ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PERTAHANKAN ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN

Friday 4 January 2013

PERTAHANKAN ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN

SEPERTI tahun lalu, sekali lagi Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (Semaian).
Seminar percuma yang diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang pada 5 Januari (Sabtu) ini akan membincangkan pandangan popular bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi sekular dengan Islam sekadar agama rasmi.
Pandangan tersebut adalah salah kerana ketiga-tiga perkataan – demokrasi, sekular dan rasmi – tidak wujud sama sekali dalam Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya yang ada hanyalah Perkara 3(1) iaitu “Islam is the religion of Federation (Islam agama bagi Persekutuan).”
Ia bermaksud Islam bukan sekadar agama rasmi yang terhad kepada amalan berbentuk keagamaan dan ritual semata-mata tetapi turut terpakai dalam perkara-perkara melibatkan dasar dan undang-undang negara.
Bukti Islam bukan sekadar agama rasmi amat jelas apabila terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan penganut Islam.
Perkara itu disahkan lagi menerusi penegasan kerajaan pada 22 Oktober 2012 di Dewan Rakyat bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular.
Walaupun penegasan itu diterima dengan rasa lega oleh umat Islam, masih terdapat ahli politik yang mempersoalkan penegasan tersebut dengan penuh prejudis dan mengeksploitasi isu itu semata-mata bagi melebar pengaruh politik mereka.
Menurut Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad (gambar), perkara tersebut akan dihurai dengan mendalam oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Tokoh yang cukup arif berhubung soal perundangan negara itu akan menyampaikan ucap utama bertajuk ‘Memartabatkan Islam Sebagai Agama Negara’ pada seminar berkenaan.
Jelas Ismail Mina, isu sama akan dibincangkan oleh Ahli Jawatankuasa Biro Undang-Undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mahamad Naser Disa yang akan membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Ancaman Terhadap Kedudukan Islam Agama Negara’.
Beliau berkata, isu ancaman itu amat penting dibincangkan kerana kedaulatan Islam terus dicabar golongan demokrasi liberal yang berpandangan agama tidak memainkan peranan penting dalam pemerintahan negara.
Katanya, bagi mereka kedudukan Islam hanyalah sekadar agama rasmi sama dengan agama-agama lain dan mereka juga menuntut supaya agama lain diberikan hak dan kedudukan sama rata dengan Islam.
“Tuntutan ini diperkuatkan lagi menerusi cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang termasuk ke atas agama Islam.
“IFC bertindak dan berfungsi sebagai badan yang mendengar kes-kes berkaitan hak individu dalam mengamalkan kebebasan beragama dan ini secara tidak langsung meletakkan kedudukan agama-agama lain sama dengan agama Islam,” ujarnya.
Katanya, ancaman lain yang akan disentuh oleh Mahamad Naser ialah mengenai fahaman pluralisme agama yang akan melenyapkan kedaulatan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan dan pentadbiran negara.
“Fahaman menyamakan taraf semua agama akan menyebabkan kerajaan juga perlu memperuntukkan belanjawan untuk agama- agama lain dan semua agama berhak untuk menyebarkan ajaran masing-masing termasuk kepada orang Islam,” katanya.
Beliau berkata, satu lagi isu yang akan turut disentuh adalah mengenai pemikiran demokrasi liberal yang berpaksikan kepada Hak Asasi Manusia (HAM) secara ekstrem yang semakin menular dalam politik negara.
Jelas beliau, isu itu akan dibincangkan oleh Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Azril Mohd. Amin yang akan membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Islam Agama Negara: Antara Tuntutan HAM Sejagat dan Kedaulatan Islam Dalam Perlembagaan’.
Katanya, golongan berkenaan beranggapan prinsip kebebasan hak asasi manusia perlu diutamakan, dan prinsip Islam yang berasaskan wahyu Allah SWT sudah kolot dan tidak perlu diberikan perhatian dalam penggubalan dasar dan undang-undang negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, topik peranan raja-raja Melayu dalam mendaulatkan agama Islam akan dibincangkan oleh Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz.
Beliau akan membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara: Peranan Raja-Raja Melayu Berpaksi Perlembagaan Persekutuan’.
Menurut Ismail Mina, kuasa raja-raja Melayu bagi memelihara Islam sebagai agama Persekutuan adalah jelas apabila terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang memberikan mereka kuasa mutlak berkaitan hal- ehwal Islam.
Katanya, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di setiap negeri pula adalah sebuah badan yang menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya oleh raja-raja selaku ketua agama Islam bagi setiap negeri.
Satu lagi kertas kertas kerja bertajuk ‘Islam, Raja dan Melayu Sebagai Paksi Keutuhan Negara Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan’ akan dibentangkan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah.
Maklumat lanjut mengenai seminar berkenaan boleh diperoleh melalui laman web http://muafakatmalaysia.com atau menelefon 03-41071025 – Utusan

No comments:

Post a Comment