1. Senjata paling murah dan mudah tapi sangat berkesan untuk membunuh karektor seseorang, terutama pada zaman digital hari ini ialah FITNAH.
2. Fitnah dikarya dengan penuh licik dan teliti sehingga sukar dibezakan antara fitnah dan kebenaran. Fakta separa masak diolah dengan cermat, susunan plot fitnahnya rapi sekira-kira boleh melepasi scanner kebenaran.
3. Akhirnya masyarakat mati hidup percayakan fitnah tersebut. Meskipun penafian diulang siar, tiada siapa yang mahu peduli dan mempercayai penafian tersebut lantaran fitnah itu lebih meyakinkan malah bertaraf “mutawaatir”.
4. Mendepani fitnah begini, tiada apa yang boleh kita lakukan kecuali banyak berserah kepada Allah swt disamping ikhtiar memberi penjelasan kepada khalayak.
5. Tentu sahaja, mereka yang derita sebagai mangsa fitnah kena banyak bersabar. Mohon pertolongan kepada Allah swt dengan sabar dan solat. Inilah yang diajar oleh Allah swt :
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat sedang sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang merendah diri kepada Allah swt.
Surah Al Baqarah : 45
6. Fitnah ini lahir dari kebankrapan hujjah dan isu. Juga hasil dari runtuhnya nilai akhlak dan peribadi. Pengamal fitnah ini mewarisi saka iblis yang liar dan buas.
7. Mereka tidak boleh melihat Islam berkembang dengan pesat, pasti mereka akan meronta lalu merencana fitnah lantas menyebarkan ke seluruh pelusuk dan penjuru ufuk melalui kecanggihan digital. Tujuan mereka hanya mahu halang perkembangan Islam.
8. Mereka yang merencana fitnah ini sebenarnya berdepan dengan ancaman azab dari Allah swt. Sabda Nabi saw :
أما الرَّجُلُ الَّذِي أتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ ، ومِنْخَرُهُ إِلَى قَفَاهُ ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ ، فإنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الكِذْبَةَ تَبْلُغُ الآفاقَ .
(رواه البخاري: رقم الحديث 7047 من حديث
سمرة من جندب رضي الله عنه)
“Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia”
(Hadis Riwayat Bukhari: Bil. 7047 dari hadis Samurah bin Jundub R.A)
9. Sasaran Budaya Politik Matang dan Sejahtera ialah menghapuskan politik fitnah. Meskipun sukar, ia antara tugasan wajib dan jihad Islami yang mesti digalas oleh para pejuang Islam dengan gigih dan tekun. Ranking fitnah yang paling tinggi ialah kesyirikan kepada Allah swt dalam ideologi dan pegangan hidup.
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ
Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah ugama itu semata-mata milik Allah, jika mereka berhenti maka tiadalah permusuhan melainkan terhadap orang yang zalim.
Surah Al Baqarah : 193
10. Pengamal dan penyebar tegar fitnah ini tidak akan berjaya di dunia dan akhirat. Justeru itu, anggota jamaah Islam jangan sekali-kali pernah terjebak dalam kancah penyebaran fitnah, apatah lagi mencipta fitnah. Amalkan konsep Tabaayun sebelum sebar sebarang maklumat.
Sejahtera Bersama Islam
Sekian.
No comments:
Post a Comment