KUALA LUMPUR – Segelintir peserta perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) di sini membawa anak ke perhimpunan itu tanpa menghiraukan keselamatan anak mereka atas alasan tiada orang yang menjaga di rumah.
Tindakan itu jelas melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 yang melarang kanak-kanak dibawa menyertai perhimpunan, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh pada Rabu.
Tinjauan Bernama di sekitar Masjid Negara mendapati peserta yang rata-ratanya berpakaian merah, tidak menghiraukan kesihatan anak-anak mereka yang terpaksa berpanas di kawasan lapang berdekatan Masjid Negara.
Seorang peserta perhimpunan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Osman berkata dia terpaksa membawa dua anaknya ke perhimpunan berkenaan.
“Hari ini cuti umum kerana Hari Pekerja, siapa hendak jaga anak saya. Saya kena bawa mereka bersama isteri saya,” katanya ketika ditemui Bernama, di pusat beli-belah di Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.
Seorang lagi peserta perhimpunan itu yang enggan dikenali berkata dia membawa tiga anak perempuannya untuk turut sama dengannya membantah CBP.
“Selain tiada orang hendak jaga, saya mahu anak-anak saya ikut kerana mereka pun tidak bersekolah hari ini,” katanya.
Sementara itu, di lokasi sama, tinjauan turut mendapati beberapa peniaga menjual senjata tajam, iaitu pisau rambo, dan menggunakan pembesar suara untuk berinteraksi dengan peserta perhimpunan.
Di KLCC, ada pihak yang membawa sistem pembesar suara dengan meletakkannya di atas kenderaan pacuan empat roda sambil melaungkan slogan membantah CBP.
Beberapa pemimpin kanan pembangkang turut hadir bersama kumpulan peserta perhimpunan antaranya Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli, Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Zulkifli Mamat.
Setakat 1.30 tengah hari ini, puluhan peserta mula bergerak ke kawasan Dataran Merdeka dari lima lokasi berkumpul di sekitar ibu negara dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan dataran itu.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment