ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KANAK-KANAK HILANG TEMPAT BELAJAR

Tuesday, 1 December 2015

KANAK-KANAK HILANG TEMPAT BELAJAR


TANAH MERAH - Usaha segera perlu dilakukan bagi membina bangunan baharu Tabika Kemas Bukit Durian selepas bangunan lama di Kampung Seberang Baruh, dekat sini, ditutup oleh pemilik tanah beberapa hari sebelum cuti akhir tahun persekolahan, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Bukit Pauh, Mohd Zuhdi Harun berkata, langkah itu penting kerana kira-kira 30 kanak-kanak Tabika berkenaan kini hilang tempat belajar dengan penutupan bangunan lama tersebut.

Menurutnya, susulan penutupan selepas lebih 30 tahun Tabika Kemas beroperasi di tapak itu, peralatan dan barangan milik Kemas dalam bangunan lama dipindahkan sementara ke sebuah rumah kedai di pekan Ipoh, Jumaat lalu.

“Perkara paling utama sekarang ialah tempat belajar baharu supaya kanak-kanak di kawasan ini dapat menerima pendidikan awal yang sempurna dengan adanya Tabika Kemas,” katanya, semalam.

Tabika Kemas terbabit ditutup dan dikunci oleh pemilik tanah pada 17 November lalu, kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan Kemas yang didakwa gagal menunaikan janji berhubung pembayaran sewa.

Kemas dalam reaksinya pula mempertahankan keputusan untuk membayar sewa sebanyak RM300 sebulan bermula awal tahun ini dan bukannya bermula tiga tahun sebelum itu seperti diminta pemilik tanah.

Difahamkan, jumlah tunggakan selama 3 tahun 8 bulan diminta pemilik tanah terbabit mencecah RM13,000, berbanding tunggakan RM3,000 dan sewa RM300 sebulan mulai Januari lalu yang ditawarkan Kemas.

Mengenai tapak jika bangunan baharu diluluskan, Mohd Zuhdi memberitahu, satu tanah kosong berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Durian dicadangkan sebagai lokasi Tabika berkenaan.

“Lokasi tersebut memang sesuai kerana berdekatan sekolah, cuma tanah kosong ini adalah milik Pejabat Pendidikan dan perlukan kebenaran mereka,” katanya.

Tambahnya, walaupun ada cadangan supaya Tabika Kemas Bukit Durian menyewa premis untuk terus beroperasi, beliau berpendapat lebih baik Kemas membina bangunan sendiri.

“Kita minta jasa baik wakil rakyat dan pihak berkenaan supaya menyelesaikan segera masalah bangunan Tabika Kemas ini sebelum sesi persekolahan tahun depan dibuka demi kemudahan pendidikan anak-anak,” kata Mohd Zuhdi.
SH

No comments:

Post a Comment