ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SOLAT YANG SEMPURNA WAJIB ADA TOMA'NINAH

Thursday, 2 July 2015

SOLAT YANG SEMPURNA WAJIB ADA TOMA'NINAH


Solat yang sempurna, termasuk bagi solat sunat tarawih, wajib disertakan dengan toma'ninah selain perlu memberi sepenuh penghayatan kepada bacaan dalam solat. 

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri, berkata mengikut mazhab Shafie, jika umat Islam, sama ada mengerjakan solat secara individu atau berjemaah, tidak meraikan toma'ninah, maka solat itu tidak sah. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas viral solat tarawih dan witir 23 rakaat yang dikerjakan kurang dari lapan minit di sebuah sekolah agama di Indonesia, baru-baru ini. 

Zulkifli berkata, mengikut hadis, Rasulullah SAW menunaikan solat dalam keadaan rukuk dan sujud yang panjang. Justeru, ia harus dicontohi oleh umatnya. 

"Alangkah baiknya jika kita mengekalkan apa (solat tarawih) yang kita lakukan di Malaysia. Dengan adanya toma'ninah, kita dapat menumpukan perhatian kepada solat tanpa letih lelah.  SOLAT yang sempurna, termasuk bagi solat sunat tarawih, wajib disertakan dengan toma'ninah selain perlu memberi sepenuh penghayatan kepada bacaan dalam solat. - Foto hiasan/Danial Noordin 

"Jika tidak, kita tidak dapat menumpukan perhatian kepada bacaan solat itu sendiri dan roh solat itu sudah pasti kurang khusyuk," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pondok Moden Al-'Abaqirah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini, hari ini. 

Ditanya mengenai sambutan umum terhadap solat yang singkat itu, Zulkifli berkata, setiap agenda solat tarawih yang dikerjakan mempunyai pengikutnya tersendiri. 

"Contohnya, ada (masjid atau surau) yang mengerjakan solat tarawih dengan bacaan satu juzuk al-Quran, ada yang tiga juzuk dan ada yang sehingga 10 juzuk. Semua itu ada (jemaah) yang berminat dan bersemangat mahu melakukannnya, maka tidak peliklah," katanya. 

Baru-baru ini, satu video menunjukkan solat tarawih dan witir 23 rakaat dikerjakan kurang dari lapan minit di sebuah sekolah agama di Udanawi, Blitar, Indonesia, yang dimuat naik di laman YouTube mendapat perhatian ramai.
bharian

No comments:

Post a Comment