohamad Sabu diberi amanah mengetuai jawatankuasa penganjur perhimpunan berkenaan.
Walaupun senada dengan kehendak Deklarasi Selamatkan Malaysia namun mereka tetap tidak berganjak dengan fokus utama mahu membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pengakuan Mahathir ini tidak mengubah hala tuju Pakatan Harapan terutama berhubung pendirian mengenai bentuk reformasi undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan pendidikan dan sosial yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan.
"Malah pengakuan Mahathir itu adalah satu penerimaan secara tidak langsung bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas telah memangsakan Anwar yang dipenjara kerana menjadi ancaman kepada pentadbiran Najib," kata kenyataan yang sama dikeluarkan selepas perasmian Dewan Rakyat Penggal Keempat di sini hari ini.
Mahathir sebelum itu mengetuai Deklarasi Selamatkan Malaysia bersama-sama pemimpin pembangkang dan beberapa pemimpin UMNO bagi menewaskan Najib.
MalaysiaGazette

REMAJA MAUT KEMALANGAN


KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki dipercayai dalam perjalanan menghantar adiknya ke sekolah maut selepas bertembung sebuah kereta dipercayai membelok ke kanan jalan dalam kejadian di Kampung Gutong, Limbat di sini pagi semalam.

 Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, mangsa, Mohamad Ezwan Che Roslan, 14, yang menunggang motosikal dari arah Pasir Tumboh menghala ke Padang Mokkan gagal mengelak kereta terbabit dari arah bertentangan yang membelok masuk ke simpang kanan masjid itu.

Mangsa turut terlanggar bahagian tepi pintu kereta terbabit sebelum tercampak di tempat kejadian.

Saksi kejadian, Mohamad Nazri Mohd berkata, mangsa parah di kepala.

“Kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk urusan bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut keluarga," katanya.
SH

Monday, 7 March 2016

USAHA PECAT MUHYIDDIN, MUKHRIZ BERMULA



Usaha untuk memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno mula dilakukan selepas kedua-dua mereka menandatangani deklarasi rakyat menyeru penyingkiran perdana menteri.

Dua ahli Majlis Tertinggi Umno telah memulakan langkah berkenaan dengan menggesa kepimpinan parti untuk memecat bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri besar Kedah berkenaan pada mesyuarat badan itu nanti.

Pada masa yang sama, dua bahagian Umno - Subang dan Bera - telah menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilucutkan semua keistimewaan yang diberikan kepadanya oleh Kerajaan, termasuk jawatan sebagai penasihat kepada Petronas dan Pengerusi Proton dan Yayasan Kepimpinan Perdana.

Umno Bahagian Subang juga menggesa parti dan Barisan Nasional (BN) untuk menganjurkan perhimpunan bagi menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Mac - hari yang sama kumpulan anti-Najib dijadual mengadakan satu perhimpunan untuk memberi tekanan kepadanya untuk berhenti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata beliau akan mencadangkan usul untuk memecat Muhyiddin dan Mukhriz dalam mesyuarat akan datang, yang dijangka diadakan pada akhir bulan ini.

Puad berkata penyertaan Muhyiddin dan Mukhriz dalam perisytiharan untuk menggulingkan Perdana Menteri boleh "tidak akan dimaafkan".

"Keputusan mereka untuk 'bersekongkol' dengan DAP telah dilakukan dengan sengaja. Ia adalah satu pengkhianatan terhadap apa yang telah diperjuangkan Umno selama ini, iaitu untuk menolak agenda DAP," katanya.

Pada Jumaat lalu, Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz adalah antara lebih 50 ahli politik termasuk dari aktivis pembangkang dan masyarakat sivil menandatangani perisytiharan itu.

Mukhriz meletak jawatan sebagai menteri besar Kedah pada 3 Februari manakala Muhyiddin digantung sebagai Timbalan Presiden Umno pada 26 Februari lalu.

Namun kedua-duanya mereka masih kekal sebagai ahli Umno.

Dr Mahathir keluar Umno pada 29 Februari lepas - kali kedua selepas yang pertama pada 2008.

Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Muhyiddin dan Mukhriz perlu disingkirkan daripada Umno kerana mereka telah melampaui batas.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata parti itu perlu melakukan apa yang ia lakukan terhadap ahli-ahli yang menentang pemimpin tertingginya pada masa lalu.
mStar

Thursday, 3 March 2016

SAYA TERUS KEKAL DALAM UMNO, TIDAK TERBABIT KONSPIRASI JATUHKAN NAJIB - MUHYIDDIN


Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan  bahawa beliau tidak akan keluar dari parti UMNO.

Katanya beliau telah bertanya pendapat sahabat-sahabat politiknya serta keluarganya yang semua berpendapat bahawa beliau harus kekal dalam parti itu untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.

“Isu ini tidak berbangkit. Saya menjadi ahli UMNO sejak tahun 70-an.

“Saya percaya parti saya ialah parti yang baik. UMNO tidak bersalah dalam perkara ini,” katanya semasa satu sidang media di Bukit Damansara, hari ini.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa hormat dengan keputusan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan keluar dari parti pada Isnin.

Muhyiddin berkata demikian semasa merujuk kepada keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang sebulat suara memutuskan penggantungan jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO Jumaat lalu.

Beliau berkata Majlis Tertinggi UMNO telah membuat keputusan itu dengan gopoh.

Saya tidak diberikan peluang yang adil untuk bela diri saya mengikut prosedur dan tatacara parti.

“Oleh kerana itu, saya akan menghantar surat kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) di bawah Seksyen 16 Akta Pertubuhan 1966, supaya RoS boleh menjelaskan sama ada proses penggantungan itu sah di sisi perlembagaan,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa tidak sekali-kali terbabit dalam sebarang konspirasi menjatuhkan Presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sidang media itu turut disertai oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

'HUDUD BUKAN GAGAL, CUMA BELUM BERJAYA'


Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mempersoalkan dakwaan sesesetengah pihak kononnya kerajaan negeri sebenarnya gagal melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II atau hudud di Kelantan.

Menurutnya, dakwaan itu tidak tepat kerana kerajaan negeri tidak pernah mengalah dalam usaha untuk melaksanakan hudud di negeri ini walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Apa yang dimaksudkan dengan gagal tersebut, kita belum berjaya lagi, ini bukan bermakna kita gagal. Contohnya, orang naik kelapa, kita baru sampai separuh, orang tak panggil gagal lagi.

“Mungkin kita berhenti untuk ambil nafas, selepas itu kita naik baliklah, kecuali kalau kami (kerajaan negeri) gelongsor turun dari pokok, itu barulah maknanya kami gagal, kami tidak gelongsor pun. Cuma kami tersangkut di tengah-tengah,” katanya kepada media di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menganggap Pas sebenarnya gagal melaksanakan hudud yang diperjuangkan semenjak keberadaan arwah Datuk Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, hudud yang diperjuangkan itu bukanlah satu mainan politik, ia merupakan usaha berterusan. Walaupun ada yang melihat Pas diperangkap Umno  dalam isu tersebut, namun ia bukanlah semudah itu.

Mengulas mengenai usaha yang dilakukan untuk pelaksanaan enakmen tersebut, Naib Presiden Pas itu juga memberitahu, banyak kemajuan telah berlaku tanpa disedari, terutamanya daripada pihak parti lawan sendiri.

“Dulu kalau kita ingat, sebelum pilihan raya, penceramah Umno kata ia adalah hudud Pas, bercanggah dengan Mazhab Shafie, dan macam-macam lagi. Tapi hari ini, tidak ada orang kata dah, maknanya mereka sudah menerima dan mengiktiraf undang-undang hudud Kelantan ini menepati syarak.

“Ini adalah satu kejayaan dan kemajuan, apabila Kerajaan Pusat bersetuju tubuhkan jawatankuasa teknikal bersama, maknanya mereka memberi perhatian yang serius untuk melaksanakan kanun jenayah syariah ini,” katanya.
SH

Wednesday, 2 March 2016

POLIS RAMPAS DADAH, PISTOL


KOTA BAHARU - Polis Kelantan merampas dadah bernilai RM284,356 dan dua pucuk pistol dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Mas dan Pengkalan Chepa di sini pada 28 Feb dan semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, serbuan pertama oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sebuah rumah di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas pada Ahad lalu, berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 28 dan 31 tahun.

"Dalam serbuan pukul 2 pagi tersebut (Ahad lalu) pihak kami merampas dua pucuk pistol jenis Semi Auto dan Stage 3.8 serta 17 butir peluru pelbagai jenis dalam rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas rumah berkenaan, kami turut menemui 1,800 biji pil kuda (Methamphetamine) bernilai RM36,000 yang disembunyikan dalam sebuah bilik," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mazlan berkata ketiga-tiga suspek disyaki anggota sindiket "Fuad" yang bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di Pasir Mas sejak setahun lalu.

"Mereka ini ialah saki-baki anggota kumpulan Buyong yang kita tahan dahulu, malah mereka ini bukan sahaja terlibat aktif dalam pengedaran dadah, mereka juga terlibat dengan penjualan senjata api kepada orang tertentu," katanya.

Katanya, kesemua suspek yang positif dadah jenis Amphetamine direman seminggu bermula 28 Feb lepas untuk siasatan lanjut.

Polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM50,000 yang disyaki digunakan suspek untuk aktiviti jenayah, katanya.

Mazlan berkata serbuan kedua pada 5.45 pagi hari sama (Ahad) di sebuah rumah di Taman Rantau Panjang, Pasir Mas, polis menahan sepasang suami isteri warga Thailand yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap salah satu bilik di rumah berkenaan, polis menjumpai 2,062 biji pil kuda bernilai RM41,240. 

"Siasatan mendapati pasangan ini yang berusia 33 (suami) dan 21 tahun (isteri) mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan berniaga kedai makan (di Rantau Panjang) bagi mengaburi masyarakat dan pihak berkuasa sejak setahun lalu," katanya.

Kedua-dua suspek direman enam hari bermula pada 29 Feb lepas untuk siasatan lanjut.    

Sementara itu, dalam serbuan ketiga semalam (Isnin) yang dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kelantan, polis menahan seorang lelaki berumur 26 tahun di Kampung Chenok, Pengkalan Chepa di sini.

"Serbuan pada pukul 12.10 malam itu, polis berjaya merampas lebih 1,400 biji pil kuda (Methaphetamine), 322 gram Syabu, lebih 4,300 biji pil erimin 5 dan enam botol heroin seberat 24 gram, yang keseluruhannya bernilai RM207,116," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah kereta, sebuah motosikal dan sebuah telefon bimbit bernilai RM39,600.

Suspek direman direman seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut. 
Bernama

Tuesday, 1 March 2016

WSJ TIDAK ENDAHKAN FAKTA SAHIH, KATA JURUCAKAP KERAJAAN


Kerajaan Malaysia membidas Wall Street Journal kerana terus cuba mengaitkan dana yang didepositkan ke akaun Perdana Menteri dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun selepas "pelbagai pihak berkuasa sah" telah mengesahkan bahawa wang itu adalah dari Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan, seorang jurucakap kerajaan berkata: "Seperti yang dinyatakan oleh Peguam Negara Malaysia, dana yang diterima adalah sumbangan dari Arab Saudi.
"Ini telah disahkan oleh pelbagai pihak berkuasa sah yang menjalankan siasatan menyeluruh dan lengkap. Ini termasuklah pihak berkuasa Malaysia pergi ke Arab Saudi untuk memeriksa dokumentasi dan menemu bual anggota keluarga diraja dan pegawai-pegawai yang mentadbir sumbangan itu.
"Menteri Luar Arab Saudi juga telah mengesahkan bahawa dana itu adalah  dari Arab Saudi," katanya pada Selasa.
Jurucakap itu berkata demikian bagi menjawab artikel WSJ yang mendakwa bahawa lebih daripada AS$1 bilion telah didepositkan ke dalam akaun Perdana Menteri dan kebanyakannya adalah daripada 1MDB.
Jurucakap kerajaan itu berkata, ia telah memberitahu bahawa Wall Street Journal dan syarikat sekutunya terus melakukan serangan dan cuba mengaitkan 1MDB dengan sumbangan itu.
"Mereka terus mengulangi dakwaan lama yang sama tanpa memberikan bukti; mereka terus bergantung semata-mata kepada sumber-sumber tanpa nama yang mungkin tidak wujud; dan mereka terus memilih untuk mengugurkan fakta utama yang telah pun diketahui. Ini tidak beretika dan tidak diterima dalam amalan kewartawanan," katanya.
"Wall Street Journal telah menjadi alat pelakon politik tertentu yang berusaha memusnahkan Perdana Menteri dan Malaysia demi kepentingan peribadi. Tetapi kempen anti-Najib yang bermotifkan politik ini, yang menggunakan media Barat, telah pun gagal."
Jurucakap itu berkata:"Perdana Menteri memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang penting untuk Malaysia, terutamanya memerangi ancaman keganasan, dan mengukuhkan ekonomi dalam menghadapi cabaran-cabaran global.
"Angka pertumbuhan Malaysia baru-baru ini, yang melangkaui jangkaan, mengesahkan bahawa rancangan ekonomi Perdana Menteri memang berhasil."
Bernama

USTAZ KASANOVA MENGAKU BERSALAH SETUBUH LUAR NIKAH !!!


KUALA LUMPUR  – Seorang lelaki digelar ‘Ustaz Kasanova’ yang diburu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), semalam mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di sini terhadap enam pertuduhan berhubung setubuh luar nikah dan poligami tanpa kebenaran melibatkan empat wanita.

Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Nassir Abdul Ghani, tertuduh, Mohd. Razis Ismail, 34, dituduh melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang wanita berumur 40 tahun.

Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan mitigasi tertuduh yang tidak diwakili peguam itu, mahkamah menetapkan 7 Mac depan untuk menjatuhkan hukuman bagi membolehkan mahkamah meneliti segala dokumen.

Mohd. Razis didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap wanita itu sehingga melahirkan anak.

Kesalahan dilakukan di sebuah hotel di sini antara Mac dan Mei 2012 mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Mohd. Razis yang berbaju lokap berwarna kelabu, kelihatan tenang di kandang tertuduh dan mengangguk berkata: “Saya faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut”.

Mengikut fakta kes, hasil siasatan Jawi mendapati wanita itu telah memfailkan pengesahan pernikahan, tetapi pada 28 Jun 2011, Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan pernikahan antara mereka adalah tidak sah.

Mahkamah turut memerintahkan mereka dipisahkan selain wanita itu juga dihukum penjara selama tiga bulan dan disebat enam kali, namun selepas itu mereka masih tidak mematuhi undang-undang tersebut dan melakukan kesalahan sama sehingga melahirkan anak.

Terdahulu, Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin menawarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin yang berkelulusan pengurusan dan profesional selain melaporkan diri di Jawi dua hari sekali.

Dalam rayuannya, Mohd. Razis memohon kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman denda atas alasan dia hanya penjual penapis air kesihatan dan berpendapatan RM1,000 sebulan selain perlu menyara lapan anak yang masih kecil.

Hakim Nassir membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin serta melaporkan diri di Jawi dua hari sekali.

Di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Mohd. Saifullah Hamzah pula, Mohd. Razis mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan cuba berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita lain berumur 24, 35, dan 30 tahun dan dua pertuduhan lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tiga lokasi di Kedah; Golok, Thailand dan di sebuah rumah flat di Jalan Loke Yew, di sini, antara 4 April 2010 dan 26 Ogos 2012.

Mengikut fakta kes, Mohd Razis didapati menggunakan alamat tempat tinggal palsu selain menyembunyikan status perkahwinan dengan menyatakan dia masih bujang untuk mengaburi mangsa.

Alamat asal tempat tinggalnya ialah Bangsar.

Hakim Mohd. Saifullah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah jaminan yang sama dan menetapkan tarikh yang sama iaitu 7 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman.
BERNAMA

TUN M LANGGAR PRINSIP PENTINGNYA PERPADUAN !!!

Tun Mahathir langgar prinsip pentingnya perpaduan - Penganalisis politik

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO dilihat telah melanggar prinsip pentingnya perpaduan dalam parti yang turut diperjuangkan beliau ketika memimpin negara selama 22 tahun.

Penganalisis politik berpendapat tindakan mantan perdana menteri itu bukan satu tindakan bijak kerana ia dilihat lebih bersifat peribadi Dr Mahathir terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang Tun Dr Mahathir buat hari ini amat bercanggah dengan apa yang beliau pernah perkatakan ketika menjadi Presiden UMNO sebelum ini.

"Saya melihat tindakan Tun Mahathir hari ini sudah menjadi terlalu peribadi dengan Najib," kata pensyarah kanan Prof Madya Dr Jeniri Amir dari Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Dr Mahathir, 90, pada Isnin mengumumkan beliau sekali lagi keluar daripada UMNO.

Sebelum ini, Dr Mahathir keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 selepas beliau dilaporkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan perdana menteri dan presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

"Setiap pemimpin ada cara dan prinsip yang berbeza dan saya melihat Dr Mahathir sentiasa mahu melihat adanya seorang perdana menteri yang mempunyai cara yang sama seperti mana beliau pernah menerajui negara ini," katanya.

Jeniri berkata ketika kepemimpinan negara bertungkus lumus berusaha menangani isu berkaitan ekonomi, tindakan bekas presiden UMNO itu dilihat hanya memberi imej yang buruk kepada Malaysia.

"Sekarang masanya pemimpin negara untuk bersatu menghadapi cabaran ekonomi yang pada saya lebih penting dan bukannya berterusan berpolitik," katanya.

Sementara itu, pensyarah Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abd Hamid berpendapat tindakan Mahathir itu lebih bersifat peribadi dalam usahanya memberi tekanan kepada kepimpinan Najib.
"Ini permainan politik, selepas berusaha menekan dari dalam (parti) gagal, kini beliau cuba menekan pula dari luar," katanya.

Penganalisis Geopolitik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali pula percaya tindakan bersifat peribadi itu tidak akan menjejaskan solidariti ahli-ahli UMNO.

"Jika dibanding situasi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantungkan jawatan sementara sebagai Timbalan Presiden UMNO, kita lihat hanya ada bahagian kecil UMNO sahaja yang tidak menyokong," katanya.