ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Wednesday, 30 March 2016

'SAYA TAK PERNAH SOKONG DEKLARASI MAHATHIR NAK JATUHKAN NAJIB' - KU LI

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak pernah menyokong Deklarasi Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tidak timbul soal beliau berubah pendirian dan kini menyokong Najib sebagaimana didakwa bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana menandatangani Deklarasi Kelantan Khamis lalu untuk menyokong Najib sebagai perdana menteri dan presiden UMNO

“Sebenarnya dokumen itu (Deklarasi Kelantan) adalah dokumen biasa yang dibuat oleh mana-mana majlis parti politik … dokumen itu tidak ada kesan kepada perundangan. Sebagai ahli UMNO saya boleh saja tandatangan.

“Jangan salah faham, saya tandatangan sebagai ahli UMNO, saya tidak berada di mana-mana kumpulan selain daripada UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak menyokong cara Tun Mahathir untuk menurunkan Najib kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Deklarasi Mahathir tidak akan membawa apa-apa kesan kepada pemimpin serta kerajaan yang sah dipilih rakyat dan mengikut perlembagaan negara.

“Saya cakap dengan Tun Mahathir, kalau hendak buat gerakan ini akhirnya ke mana kita pergi, beliau kata akan pungut banyak sokongan menerusi tandatangan dan sebagainya dan gunakan ia untuk tekan orang atasan untuk turunkan Najib”.

Sementara itu, Tengku Razaleigh menafikan ada mengedar akuan bersumpah yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri seperti yang tersebar dalam media sosial.

“Saya lihatnya di Facebook melalui telefon saya … tidak berapa jelas seperti surat kepada Agong meletak nama saya sebagai contoh,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata beliau sudah terlalu lama dalam UMNO untuk menjadi seorang perdana menteri dan adalah mustahil beliau yang menulis surat tersebut dan meletak nama sendiri.

TIADA LAPORAN GULA-GULA DADAH

Polis belum menerima sebarang laporan mengenai gula-gula yang dikatakan mengandungi dadah dan menyebabkan kanak-kanak menjadi ketagih selepas memakannya seperti didakwa di laman sosial baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu namun, masih tiada laporan diterima daripada orang ramai mengenai dakwaan tersebut.

Menurut beliau, gula-gula itu dipercayai dikilangkan di Myanmar berdasarkan plastik pembalutnya.

“Kemungkinan ia adalah gula-gula betul dan dijual di negara berkenaan selain di laman web syarikat tersebut.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab membungkus dadah menggunakan pembungkus gula-gula tersebut,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.
kosmo

DICERAI TALAK TIGA, SELEPAS SETENGAH JAM BERNIKAH !!!


KUALA LUMPUR –  Gara-gara wang hantaran tidak cukup seribu, seorang lelaki menceraikan isterinya selepas setengah jam melangsungkan pernikahan.

Insiden itu berlaku selepas hantaran yang diletakkan keluarga pengantin perempuan sejumlah RM22,222.22, didakwa tidak dapat disediakan oleh pengantin lelaki.

“Hantaran kahwin mak ayah perempuan ni letak, mahal gila, tapi si laki ni setuju. Aku tengok pun lelaki ini bukan calang-calang orang.

“Hari akad nikah, gembira sahaja dua-dua belah pihak. Pengantin muka dah tak saba mengawan. Ye la, musim hujan masa tu. Tok kadi sampai, maka berlangsung la acara akad nikah dan selamba dengan senafas sahaja si lelaki lafazkan akad. Hantaran pun bertukar tangan begitu gak ngan mas kahwin. Masa lelaki tu nak baca lafas takliq, tiba-tiba saudara dari pihak perempuan bising duit hantaran tak cukup seribu,”tulis jurugambar, Boii Amani Hashim yang memuat naik status perkongsian di Facebooknya, beberapa jam lalu.

Tambah Boii Amani, pengantin perempuan terus sahaja bangun dari tempat duduknya.

“Tinggikan suara kat pengantin laki bertanyakan pasal ape tak cukup seribu…siap pihak pompuan perli-perli ‘dah tau tak cukup duit tapi gatal sangat nak kahwin tu kenapa?’ (jeritnya).

“Yang pengantin lelaki walaupun mata berkaca, dia senyum saja. Dia amik ‘mic’ pastu dia cakap, baru jadi isteri tak sampai setengah jam dah camni. Saje saya tak cukupkan seribu sebab nak tengok kamu macam mana. Ni ada saya bawa wang yang tak cukup tu, (sambil buka beg yang berkepuk-kepuk duit 50 dan 100). Tak apa la…alang-alang semua ada kat sini, boleh jadi saksi saya. Saya ceraikan awak dengan talak tiga,” tulis Boii yang turut menceritakan lelaki itu terus beredar daripada majlis tersebut.

Tinjauan SuaraTV mendapati, ramai yang mengecam tindakan pengantin perempuan dan ahli keluarga yang mengenakan wang hantaran yang tinggi.

Ada juga yang berpendapat, keluarga pengantin perempuan tidak boleh keterlaluan dan mementingkan wang ringgit semata-mata hanya kerana ingin mengahwinkan anak mereka.

Ada juga menyifatkan di zaman ini, tindakan ibu bapa sama seperti ingin meniagakan anak perempuan mereka.

Arini Suhaimi berkata, “Pelik la, arwah Tok Guru Nik Aziz pun ambik seribu je. Itu anak tok guru!,”tulisnya.

“Ingat dia bangun nak ‘back up’ si laki. Awak dapat apa yang awak buat. Puas hati aku,” ujar Elinda Hashim.

Manakala Awin berkata, “Pengantin perempuan jangan terlalu tamak, nak caj mahal-mahal. Keluarga perempuan jangan macam niaga anak!,”katanya.

Zanzolees berkata, “Zaman ke zaman manusia bertindak seperti binatang. Tamak haloba!,”tulisnya.

Terdahulu, sebuah video mengenai satu majlis pernikahan bertukar kecoh apabila wang hantaran tidak mencukupi.

Kejadian dikatakan berlaku pada Sabtu lalu di Masjid Jamek Al Khadijah dekat Pantai Dalam itu bertukar kecoh apabila berlaku kejadian maki hamun dan pergaduhan melibatkan kedua belah pihak.

Susulan itu, saudara pengantin perempuan tampil memberi penjelasan menerusi kejadian yang berlaku.

Terbaharu, pengantin lelaki turut tampil membuat penjelasan berhubung insiden tersebut.
SuaraTV

Tuesday, 29 March 2016

SEKUMPULAN PEMANDU TEKSI LANCAR MOGOK DI BUKIT BINTANG

PETALING JAYA: Sekumpulan pemandu teksi pada Selasa melancarkan mogok di Bukit Bintang bagi membantah perkhidmatan Uber dan GrabCar.

Protes di Jalan Bukit Bintang berhadapan Hotel Grand Millennium dan berdekatan pusat membeli-belah Fahrenheit 88 dan Pavilion itu mengakibatkan kesesakan teruk.

Bantahan yang bermula kira-kira pukul 11 pagi itu dibuat oleh puluhan pemandu teksi yang sengaja menutup Jalan Bukit Bintang.

Puluhan pemandu teksi sengaja menutup Jalan Bukit Bintang sebagai tanda protes. Foto twitter @bernamadotcom
Menurut The Star Online, pihak polis mengadakan pertemuan dengan ketua kumpulan bantahan itu pada pukul 11.30 pagi dengan menasihatkan kesemua mereka supaya bersurai.

Antara yang ditahan polis ialah Timbalan Presiden Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain.

"Kami di sana bagi membantah Uber dan GrabCar," kata Kamaruddin kepada The Star menerusi telefon semasa beliau dibawa polis.

Kamaruddin berkata, beliau bukan penganjur protes tetapi berada di sana bagi menyokong perhimpunan itu.

Beliau berkata, tiga lagi pemandu teksi turut ditahan.

Seorang jurucakap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, mereka menyedari mengenai isu itu dan akan mengeluarkan kenyataan media.
mStar

'HENTI SPEKULASI SAYA GABENOR BANK NEGARA'

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. "Hentikan spekulasi saya sebagai Gabenor Bank Negara," kata Datuk Dr Awang Adek Hussin yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) pada 7 April ini.

Awang Adek yang pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan selama tujuh tahun sejak 2006 di bawah dua perdana menteri berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai spekulasi yang beliau akan menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang akan bersara bulan depan.

Beliau berkata tarikh 7 April itu adalah tamatnya tarikh pelantikannya sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat untuk tempoh dua tahun, dan beliau tidak mahu menyambung kontrak itu kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga.

Awang Adek berkata demikian kepada wartawan Malaysia yang berada di sini untuk liputan kerja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear.

Ahmad Zahid akan tiba pagi Selasa untuk lawatan kerja selama tujuh hari.

Awang Adek berharap orang ramai dapat menghentikan spekulasi berkenaan kerana keputusannya untuk tidak menyambung kontrak perkhidmatan sebagai Duta Besar di AS adalah pilihan sendiri.

Apabila dinyatakan bahawa beliau merupakan antara calon yang sesuai memandangkan beliau pernah menjadi penolong gabenor Bank Negara dari 1996 hingga 2001:

"Tak adalah... itu (calon Gabenor Bank Negara) orang lain. Banyak lagi orang lain (yang layak). Saya tidak tahu dan saya rasa tak ada sebab orang selalu cakap saya tak minat (menggantikan Zeti).

"Kita serah pada orang Malaysia, kita ini (duduk) jauh. Saya tak nak buat spekulasi dan tak perlu pun buat spekulasi mengenai nama saya," katanya.

Awang Adek, yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi dan telah bertugas dengan Bank Negara selama 16 tahun hingga ke jawatan penolong gabenor Bank Negara adalah antara tiga calon yang disebut-sebut paling popular untuk menggantikan Zeti.

Dua lagi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim.    

Zeti akan bersara selepas menerajui bank berkenaan selama lima penggal sejak 2000.

Awang Adek, berulang kali berkata beliau memilih untuk kembali ke tanah air semata-mata kerana mahu meluangkan masa dengan keluarga yang hampir kesemuanya di Kuala Lumpur.

"Saya mahu meluangkan masa dengan keluarga. Saya tak nak sambung," kata beliaunya yang akan menerima cucu keduanya tidak lama lagi.

Semasa ditanya apa yang akan dilakukanya apabila kembali ke Malaysia nanti, katanya, buat sementara waktu beliau hanya mahu berehat dahulu. 
Bernama

Wednesday, 23 March 2016

DATUK VIDA CADANG BINA STADIUM BAHARU KELANTAN BESERTA HOTEL


LONDON: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mahu membina stadium baharu Kelantan dan Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) mengikut acuan kelab bola sepak Inggeris, Arsenal yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM520 juta.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata stadium dan hotel bertaraf enam bintang itu seharusnya dibina di tengah bandar sebagaimana yang dilakukan pasukan kendalian pengurus Arsene Wenger.
"Saya bercita-cita besar dengan mengimpikan stadium seperti Arsenal. Bukan sahaja terletak di lokasi yang strategik iaitu di pusat bandar, ia juga mudah dikunjungi dan menjadi tumpuan pelancong.
"Malah, keadaan persekitaran stadium itu turut menjadikan Arsenal sebuah pasukan yang unik dan ada identiti tersendiri kerana dikelilingi beberapa blok apartmen mewah dan hotel," katanya kepada mStar Online pada petang Selasa.
Sebelum itu, Vida berkesempatan melawat stadium tersebut selama hampir dua jam selepas kunjungan ke Manchester United terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Justeru beliau mahu kerajaan Kelantan mempertimbangkan semula tawaran untuk membina hotel dan stadium kedua negeri itu di tanah seluas 108 hektar di Bukit Merbau dekat Pasir Puteh.
"Saya harap agar kerajaan negeri pertimbangkan semula tawaran tanah itu. Ini berikutan beberapa faktor yang perlu diambi kira termasuk jarak dan ketiadaan kemudahan infrastruktur yang lengkap," katanya.
Menurut jutawan kosmetik itu, beliau sedia mempertimbangkan jika kerajaan Kelantan berhasrat menawarkan lokasi baharu yang lebih strategik iaitu di Bandar Baru Tunjung.
"Lokasi di Bandar Baru Tunjung mungkin pilihan kedua selepas pusat bandar. Saya sedia pertimbangkan jika kerajaan negeri menawarkan lokasi tersebut," katanya.
Mengulas lanjut mengenai Stadium Emirates, Vida mengakui amat terpegun dengan struktur reka bentuk stadium tersebut yang unik, menarik, berbumbung dan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pemain serta juga penonton.
"Inilah stadium yang kita nak bina untuk Kelantan. Sebaik memasuki stadium aura kehebatan pasukan ini dapat kita rasai.
"Tidak mustahil Kelantan akan memiliki stadium seperti ini suatu hari nanti. Namun yang penting, sesebuah kemenangan itulah yang akan mencongak hala tuju pasukan ini," katanya.
Stadium Emirates yang terletak di Holloway, Islington, London mampu memuatkan seramai 60, 361 penonton untuk setiap perlawanan dan menelan kos kira-kira 470 juta pound.
Ia merupakan stadium kedua terbesar bagi pasukan Liga Perdana Inggeris selepas Stadium Old Trafford yang merupakan gelanggang pasukan Manchester United. 

VIRAL PESAWAT MAS TERHEMPAS PALSU !!!

Auta

Sebuah mesej tersebar di WhatsApp mengatakan pesawat Malaysia Airlines MH020 dari  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Paris terhempas di Leon Paris, jam 12.15 pagi semalam.

Mesej itu turut menyebut kesemua penumpang seramai 350 orang termasuk 16 anak kapal berbangsa Melayu terkorban.

Fakta

Mesej viral pesawat MAS MH020 terhempas disahkan palsu oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Azharuddin dalam kenyataan kepada Sinar Harian berkata, MAS telah menghentikan penerbangan MH020 sejak 20 Januari lalu.

TIGA HARI SUHU 40 CELCIUS DIISYTIHAR KAWASAN KECEMASAN GELOMBANG HABA

Tiga hari suhu 40 celsius diisytihar kawasan kecemasan gelombang haba - Madius

Kawasan yang merekodkan bacaan suhu melebihi 40 Celsius selama tiga hari berturut-turut akan diisytihar sebagai kawasan kecemasan gelombang haba Tahap 3, kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata apabila pengisytiharan itu diumumkan, Jawatankuasa Mengatasi Teknikal El Nino dan Cuaca Kering yang dianggotai pegawai kementerian serta pelbagai agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan akan berbincang sama ada sekolah akan ditutup.

"Keputusan penutupan sekolah tidak boleh dibuat sebarangan. Hanya dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Meteorologi dan nasihat Kementerian Kesihatan.

"Data tersebut akan diberi kepada semua jawatankuasa terlibat setiap hari pada pukul 4 petang dan terpulang kepada Kementerian Pendidikan untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan CyberSecurity Malaysia 2015, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Madius berkata tiga kawasan yang sebelum ini dilaporkan merekodkan suhu paling tinggi telah mengalami penurunan suhu setakat 4 petang Selasa iaitu Chuping, Perlis mencatat 36.6 Celsius, Alor Setar, Kedah 35.2 Celsius dan Batu Embun, Pahang 36.6 Celsius.
Menyentuh tentang ancaman siber, beliau berkata bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sebanyak 844 kes pencerobohan siber dan penipuan dicatatkan yang menyaksikan penurunan berbanding 1,201 kes bagi tempoh Januari hingga Februari tahun lepas.

Tuesday, 22 March 2016

GERHANA BULAN PENUMBRA BOLEH DILIHAT MALAM ESOK


Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penumbra yang akan berlaku pada esok iaitu 23 Mac.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Wan Hakimah Abd Rahim dalam satu kenyataan di sini berkata fenomena gerhana tersebut hanya mula dapat disaksikan apabila bulan mulai terbit pada jam 7.21 malam sehingga 9.55 malam ketika bulan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra bumi.

"Ini merupakan gerhana bulan pertama tahun ini dan diameter bulan yang dilihat adalah lebih kecil daripada diameter purata bulan memandangkan gerhana berlaku 2.1 hari sebelum bulan berada pada kedudukan paling jauh dengan bumi atau kedudukan "Apogi" 77.5 peratus.

"Bulan akan melintasi bayang penumbra Bumi semasa fasa maksimum," katanya.

Beliau berkata, pihak Angkasa; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Starfield Instruments Supply akan menganjurkan program Gerhana Bulan Penumbra mulai pukul 7.30 malam hingga pukul 9.30 malam di Planetarium Negara.

Menurutnya, Angkasa akan menyediakan beberapa teleskop untuk tujuan mencerap Gerhana Bulan Penumbra dan planet Musytari selain orang awam dialu-alukan untuk membawa teleskop sendiri.
Bernama

Tuesday, 8 March 2016

PEMBANGKANG SEDIA PENTAS UNTUK TUN M, MUHYIDDIN


Pakatan Harapan akan menganjurkan perhimpunan Muafakat Selamat Malaysia di negeri-negeri dan sedia berkongsi pentas dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selain Mahathir, mereka juga sedia bekerjasama dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pemimpin lain yang sependapat mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu sidang media bersama antara Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Nasional, Mohamad Sabu bersetuju mengenai perkara tersebut.
Mohamad Sabu diberi amanah mengetuai jawatankuasa penganjur perhimpunan berkenaan.
Walaupun senada dengan kehendak Deklarasi Selamatkan Malaysia namun mereka tetap tidak berganjak dengan fokus utama mahu membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pengakuan Mahathir ini tidak mengubah hala tuju Pakatan Harapan terutama berhubung pendirian mengenai bentuk reformasi undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan pendidikan dan sosial yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan.
"Malah pengakuan Mahathir itu adalah satu penerimaan secara tidak langsung bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas telah memangsakan Anwar yang dipenjara kerana menjadi ancaman kepada pentadbiran Najib," kata kenyataan yang sama dikeluarkan selepas perasmian Dewan Rakyat Penggal Keempat di sini hari ini.
Mahathir sebelum itu mengetuai Deklarasi Selamatkan Malaysia bersama-sama pemimpin pembangkang dan beberapa pemimpin UMNO bagi menewaskan Najib.
MalaysiaGazette