“MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI”
Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Y.A.B Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak pada jumaat, 28 september 2012 adalah lebih baik daripada bajet alternatif yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat (PR) kerana bajet 2013 BN banyak manfaat yang diberikan kepada rakyat dan secara tidak langsung merupakan bajet “pukul habis” kepada bajet yang dibentang oleh PR.
Pada pendapat saya, Bajet ini lebih baik kerana tidak ada cukai baru, bahkan lebih banyak penurunan cukai, selain dari peningkatan pelaburan asing dan ekonomi yang lebih baik. Bajet ini jelas menenggelamkan bajet yang dibentangkan PR, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Y.A.B Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak atas bajet ini.
Belanjawan yang dibentangkan Y.A.B Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak juga bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Teks Ucapan :-
YAB DATUK SERI NAJIB RAZAK
PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN
“MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI”
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu
Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan
untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu
untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
MUQADDIMAH
Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia
Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah
yang diturunkan di Madinah, bahawa :
“Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana
sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari
kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas
tiap-tiap sesuatu.”
Tuan Yang di-Pertua,
1. Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang
berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi
pihak Kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan
Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas
limpah rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut,
melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan
ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara
tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat
kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan di
landasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara
maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah
dipertingkatkan secara berterusan.
2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik
Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan
kepada semua rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55
tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia
telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama. Terima
kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa
dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap
ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda.
3. Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang
mahupun cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini
tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang
berbisa. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan
kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan
dogengan lipurlara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta
kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.
4. Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia
merupakan ekonomi berteraskan rakyat. Ia hasil wawasan dan aspirasi
rakyat. Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat. Ia
sumbangan masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja
kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru,
pensyarah dan karyawan. Didukung pula para penjawat awam dan usahawan.
Di atas segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh Kerajaan
yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula
kejayaan Malaysia.
5. Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti
Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan
kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang
mana kaca. Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan ini
sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul
telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada.
6. Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan
selama ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah
dan mehnah melanda. Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya
persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat
Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang
ketika.
PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013
Tuan Yang di-Pertua,
7. Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus
berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan
mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari
akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh.
Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1
peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan
penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung
asing bersih berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras dengan peningkatan
keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan
utama.
8. Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan
perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka
berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu
oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 bilion
ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan
sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun 2009. Trend ini menunjukkan
aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan
projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi. Ini mendorong
sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding
4.6 peratus pada tahun 2011.
9. Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa
saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks
Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata
pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44
peratus daripada 999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43
trilion ringgit pada akhir Julai 2012. Pendapatan per kapita pula
meningkat kepada hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25
ribu ringgit pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012
pula kekal kukuh mencatat 432.2 bilion ringgit, mampu membiayai 9.5
bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.
10. Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang
dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih
kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam
Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit.
Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta
sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus
meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar
5.6 peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
11. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion
ringgit bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan,
menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada
jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus
dan 49.7 bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan.
12. Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah
bagi Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan
Bekalan. Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian
dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk
Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.
13. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit
disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur,
perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1
bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan
dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan
masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi
pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan
2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
14. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013,
jumlahnya dianggarkan 208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion
ringgit pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan
perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada
4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada
tahun 2012. Ini menunjukkan Kerajaan komited untuk terus mengurangkan
defisit fiskal ke paras lebih rendah.
FOKUS BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
15. Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup
rakyat di seluruh negara, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan,
perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan
matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan
memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum
hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu,
Bajet 2013 dirangka bertemakan “MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT:
SEBUAH JANJI DITEPATI” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN
Tuan Yang di-Pertua,
16. Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan
langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012,
pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8
bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2011. Trend ini dijangka
berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat
kepada 148.4 bilion ringgit.
17. Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama
Ekonomi Negara. Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan
projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi
projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan
padi. Sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life
bagi mengindahkan Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk
projek pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan
kemudahan air.
Menggalak Pelaburan Domestik
Tuan Yang di-Pertua,
18. Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan
penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan
telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion
ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini
bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan
teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, Kerajaan juga
memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar
cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung
menjadi entiti lebih besar.
Mempergiat Perusahaan Kecil dan Sederhana
19. Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi
mempercepatkan pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan
industri di seluruh negara, dana sebanyak 1 bilion ringgit akan
disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.
Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan dan
seterusnya memajukan perniagaan mereka.
20. Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 – 2020) yang telah
dilancarkan yang bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan
pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini
melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk 6 Program Berimpak Tinggi
dengan peruntukan 30 juta ringgit.
21. Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan
produk-produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport, SME Bank
dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri
Halal sebanyak 200 juta ringgit bagi membiayai modal kerja PKS terlibat.
22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil
menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan
kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda
keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya
berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan
mencadangkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan
peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim
ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 5,000 ringgit. Buat
pertama kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan
sebanyak 16 juta ringgit setahun.
23. Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan
memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha
bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil
kepada standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan
model licensing atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan
khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak,
kiosk dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan
kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga 25
ribu ringgit bagi licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor.
Malaysia Sebagai Hab Minyak dan Gas
Tuan Yang di-Pertua,
24. Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu
minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan
Malaysia daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu hab dagangan
minyak dan gas bersepadu utama dunia.
25. Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik
meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem
yang berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan
dagangan. Bagi mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan
industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan
cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan
tanah dan bantuan kewangan sebagai tipping point projek perkongsian awam
swasta, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10
tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.
26. Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun
Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada
yang layak. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas
bernilai 20 bilion dolar US telah dimulakan termasuk projek Petronas
Refinery and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal
Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan
terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah.
27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global
Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3
peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah
400 juta tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan
pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun
untuk tempoh 3 tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan
komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi
seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia.
Merancak Sektor Pelancongan
Tuan Yang di-Pertua,
28. Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi
penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan
daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion
ringgit pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014,
Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah
perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42
peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga
mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi
pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750
pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.
Meningkat Aktiviti Pertanian
29. Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada
sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan
memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak
5.8 bilion ringgit, kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
30. Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta ringgit bagi pembangunan
program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam
pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti,
penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan
rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga
mempersiapkan sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran
produk makanan dan kesihatan.
31. Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak 432 juta
ringgit disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit.
Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar
26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa
ini. Di samping itu, sebanyak 127 juta ringgit disediakan untuk
pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah
komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan
terbitan.
Kelestarian Jaminan Bekalan Makanan
Tuan Yang di-Pertua,
32. Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan
datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambahbaik dengan sistem
pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan
jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang
Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam
adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta
tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu
hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan
104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta ringgit.
Membela Nasib Petani dan Nelayan
33. Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa
memastikan kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan
pendapatan mereka meningkat. Pada masa ini, Kerajaan memberi elaun
bantuan sara hidup 200 ringgit sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu
nelayan berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen
hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil
tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.
34. Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans
nelayan dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat
ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit
sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup
nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan 300 juta ringgit pada
Bajet 2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat
dijalankan.
35. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula,
Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia
ada berjumlah 2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan
insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi –
480 juta ringgit, Pemberian Subsidi Baja Padi – 465 juta ringgit,
Insentif Peningkatan Hasil Padi – 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran
Padi – 563 juta ringgit, Subsidi Harga Beras – 528 juta ringgit dan
Subsidi Benih Padi Sah – 85 juta ringgit.
36. Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama
pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim
Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan
kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat
memanfaatkan 172 ribu pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima
dianggarkan bernilai 13 ribu ringgit setiap pesawah. Buat permulaan,
Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit.
37. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang
diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan
seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata
pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah
beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi 10 ribu
ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini, sebanyak 41 juta
ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta.
Mencergaskan Pasaran Modal dan Kewangan
Tuan Yang di-Pertua,
38. Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat
ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan
sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau 171 bilion ringgit daripada
jumlah terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini
terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS
Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit.
39. Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham
menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang
diuruskan meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih
sebanyak 277.8 bilion ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan
yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang
bernilai 17.4 bilion ringgit. Ia merupakan peningkatan 162 peratus
berbanding 2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar
di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dengan nilai 9.9
bilion ringgit dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai 6.3 bilion ringgit
telah diterbitkan. Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober
2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar.
41. Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara,
Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan
AgroSukuk untuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian,
terutamanya dengan kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya
instrumen seperti AgroSukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi membiayai
syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani. Justeru, untuk
menggalakkan terbitan AgroSukuk, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi
menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 4
tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
42. Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan
menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini,
SC telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit
untuk membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran
bon dan sukuk. Sebagai permulaan, DanaInfra Nasional Berhad akan
menerbitkan bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk
membiayai pembangunan projek MRT.
43. Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit,
Kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk
runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012
hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi
pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus
niaga bon dan sukuk runcit.
44. Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal
bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal
Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan
bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan
Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.
45. Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong
pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate
Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama
sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan
industri sekuriti dan derivatif.
Menggalakkan Amanah Perniagaan (Business Trust)
Tuan Yang di-Pertua,
46. Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai
kelebihan tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk
memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu,
Kerajaan telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk
menyediakan pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu
amanah perniagaan (business trust).
47. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan
diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi
menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah
milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah
perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai
keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.
48. Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat
yang berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang
munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion
ringgit nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit
bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat
menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah,
infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta
penerbangan.
49. Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan
akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit dalam
tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan
antara 4 hingga 6 bilion ringgit.
50. Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal
sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk
bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini
akan memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak
dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan
dengan itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini
melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC.
51. Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai
hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan
Tun Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan
kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan
baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX
dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan
menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan.
52. Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama
menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai
pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX,
pengecualian duti setem, elaun bangunan industri, elaun modal
dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian
cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX
berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti
sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai
pada Oktober 2012.
Wakaf Korporat
Tuan Yang di-Pertua,
53. Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri
merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam
sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada
pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk
tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai
wakaf korporat. Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah
Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) akan diberi tanggungjawab untuk
merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan
Agama Islam Negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan
wakaf korporat di Malaysia.
Pembangunan Usahawan Bumiputera
Tuan Yang di-Pertua,
54. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera
dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan
berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada
tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus
berbanding 22 peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah
meningkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran
pertama projek MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam
projek berimpak tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan
kemahiran syarikat Bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak 9 bilion
ringgit atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT
diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.
55. Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera
untuk berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor
ekonomi. Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion
ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu
PKS tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik
GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk
dijual. Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang
berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur Bumiputera.
56. Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan
dana sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan
akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga
2.5 juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana
Skim ini yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900
juta ringgit. Bagi menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati
kemudahan Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim
ini sehingga 31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat
Bumiputera Berprestasi Tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang
saham syarikat daripada 10 juta ringgit kepada tidak melebihi 20 juta
ringgit.
57. Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi
kekangan kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), usahawan kecil kini mampu
memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini, TEKUN
telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion ringgit kepada 224,175
usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta ringgit
kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan
Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan
peruntukan sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta
ringgit kepada masyarakat India.
FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
Tuan Yang di-Pertua,
58. Sememangnya sejak merdeka, Kerajaan telah menjadikan bidang
pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga menyedari
pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat kepada sebuah negara yang
makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap tahun
menyaksikan peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada
keseluruhan bajet. Namun, didapati hasil yang diperolehi tidak setara
dengan pelaburan yang telah dibuat. Maka, pada 11 September lepas,
Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan sistem
pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak
Malaysia.
59. Bagi Bajet 2013, sebanyak 38.7 bilion ringgit telah diperuntukkan
kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan
pembangunan.
60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya kompetensi dan
kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem
pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di samping
38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi
perbelanjaan mengurus dan pembangunan, Kerajaan akan menyediakan
peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi meningkatkan
kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa
Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan
Higher Order Thinking Skills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan
Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau
dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua,
61. Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan telah menyediakan sebanyak
1 bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan
Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk
membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan
pembinaan blok tambahan. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita
saya mengumumkan tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini.
Daripada jumlah ini, 400 juta ringgit akan disalurkan kepada Sekolah
Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100
juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah
Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta
ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta ringgit kepada Maktab
Rendah Sains MARA.
Memperkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Tuan Yang di-Pertua,
62. Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti
pendidikan prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan
kanak-kanak dengan pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion
ringgit disediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah termasuk kepada
Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan
Perpaduan dan Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta
ringgit disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru
prasekolah.
63. Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang
berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna
di samping membangunkan perkembangan minda yang positif, Kerajaan
mencadangkan insentif-insentif berikut:
Pertama: Geran pelancaran 10 ribu ringgit kepada
penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu
mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta
baru akan mendapat manfaat;
Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau
subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan
kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak akan diberi kepada majikan;
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5
tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi
kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan
Keempat : Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh
5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun
kepada pengusaha pra-sekolah swasta.
64. Pada masa ini, kita dapati ramai kanak-kanak kurang upaya dari
keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana
kekurangan taska OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek
perintis taska OKU bagi 6 kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down
syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah
pembelajaran.
Latihan dan Kemahiran
65. Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif
dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran
baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi
berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013,
sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam
bidang teknikal dan vokasional.
66. Setiap tahun hampir 180 ribu graduan berkelulusan diploma dan
sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi.
Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan
melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012.
Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran
graduan. Dalam hal ini, Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability
Taskforce dengan peruntukan 200 juta ringgit.
67. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau
dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap
kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training
di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas
perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun
2012 sehingga tahun 2016.
68. Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan
Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk
menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir
40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5.
Kerajaan juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta
pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut
Kemahiran Belia Negara.
69. Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras
dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada
teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini,
tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan
berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas,
perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013, dijangka
seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping itu, Petronas akan
menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di Pengerang,
Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini
dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID.
70. Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India,
terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik
dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras
dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta
ringgit untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi
memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran.
Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan
kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.
71. Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan
produktif dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi
negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan
menyediakan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan
ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara
percuma di hospital Kerajaan atau klinik panel PERKESO. Pemeriksaan
kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada
semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun.
FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI
Harta Intelek (IP) Sebagai Cagaran
Tuan Yang di-Pertua,
72. Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai
komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan
perniagaan, satu model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi
membenarkan ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai
cagaran memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini,
langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta
Intelek berjumlah 200 juta ringgit. Skim ini akan ditawarkan oleh
Malaysia Debt Ventures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah
sebanyak 2 peratus dan jaminan sebanyak 50 peratus melalui Credit
Guarantee Corporation; dan
Kedua: Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta
ringgit bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian
Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta
intelek.
Penyelidikan dan Pembangunan
Tuan Yang di-Pertua,
73. Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai
penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk
dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit
kepada 5 buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan
berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi,
automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa.
74. Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D
institusi penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia
ada bagi pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber
diperluaskan kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di
bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah:
Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat
subsidiarinya yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan
R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang
dibuat dalam syarikat subsidiari tersebut; dan
Kedua: Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti
mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan
sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun
.
Mempergiat Pelaburan Modal Teroka oleh Pelabur Individu
75. Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka
mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat
antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu,
sebagai sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung
pelabur pemangkin atau angel investors di peringkat awal perniagaan
adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan dan daya saing
syarikat teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan cukai
bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka
dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.
Menyemarak Inovasi Inklusif
Tuan Yang di-Pertua,
76. Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus
merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan
pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi
sebuah negara maju berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh
dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap lapisan masyarakat.
Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi Malaysia
dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Pembangunan Teknologi Hijau
77. Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan
Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk
tempoh 3 tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini
membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau
membuat pinjaman mudah dengan Kerajaan menanggung subsidi 2 peratus
daripada jumlah kadar faedah dan jaminan Kerajaan 60 peratus. Sehingga
kini, hampir 800 juta ringgit telah diluluskan kepada 50 syarikat
tempatan. Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk
berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak 2
bilion ringgit dan tempoh permohonan skim SPTH ini dilanjutkan untuk
tempoh 3 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015.
FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
Tuan Yang di-Pertua,
78. Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal
terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi
mencapai bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi
perlu memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi
perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan
dasar dan program negara.
79. Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak
melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus
berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan
dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan
mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan
pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money.
80. Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi
bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan
bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan
kewangan setiap isi rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan
pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan
pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.
81. Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun
semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia
tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan
rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan,
perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.
82. Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu
imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara
terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan
mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.
83. Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap
disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang
sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh
dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.
Tuan Yang di-Pertua,
84. Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti
menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja
pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan
mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat
terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta
lebih responsif.
85. Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan
khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara.
Sehubungan itu, Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan
yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan
pencen minimum daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit. Pelarasan pencen
ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah
ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan,
dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit setahun.
86. Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan
mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50
peratus iaitu daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah
laku 5 tahun. Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh
dua tahun dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran
pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun
ke bawah. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013.
Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia
Tuan Yang di-Pertua,
87. Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan
hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan
bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu,
syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan
kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda
Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke
peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.
88. Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju
untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah
kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan
Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi
syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi
meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha
ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan
peruntukan sebanyak 107 juta ringgit.
89. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran
insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan
anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah
ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit.
90. Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera
sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi
menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun
khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6
ringgit sejam dan bagi pegawai, RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam
melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera merangkumi Askar
Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di
seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM
dan PVR sebelum ini.
91. Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk
membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang
daripada 21 tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk
memberi sumbangan sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka.
Peruntukan sebanyak 224 juta ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas
tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung
Angkatan Tentera.
92. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans
Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat
dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had
perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu
anggota tentera dan polis.
Tuan Yang di-Pertua,
93. Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit
setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang
diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan.
Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan
beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun semula di mana
Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman
perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat
dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap
dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4
peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.
94. Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap
permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit
bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali
pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban
kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju
untuk menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap
permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.
95. Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara
hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di
peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju
menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih.
Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai
Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat
Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan,
Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam
dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit
akan disediakan.
FOKUS KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT
Tuan Yang di-Pertua,
96. Kerajaan juga akan menyediakan 6 bilion ringgit pada tahun 2013
di bawah Insentif Pembiayaan Swasta yakni PFI 2 untuk melaksanakan
pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan
memacu pertumbuhan ekonomi negara. Antara projek yang telah dikenal
pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik
kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir
dan penyediaan kemudahan sukan.
Mewujud Kejiranan Yang Selamat dan Harmoni
Tuan Yang di-Pertua,
97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah
sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar
jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan
sejumlah 591 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk
melaksanakan langkah-langkah berikut:
Pertama : Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia
pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah
serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;
Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan
perumahan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal
dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit;
Ketiga: Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai
10,000 orang dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis
membanteras jenayah; dan
Keempat : Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV
sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung,
Sabah dan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
98. Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan
anggota Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan
saudari dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud
terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan
mengambil maklum kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal
ini. Kerajaan telahpun mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar
kajian komprehensif dilakukan untuk menambahbaik laluan kerjaya warga
PDRM. kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua
“stakeholder” dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin.
99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di
mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh
Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit
kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah
20 juta ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013.
Tuan Yang di-Pertua,
100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh
bersama Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah
negara yang selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan
inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi
tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini,
Kerajaan bercadang memberi geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025
persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta ringgit;
Kedua : Mempertingkatkan peranan rukun tetangga
dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini,
Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan kawasan rukun tetangga menjelang
tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39 juta ringgit bagi membiayai
aktiviti KRT;
Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,00 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan
Keempat : Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan
alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama
ia dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di
bawah galakan Elaun Modal Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan
yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Tuan Yang di-Pertua,
101. Pastinya, Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah.
Bagi tahun 2013, sebanyak 276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada
SPRM bagi membanteras rasuah. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambah
sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000
anggota. Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha Kerajaan
memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.
Memacu Transformasi Komuniti
Tuan Yang di-Pertua,
102. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau
RTP bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di
bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau
UTP. Sejumlah 200 juta ringgit akan disediakan bagi maksud ini. Bagi
memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National
Strategic Coordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian
Kewangan.
103. Urban Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam
pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan
Kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC
dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan Kerajaan sedia ada yang kosong
atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan kos yang minimum.
Sebagai contoh, di UTC, rakyat boleh membuat pasport dalam tempoh satu
jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan
buku serta menjalankan aktiviti riadah seperti futsal dan gim. Keunikan
UTC ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, 7 hari
seminggu.
104. Di bawah UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi
Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah
menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan
diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama,
iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.
Program Transformasi Luar Bandar
105. Di luar bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi
Luar Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi
menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan,
pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan
insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik
serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan
terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh
negara sebagai Mini-RTC.
Pembangunan Luar Bandar dan Masyarakat Orang Asli
106. Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan
jurang pembangunan bandar dan luar bandar. 4.5 bilion ringgit akan
disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013
termasuk:
Pertama : Sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan
untuk melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan
perhubungan desa yang memanfaatkan 220 ribu penduduk;
Kedua : Sebanyak 1.6 bilion ringgit diperuntukkan
untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air
kepada 24 ribu buah rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik
kepada 19 ribu buah rumah;
Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit diperuntukkan
bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di
seluruh negara dan memanfaatkan 38 ribu penduduk. Program utama termasuk
menaik taraf kilang pemprosesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti
baru, pembinaan pusat pemasaran serta menambah baik pakej dan aktiviti
homestay serta rekreasi;
Keempat : Sebanyak 88 juta ringgit diperuntukkan
bagi melaksanakan program pembangunan ekonomi dan projek bekalan air
bagi masyarakat Orang Asli; dan
Kelima : Sebanyak 100 juta ringgit bagi membekal 40
ribu tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di
kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Kesihatan Asas Kesejahteraan
Tuan Yang di-Pertua,
107. Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati
perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, Kerajaan
memperuntukkan sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus
dan pembangunan.
108. Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan
memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses
bagi mendapatkan rawatan. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 20 juta
ringgit bagi membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013. Klinik
1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan
glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan. Selain itu,
sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350
klinik di seluruh negara, di samping menambah 150 buah mesin dialisis di
pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara.
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Tuan Yang di-Pertua,
109. Memang benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan
keluarga bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi
negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi
menyokong dwi peranan wanita ini dengan melaksanakan langkah-langkah
berikut:
Pertama : Seramai 500 wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat;
Kedua : Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal
(I-KIT) akan dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan
kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan; dan
Ketiga : Program Get Malaysian Business Online
(GMBO) bagi membantu 50 ribu usahawan kecil, terutamanya wanita
melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas talian
dengan geran seribu ringgit melalui peruntukan 50 juta ringgit oleh
SKMM.
Keempat : Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk
kemudahan pemeriksaan percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat
memanfaatkan seramai 100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas.
110. Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang
bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak
ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Justeru, program Kebajikan
Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 1.2 bilion ringgit
meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja
orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik.
111. Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman
Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada
golongan berpendapatan rendah. Antara program di bawah inisiatif ini
adalah Azam Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini,
Kerajaan memperuntukkan sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat
memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta.
112. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung Singgah
bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka
yang memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat
pekerjaan atau kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, Kerajaan
menambah lagi 6 pusat Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5
Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi
menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin
atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan
di hospital Kerajaan.
Belia dan Sukan
Tuan Yang di-Pertua,
113. Sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana
melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei,
Nicol Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad
adalah antara hero dan heroin sukan yang dikagumi. Kejayaan dan
pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan. Kerajaan
sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan
dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak 738
juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan.
114. Kerajaan akan memperuntukkan 15 juta ringgit bagi mempersiapkan
para atlet ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013,
Sukan Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014.
Sebagai tambahan juga, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk tempoh 4
tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program
Road to Rio.
115. Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan
badminton, Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban
dan Akademi Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak 80 juta
ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
116. Dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti
tinggi, berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing,
Kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia
di seluruh negara. Kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia
Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara bersempena
dengan perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun kesukarelaan nasional.
117. Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan
dengan nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan
peruntukan permulaan sebanyak 50 juta ringgit. NEF akan menjadi platform
bagi program latihan dan bimbingan.
118. Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan
peruntukan sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana
pinjaman mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan
subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum
pinjaman sebanyak 100 ribu ringgit serta tempoh bayaran balik selama 7
tahun.
119. Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan
pembangunan negara. Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan
Lautan Biru 1Malaysia For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan
idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat
tempatan, negeri dan kebangsaan. 3 idea terbaik akan diberikan
peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
120. Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang
menggunakan telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan
belia. Oleh itu, bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya
maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui
kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta
syarikat telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat 200
ringgit akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon
mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada
belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan 3,000
ringgit dan ke bawah. Sebanyak 300 juta ringgit telah disediakan dan
akan memanfaatkan 1.5 juta belia.
Mengiktiraf Karyawan dan Seniman
Tuan Yang di-Pertua,
121. Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses
pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur
semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut
diukur menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan
penting dalam meningkatkan peradaban nasional. Sebagai menghargai
peranan mereka ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah 6 juta
ringgit sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan
yang berdaftar.
Memperluas Jaringan Pengangkutan Awam Bandar
Tuan Yang di-Pertua,
122. Bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, ia
adalah nadi kepada pembangunan sesebuah komuniti. Lanjutan daripada
kejayaan pengenalan RapidKL dan RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan
RapidKuantan mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan
pengangkutan bas berkualiti di Kuantan yang dapat memanfaatkan rakyat
teramai. Syarikat Prasarana juga dalam proses untuk memperluaskan
perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota
Kinabalu.
123. Kerajaan memandang serius kepentingan pengangkutan bagi orang
ramai terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar. Pada
masa ini, golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati diskaun 50
peratus kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB.
Sebagai lanjutan, suka saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk
memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang ini, kepada semua
warganegara Malaysia yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.
Perumahan untuk Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
124. Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah
keperluan asas paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk
memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka
sendiri. Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan
ia adalah imperatif moral bagi sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab.
Oleh itu, Kerajaan akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti
berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan, Kerajaan akan
memperuntukkan 1.9 bilion ringgit bagi membina 123 ribu unit rumah
dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik. Inisiatif ini akan
dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan
Perumahan Negara.
125. Sebanyak 500 juta ringgit akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk
membina 50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara
dengan harga jualan antara 100 hingga 400 ribu ringgit seunit. Antara
bandar-bandar utama tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor
Bharu, Seremban dan Kuantan.
126. Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara
Perumahan berjumlah 500 juta ringgit untuk membina 30 ribu unit rumah
secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang
ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah
berbanding dengan harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan
dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka.
127. Manakala sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan melalui SPNB
untuk membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah
dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek
perumahan SPNB yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak
1,855 unit apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di
Shah Alam dan Sungai Buloh. Unit kediaman ini akan dijual pada harga
sekitar 120 ribu hingga 220 ribu ringgit seunit.
128. Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina sebanyak
21,000 unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan
membina rumah berharga 65 ribu ringgit dengan subsidi sebanyak 20 ribu
ringgit serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus.
129. Selain itu, peruntukan sejumlah 543 juta ringgit akan disediakan
bagi Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program
Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina
menggunakan kaedah Industrialised Building System. Kesemua unit kediaman
ini akan dijual antara 30 hingga 40 ribu ringgit seunit berbanding
harga pasaran sekitar 120 ribu ringgit seunit. 20 peratus daripada
keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada
golongan OKU.
130. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang
pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang
lalu, akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam
perseorangan daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau
10,000 ringgit sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri. Di samping
itu, syarat keperluan simpanan 3 bulan deposit serta tempoh minimum
bekerja 6 bulan juga akan dimansuhkan.
Tuan Yang di-Pertua,
131. Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah pun memberi pengecualian duti
setem 50 peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman
sebuah rumah kediaman pertama yang berharga sehingga 350 ribu ringgit.
Kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada
sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan
sehingga 400 ribu ringgit.
Kajian Semula Cukai Keuntungan Hartanah
132. Menyangkut hal penawaran hartanah yang terhad terutamanya di
kawasan bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti spekulasi. Dengan itu,
Kerajaan mencadangkan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) ke atas
keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi
dua tahun dari tarikh perolehan hartanah berkenaan, dikenakan pada kadar
15 peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga
5 tahun. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas tempoh 5 tahun daripada
tarikh perolehannya, CKHT tidak dikenakan. Sementelahan itu, keuntungan
daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dalam seumur hidup dan
pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu
bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada CKHT.
Galakan Cukai untuk Memulih Projek Perumahan Terbengkalai
133. Selanjutnya, bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan 100 juta
ringgit kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka
dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai. Sebagai tambahan untuk
menggalakkan penyertaan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan
insentif cukai seperti berikut:
Pertama: Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat;
Kedua : Kontraktor penyelamat diberi potongan cukai 2 kali ke atas bayaran faedah dan semua kos langsung dalam mendapatkan pinjaman;
Ketiga : Kontraktor penyelamat diberi pengecualian
duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan
pindah milik tanah atau rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai
kos pemulihan; dan
Keempat : Pembeli asal rumah terbengkalai diberi
pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang
disempurnakan bagi tujuan mendapat pembiayaan tambahan dan pindah milik
rumah.
Bantuan dan Insentif Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
134. Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat
untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif
tertinggi. Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang
tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti
sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma,
itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga
semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak
akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, Kerajaan
ini tidak akan mengaburi mata rakyat.
135. Menyedari hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif
rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian
subsidi daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan
sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang
bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan
diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya. Hakikatnya,
jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan
kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat,
seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia. Sebagai sebuah
Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut
berlaku.
136. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi
bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia
dapat mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya
ekonomi nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat
terus dijana. Sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi
rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebagai tambahan,
sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan
kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan
tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada individu
bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.
137. Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini
bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan
bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia
memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan
peruntukan 3 bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi
memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu
mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar
mulai November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat
Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam
Negeri seluruh negara.
Tuan Yang di-Pertua,
138. Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya
diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar
2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang
mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September
2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan
saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah
kandungan gula.
139. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung
subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan
sebanyak 278 juta ringgit. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh
persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.
140. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota
penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan
menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan
harga minyak masak di pasaran.
Penyeragaman Harga
Tuan Yang di-Pertua,
141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak
adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos
penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan
harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai
inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi
pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan
akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga
barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga
yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M
dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke
Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.
Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong
dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak
tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.
142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang
alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak,
Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50
peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke
atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang
keperluan asas dan binaan ke Labuan.
Mempermudah Ibadah Haji
143. Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah.
Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat
pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5 ini melalui penghadangan Akaun 2
sebanyak 1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528
pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk
membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal
haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari
Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini
terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3
ribu ringgit.
Kajian Semula Cukai Pendapatan Individu dan Koperasi
144. Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat
serta tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan
sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan
pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu
membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta
orang.
145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang
berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama,
Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata
peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi
2,500 ringgit sehingga 50 ribu ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan
seramai 170 ribu pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar
cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai
mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin
dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan
cukai pendapatan sehingga 425 ringgit seorang.
146. Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan
koperasi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga
dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan
pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan
menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan
keusahawanan dalam bidang perniagaan.
Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah
Tuan Yang di-Pertua,
147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki
bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas
sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas
sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin
meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi
jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas
sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan
subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan
bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang
berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh
BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.
148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri,
hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang
menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan
memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum
sebanyak 100 ribu ringgit dan kos premium sebanyak 40 juta ringgit untuk
tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
Darat.
Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar
149. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama
mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan
sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan
menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan
asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan
bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit
diperuntukkan pada tahun 2013.
150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan
persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan
menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan
rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian
bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan
menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat
kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.
151. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada
setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa
nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit.
Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan
seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.
152. Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi
anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa,
Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi
anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada
6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan
komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap
pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada
masa hadapan.
153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga
saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi
sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan
kepada 6,000 ringgit.
154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah.
Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak
dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi
memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan
beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang
sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1
Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan
ke atas jumlah pinjaman mereka.
155. Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten
mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan
diberikan. Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan
supaya hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu
perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan,
siapa yang akan menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN.
Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah
jika kita yang berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah
persoalannya.
Program Jalur Lebar untuk Rakyat Termiskin di Bandar
Tuan Yang di-Pertua,
156. Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun
2013 hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat.
Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur
lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi
mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta
ringgit.
Menggalakkan Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)
Tuan Yang di-Pertua,
157. Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat
berkaitan Kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam
pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial
Korporat atau ‘Corporate Social Responsibility’. Bagi menyokong usaha
Kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan
oleh GLC dan agensi termasuklah:
Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek
perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di
atas 5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan
belanja sebanyak 1.5 billion ringgit dalam tempoh tersebut. Di samping
itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki
rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan
berbelanja sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program pendidikan
dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30
peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak
dari luar Felda;
Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta
ringgit bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan
rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak, Klinik
Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan
daif; dan
Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan
memperuntukkan hampir 500 juta ringgit untuk menjalankan CSR dalam
bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam
persekitaran.
Tuan Yang di-Pertua,
158. Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak
akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan
mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang
merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di
peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.
159. Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf
peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar
fiskal negara, Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar
monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran
modal kebangsaan.
160. Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya
mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti
kita tahu, dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang
perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan
diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan
diberikan pada bulan Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan
mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga
sempena musim awal persekolahan.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
161. Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah
bajet terakhir sebelum pilihanraya umum ke-13. Ia merupakan antara
siri-siri bajet yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian
wawasan nasional.
162. Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat
Malaysia, InsyaAllah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan
dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah
status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi
menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
163. Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru agar rakyat
menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang
dimiliki oleh Barisan Nasional. Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan
telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat
Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
164. Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang
untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara
yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka
juga ada hak namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa
akan mendapat mandat melalui peti undi.
165. Kini, masanya hampir tiba apabila rakyat Malaysia akan membuat
pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka.
Persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah, sama ada
kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan adakah hari
esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi. Jika
jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang
ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.
Tuan Yang di-Pertua,
166. Pujangga bermadah, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang
tidak retak. Kita akur, Kerajaan BN tidak bebas dari kekhilafan tetapi
yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu’an
untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan
penuh gempita menyalahkan orang lain.
Tuan Yang di-Pertua,
167. Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga
perlu dinilai catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak
dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah
diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara.
Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga
mengepalai Kerajaan.
168. Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia
harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan
dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan. Hakikatnya, jika
ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula
jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
169. Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir
ranap negara ini dibuatnya? Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir
mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih
tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan
kuasa.
170. Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati.
Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan
menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya
mengambil sikap asal menang, segalanya-galanya sanggup dipertaruhkan.
Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana.
Tuan Yang di-Pertua,
171. Kata Plato “The measure of a man is what he does with power”.
Justeru, hari ini, kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak
sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai
segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa. Kerajaan
BN, dibimbing prinsip “fastabiqul khairat” sepertimana terkandung di
dalam ayat al-Quran yang saya baca pada awal ucapan tadi, iaitu
berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana
tampaknya “fastabiqul fasad”, iaitu berlumba-lumba membuat onar
kerosakan.
172. Kalau kita lihat lagi, hakikatnya Kerajaan BN adalah perintis
kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi
pihak lain yang ingin menjadi Kerajaan merintis kekuatan melalui konflik
dan kebencian. Kerajaan difitnah dan dituduh semahunya.
173. Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN
dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan
rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi
membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana
yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang
kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan
dikhidmati dan yang berbakat digilap.
174. Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada
antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi
cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan
dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah
realiti dari impian.
Kepada Allah kita berserah.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.