ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MAT SABU JADI JURUCAKAP DAP ???

Monday, 7 December 2015

MAT SABU JADI JURUCAKAP DAP ???


Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu atau Mat Sabu didakwa menjadi jurucakap DAP apabila mengaitkan Pas dengan militan IS.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, tuduhan tersebut merupakan strategi DAP untuk terus memburukkan Pas yang kini dianggap sebagai musuh nombor satu DAP.
“Ketika ini, Mat Sabu dilihat lebih mementingkan survival politiknya sendiri berbanding PAN yang dia sendiri sedar kehilangan ‘steam’ dan momentum setelah hanya beberapa bulan ditubuhkan. Walaupun majoriti pengundi Cina menyokong DAP, tetapi masih terdapat sebahagian mereka yang masih menyokong Pas.
“DAP di bawah (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng mahukan dominasi total ke atas pengundi Cina apatah lagi dalam suasana menghadapi pilihan raya negeri Sarawak. Oleh itu, Mat Sabu cuba mengaitkan Pas dengan IS untuk menakutkan pengundi Cina,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas Setiausaha Agung Pas itu turut mendakwa Mat Sabu mendapat jaminan Guan Eng untuk bertanding di satu kawasan selamat dalam PRU14 sama ada di bawah simbol Amanah atau DAP.
“Ini kerana Mat Sabu sedar kedudukannya sebagai Presiden Amanah goyah kerana pengaruh kumpulan Islamis Ikram, Alami dan lain-lain mula meresap dalam Amanah dan golongan ini tidak senang dengan Mat Sabu yang mempunyai latar belakang yang diketahui umum.
“Untuk menyelamatkan diri, Mat Sabu tidak kisah untuk menjadi alat atau jurucakap DAP apalagi persepsi umum sudah melihat Amanah tidak lebih dari proksi DAP,” dakwanya.
Bagaimanapun, Mustafa berkata, tuduhan Mat Sabu itu tidak menjejaskan Pas.
“Walaupun tuduhan itu berniat jahat, tapi provokasi itu tidak akan beri kesan kepada Pas kerana rakyat dan masyarakat umum sudah memahami pendirian Pas. Sebaliknya ia akan mengesahkan pandangan rakyat Amanah dan Mat Sabu adalah proksi DAP sebagai satu realiti bukan lagi sekadar satu persepsi,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng dalam kenyataan balas seperti dilapor portal semalam menafikan Mat Sabu jadi jurucakap DAP.
Sebaliknya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menuduh Pas sebagai jurucakap BN berikutan pelantikan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
“Ini tidak benar. Saya Setiausaha Agung DAP, saya tidak boleh menjadi jurucakap Amanah. Mat Sabu bukan Setiausaha Agung DAP, dia tidak boleh menjadi jurucakap DAP. Dia hanya boleh menjadi jurucakap Amanah," katanya.
SH

No comments:

Post a Comment