ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Wednesday, 17 June 2015

PKR PILIH DAP, BENTUK PAKATAN BARU TANPA PAS

pakatan rakyat retak

PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memilih untuk kekal bersama DAP bagi meneruskan pentadbiran negeri Selangor.

Keputusan dicapai dalam Mesyuarat Biro Politik PKR pada malam Selasa yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menerusi Twitter memaklumkan, keputusan itu sekali gus akan membentuk pakatan baru antara PKR dan DAP tanpa Pas.

Mesyuarat Biro Politik PKR dihadiri semua pemimpin tertinggi parti kecuali Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali yang menghadiri program di Kelantan.

Chegubard yang digantung keahlian PKR sejak tahun lalu, secara terbuka mengutuk ketidak hadiran Azmin dalam mesyuarat itu kerana didakwanya cuma menyelamatkan diri jika dipersalahkan oleh kepempimpinan Pas atau DAP.

“Timbalan Presiden cap ayam betul,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, PKR dan DAP kekal berkuasa di Selangor dengan 28 kerusi ditambah dua wakil rakyat Pas yang akan menyokong pakatan baru itu.

FMT difahamkan PKR berpecah dua kumpulan yang menyokong DAP dan Pas.

Kumpulan yang menyokong PKR bersama DAP diketuai Rafizi Ramli manakala Azmin lebih memihak kepada Pas. – FMT

MAT SABU AKUI MUNGKIN TUBUH PARTI BAHARU GANTI PAS



MUAR - Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berserta beberapa bekas anggota jawatankuasa (AJK) parti itu tidak menolak kemungkinan membentuk sebuah parti baharu bagi meneruskan perjuangan politik mereka.

Mohamad, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, buat masa ini, mereka mempunyai beberapa pilihan untuk dipertimbangkan, kini dalam siri lawatan ke negeri-negeri di Semenanjung bagi melihat sokongan rakyat.

"(Buat masa ini) kami belum memikirkan. Sekarang kami bergerak untuk melihat sokongan rakyat dan mungkin kita akan ambil masa sebulan dua untuk melihat (dan mempertimbang) pelbagai pilihan.

Sama ada nak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kekal pada parti politik sedia ada ataupun menubuhkan parti politik baharu. Itu semua pilihan yang belum kami putuskan," katanya kepada pemberita selepas majlis 'Jasamu Dikenang' di Bakri dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir pada sidang akhbar itu termasuk bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub serta bekas-bekas AJK PAS Khalid Samad, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud serta bekas Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan turut hadir.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan DAP yang mengisytiharkan bahawa Pakatan Rakyat tidak wujud lagi semalam, seakan-akan memberi peluang kepada mereka untuk membentuk parti baharu sekali gus menjalin pakatan baru.

Beliau berkata, kerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk DAP akan diteruskan kerana selari dengan aspirasi mereka untuk menukar tampuk pemerintahan negara pada masa depan.

"Atas (tiket) individu, kami boleh berjumpa sesiapa. Saya pun diundang berceramah sebagai ahli biasa PAS. Jadi tidak terikat dengan protokol parti sangatlah," kata Mohamad, yang dikenali lebih sebagai Mat Sabu.

Ketika ditanya sama ada 'kumpulan itu' bergerak atas tiket Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) atau ada gelaran lain, beliau berkata: "Tiada nama pun lagi. Kami bergerak sekarang sebagai saya Mohamad Sabu, dia bergerak sebagai Aminolhuda, ni Dr Mariah sebagai ahli parlimen. Tiada gelaran lagi."

Berhubung dengan kemungkinan menghadapi situasi digantung keanggotaan berikutan jelajah itu, Mohamad berkata perkara itu terpulang kepada kepimpinan PAS sambil menambah beliau masih bekerja seperti biasa sebagai anggota biasa parti itu.

"Kami tidak berkerat rotan. Masih bekerja seperti biasa," kata beliau.

Selepas Johor, satu lagi majlis yang sama dijangka berlangsung di Pahang pada 26 Jun ini.

Selain Mohamad, kesemua bekas pemimpin PAS yang hadir itu, gagal mempertahankan jawatan masing-masing dalam Muktamar Tahunan Pas ke-61 di Kuala Selangor awal bulan ini.

Muktamar PAS lepas turut disifatkan sebagai kebangkitan semula golongan pro-ulama dalam kepimpinan parti itu dengan hampir kesemua calon golongan profesional gagal menguasai jawatan-jawatan pen­ting dalam parti itu.

Bernama

BANYAK PENEMUAN BARU DALAM PROSIDING 1MDB - NUR JAZLAN

Banyak penemuan baru dalam prosiding 1MDB - Nur Jazlan 

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mengesahkan terdapat penemuan baru selepas prosiding dijalankan dengan dua syarikat audit 1MDB iaitu Delloite dan juga KPMG.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan berkata pihak jawatankuasa memutuskan untuk memanggil Datuk Shahrul Helmi dan juga Arul Kanda, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB secara berasingan pada 4 dan 5 Ogos akan datang.

"Kami panggil mereka secara berasingan untuk mendapatkan penjelasan terperinci memandangkan terdapat banyak perkembangan baru hasil daripada prosiding yang dijalankan kepada juruaudit syarikat 1MDB.

"Ketua Juruaudit Negara pula akan membentangkan laporan kepada PAC berkaitan syarikat 1MDB pada 9 Julai," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
astroawani

PM @NajibRazak UMUM BAYARAN BANTUAN KHAS KEWANGAN RM500 KEPADA PENJAWAT AWAM


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 untuk penjawat awam Gred 54 dan ke bawah.

Beliau turut mengumumkan bantuan khas untuk lebih 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen, dengan bayaran berjumlah RM250.

Kedua-dua pembayaran berkenaan akan dibuat pada 25 Jun, yang melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM1 bilion, katanya.

"Bayaran ini bagi membantu dan meringankan beban kewangan penjawat awam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-14 di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan kadar baharu terendah imbuhan tetap perumahan dinaikkan daripada RM180 kepada RM300 sebulan untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah.

Beliau juga mengumumkan bagi mereka yang mendiami kuarters pula, yang selama ini tidak menikmati imbuhan tetap tersebut, turut mendapat faedah sebanyak 25 peratus daripada kadar imbuhan tetap perumahan sebenar, yang layak bagi mereka.

Najib berkata keputusan yang berkuat kuasa mulai 1 Nov depan melibatkan lebih 1.1 juta penjawat awam di seluruh negara, manakala implikasi kewangan pula ialah sebanyak RM1.04 bilion setahun.
BERNAMA

Tuesday, 16 June 2015

KELANTAN BAKAL NAIKKAN 3KALI GANDA CUKAI DAN PREMIUM TANAH


Cukai dan premium tanah di negeri akan meningkat kira-kira tiga kali ganda daripada kadar biasa apabila dasar baharu mengenai tanah diperkenalkan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun kadar tersebut masih rendah berbanding dengan nilai tanah semasa yang melambung tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, dasar baharu cukai dan premium tanah itu telah diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun lepas namun tidak dapat dilaksanakan pada masa kini kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
“Kadar lama cukai dan premium tanah tidak lagi sesuai pada masa sekarang disebabkan nilai semasa tanah telah meningkat. Dalam dasar baharu ini, kadar denda bagi mereka ‘memerintah’ tanah dalam tempoh yang lama akan ditingkatkan.
“Bagaimanapun orang ramai yang dikenakan denda boleh merayu untuk mengurangkan denda atau membuat bayaran secara ansuran,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Moha-med (BN – Ayer Lanas) dalam sidang DUN di sini hari ini.
Mohd. Amar berkata, kadar kenaikan tersebut masih belum muktamad kerana kaedah-keadah pelaksanaannya masih diperincikan.
“Secara umumnya kenaikan ini berbeza-beza dan ini merupakan salah satu cara untuk kutipan cukai yang lebih efisyen.
“Kita telah membuat pene­ra­ngan kepada wakil rakyat dan juga di peringkat daerah, kalau ada soal berbangkit kita boleh jelaskan kepada rakyat,” katanya. -UTUSAN

PAKATAN RAKYAT SUDAH TIDAK WUJUD - DAP


PETALING JAYA: Jawatankuasa Pusat DAP memutuskan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi, kata Lim Guan Eng.

Menurut lidah rasmi parti itu, Roketkini, Setiausaha Agung DAP itu berkata, beberapa tindakan kepimpinan PAS terutama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah antara punca perkara itu diputuskan pada mesyuarat yang berlangsung malam Isnin itu.

"Memandangkan Pakatan Rakyat dibentuk oleh ketiga-tiga parti berdasarkan konsensus dan terikat dengan dasar bersama, usul di Muktamar PAS itu telah membunuh Pakatan Rakyat.

“Justeru kini, tiada lagi Pakatan Rakyat.

“DAP akan bekerjasama dengan PKR dan semua pihak yang mahu melihat pemerintahan Umno/Barisan Nasional berakhir, bagi membentuk semula politik Malaysia dengan cita-cita menawan Putrajaya demi rakyat,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
mStar

PERMOHONAN DIBUKA UNTUK 13 PROJEK PR1MA

PELUANG kini terbuka untuk rakyat Malaysia yang berpendapatan isi rumah bulanan antara RM2,000 hingga RM10,000 untuk memohon bagi memiliki rumah impian menerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Perbadanan PR1MA Malaysia dalam hebahan awam memaklumkan, sebanyak 13 buah projek hasil inisiatif kerajaan dibuka kepada tawaran di seluruh negara yang menyediakan rumah mampu milik berkualiti tinggi.
Dibangunkan di lokasi yang strategik, PR1MA menawarkan pelbagai jenis kediaman dengan aneka kemudahan awam seperti surau, tadika, taman rekreasi, pusat asuhan, dewan komuniti, sekuriti dan akses mudah.
Jadilah sebahagian daripada komuniti PR1MA dan miliki kediaman impian anda. Pendaftaran dan permohonan adalah percuma malah PR1MA tidak melantik mana-mana ejen untuk bakal pembeli yang berminat.
Projek PR1MA yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2011 diuruskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu rakyat dapat membeli rumah pada harga berpatutan.
Rumahku, Komunitiku. Jom segera daftar untuk mohon sekarang menerusi www.pr1ma.my dan maklumat lanjut sila hubungi telefon +603 7962 4374 atau e-mel info@pr1ma.my.
WILAYAH UTARA
PR1MA @ Bandar Meru Raya: Zon Ipoh = 1,011 unit apartmen; harga daripada RM250,000
PR1MA @ Kampung Paloh: Zon Ipoh = 456 unit apartmen; harga daripada RM198,000
PR1MA @ Taiping: Zon Taiping = 525 unit rumah teres; harga daripada RM260,000
PR1MA @ Sungai Petani 2: Zon Sungai Petani = 1,395 unit rumah teres; harga daripada RM255,000
PR1MA @ Padang Meha: Zon Kulim = 244 unit kediaman bertanah; harga daripada RM145,000
WILAYAH TENGAH
PR1MA @ Brickfields: Zon Damansara-Penchala = 1,208 unit apartmen; harga daripada RM270,000
PR1MA @ Bukit Bintang: Zon Pusat Bandaraya = 543 unit apartmen; harga daripada RM275,000
PR1MA @ Cyberjaya 1: Zon Sepang = 325 unit apartmen; harga daripada RM220,000
PR1MA @ Bukit Jalil: Zon Bukit Jalil-Seputeh = 460 unit apartmen; harga daripada RM255,000
WILAYAH SELATAN
PR1MA @ Melaka Tengah 2: Zon Melaka Bersejarah = 980 unit apartmen; harga akan diumumkan
PR1MA @ Tebrau: Zon Johor Bahru = 1,284 unit apartmen; harga daripada RM180,000
SABAH
PR1MA @ Sandakan 2: Zon Sandakan = 999 unit apartmen; harga daripada RM150,000
PR1MA @ Kota Marudu: Zon Kota Marudu = 360 unit apartmen; harga akan diumumkan
– Mynewshub/H.A.A

DEWAN RAKYAT LULUS RMK11 TANPA BAHAS

RMK11

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) tanpa sebarang pindaan pada 12.54 pagi Selasa. 
   
Usul RMK11, yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM260 bilion, merupakan langkah transformasi terakhir dalam menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas. 
   
Fokus rancangan pembangunan lima tahun negara itu telah dibahaskan selama lima hari bermula 25 Mei lepas sebelum sesi penggulungan oleh kementerian berlangsung selama tiga hari bermula 10 Jun. 
   
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, ketika mengggulung perbahasan usul itu, berkata Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji  penambahbaikan Seksyen 375 Kanun Keseksaan bagi memperluaskan definisi rogol  dengan mengambil kira perbuatan memasukkan objek atau organ-organ lain selain kemaluan.
   
Merujuk kes yang diputuskan mahkamah di Sibu, Sarawak, baru-baru ini, Nancy berkata, pada masa sama, rundingan sedang dijalankan dengan pihak berkepentingan seperti pengamal perubatan dan kementerian berkaitan.

"(Pada ketika ini), skop Seksyen 375 Kanun Keseksaan tidak merangkumi tindakan kemasukan selain daripada organ kemaluan seperti jari," katanya. 
   
Mahkamah Rayuan di Sibu baru-baru ini membebaskan Bunya Jalong, 60, daripada dakwaan rogol anaknya berusia 14 tahun pada 2011 dengan alasan tiada penetrasi zakar berlaku, dan penetrasi jari dan benda asing tidak dianggap rogol.
   
Keputusan itu dibuat walaupun ujian DNA terhadap anak yang dilahirkan mangsa selepas kejadian itu sepadan dengan tertuduh. 
   
Nancy berkata, secara amnya kesalahan jenayah rogol di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan ditakrifkan sebagai persetubuhan atau 'sexual intercourse' secara paksaan atau tanpa persetujuan ke atas seorang wanita.
   
"Ini termasuk persetubuhan dengan wanita di mana persetujuan wanita tersebut untuk melakukan persetubuhan telah diberikan atas sebab ketakutan, penipuan, tanggapan salah atau tidak faham kesan persetujuan yang diberikan," katanya.
   
Beliau menjawab pertanyaan beberapa anggota Parlimen yang meminta pindaan sewajarnya terhadap undang-undang seperti Seksyen 375 agar kes seumpama itu tidak berulang dan tidak terlepas.
   
Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama

MAT SABU, MAHFUZ DIGUGUR DARI JAWATAN PESURUHJAYA NEGERI


mat sabu ceramah


KUALA LUMPUR – sebanyak enam pertukaran berlaku dalam senarai Pesuruhjaya Pas negeri-negeri yang baharu termasuk bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu digugurkan daripada menjadi Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

Turut digugurkan ada­lah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah, Mohamad Taufek Abd. Ghani (Ne­geri Sembilan), Adly Zahari (Melaka) dan Aminolhuda Hassan (Johor).

Kedudukan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pesuruhjaya Pas Pahang digantikan oleh Rosli Jabar, manakala Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad dilantik untuk kembali menjadi Pesuruhjaya Pas Johor.

Muka-muka baharu lain yang dilantik adalah Pesuruhjaya negeri Pulau Pinang, Mohd. Fauzi Yusof, Datuk Ir. Amirudin Hamzah (Kedah), Mustafa Daharun (Negeri Sembilan) dan Kamarudin Sidek (Melaka).

Senarai baharu Pesuruhjaya Ne­geri-negeri sesi 2015-2017 itu telah dimuat naik dalam satu kenyataan dalam laman Facebook milik Presi­den Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Pas telah selesai melantik Pesuruhjaya Negeri-negeri sesi 2015-2017 dalam mesyuarat pertama parti itu baru-baru ini.

“Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Presiden Pas melalui Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pelantikan itu membabitkan kesemua negeri,” katanya kenyataan ber­kenaan.

Bagi jawatan Pesuruhjaya negeri lain-lain, kedudukan penyandang adalah kekal termasuk Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Muktamar Tahunan Pas Ke-61 di Kuala Selangor baru-baru ini disifatkan sebagai pertembungan golongan proulama dengan golongan profesional yang mana akhir­nya menyaksikan go­lo­ngan proulama berjaya menguasai jawatan pen­ting dalam parti itu.

Antara yang tewas dalam pemilihan parti Pas adalah Mohamad atau Mat Sabu yang gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden dan Mahfuz yang gagal dalam percubaannya untuk menjadi Naib Pre­siden.
UTUSAN

Monday, 15 June 2015

PASMA JADI PARTI UNTUK ORANG KECEWA

PasMa Anai-Anai

SHAH ALAM – Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) akan jadi parti untuk orang kecewa sahaja jika tidak mempunyai matlamat jelas serta pemimpin yang disenangi rakyat.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, Pasma tidak mampu menyaingi Pas walaupun ahlinya serpihan Pas.

“Memang nampak Pasma begitu bersemangat wujudkan parti baharu kerana perasaan kecewa dengan kepimpinan parti sedia ada. Mereka rasakan melalui parti baharu itu sahaja hasrat mereka tercapai.

“Mereka berani bertindak demikian kerana beranggapan yang mereka ada sokongan dan pengikut sebab itu sanggup keluar daripada Pas. Jadi mereka yang kecewa dengan Pas bersama Pasma,” katanya.

Menurutnya, jika dilihat dari sudut itu, Pas tidak akan tergugat dengan kewujudan parti baharu itu nanti.

Bagaimanapun, Pasma hanya akan menjadi pilihan pengikut Pas jika ada hala tuju jelas memperjuangkan Islam.

“Mungkin cara mereka lebih liberal atau moden, tetapi pendirian itu perlu jelas. Perlu dilihat siapa prospek Pasma, jika mereka kata mahu bergabung dengan NGO, siapa NGO di belakang mereka, adakah yang berfikiran liberal atau tegar perjuangan Islam?

“Penyokong akan analisis perkara itu melalui matlamat parti atas dasar apa ditubuhkan dan siapa pemimpin parti itu,” katanya.

Mohd Fuad berkata, untuk menubuhkan sesebuah parti mungkin mudah, namun relevan Pasma sukar diramal.

Ditanya adakah Pasma akan menjadi pengganti Pas dalam PR, beliau tidak menafikan perkara itu kerana melihat kecenderungan pemimpin Pasma terhadap DAP.

“Kewujudan Pasma ini dilihat alternatif PR terus hidup s kerana jelas dilihat kepimpinan Pasma ini pro DAP.

“Namun mereka perlu ingat sokongan bukan di kalangan ahli sahaja tetapi rakyat keseluruhannya, jadi bolehkah Pasma gugat populariti Pas atau Pasma hanya jadi parti desperado,” katanya.

Dalam isu kerjasama, katanya DAP mungkin akan berhati-hati dengan siapa untuk bergabung bagi memastikan agenda ke Putrajaya tercapai.

“Mereka akan lihat mampukah Pasma diberi kerusi dan memenangi kerusi itu jika tidak mereka akan sia-siakan peluang untuk melangkah ke Putrajaya,” katanya.

Kelmarin Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya merancang menubuhkan satu parti baharu selepas Aidilfitri ini bagi menghidupkan semula PR.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, dalam tempoh satu atau dua tahun ini, Pasma mungkin bukan cabaran besar pada mana-mana parti termasuk Pas.

“Nak tarik keyakinan rakyat tidak mudah, perlu ada asas kukuh dan identiti kepimpinan yang kuat,” katanya.

Beliau tidak menolak Pasma akan menjadi parti alternatif pengundi atas pagar yang tidak yakin dengan kepimpinan BN dan Pas.
SH