ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Saturday, 5 September 2015

PIJAK GAMBAR PEMIMPIN : @PDRMsia BERI GANJARAN KEPADA PEMBER MAKLUMAT



KUALA LUMPUR: Polis menawarkan ganjaran kewangan kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya individu yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sewaktu perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini.



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata polis memandang serius perbuatan memijak gambar itu kerana ia mewujudkan suasana tegang sehingga membangkitkan ketidaktenteraman awam dalam kalangan masyarakat di negara ini.



"Polis harus mengambil tindakan mengikut landasan undang-undang bagi memastikan perkara sebegini tidak mencetuskan tindak balas mana-mana pihak yang akhirnya akan menjejaskan keselamatan awam," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.



Beliau, bagaimanapun tidak menyatakan amaun yang ditawarkan.


Sehubungan itu, polis menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai pelaku-pelaku terbabit agar tampil membantu siasatan.

Thursday, 3 September 2015

BAI'AH : TAKLIK LAFAZ CERAI TALAK TIGA SAH - TIMBALAN MURSYIDUL AM PAS




KOTA BARU: PAS Kelantan mengesahkan taklik lafaz cerai talak tiga yang dikenakan oleh parti itu ke atas wakil rakyatnya di negeri ini bagi mengelak mereka melompat parti adalah sah di sisi perundangan Islam.


Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya telah merujuk perkara berkenaan kepada Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohammad dan beliau mengesahkan dari segi hukum Islam, jatuh hukum kepada pelafaz taklik tersebut jika individu terbabit keluar parti.
"Taklik yang telah dia (wakil rakyat) sebut itu, dengan sendirinya berlaku dan hendaklah didaftar dengan Mahkamah Syariah secara rasmi.
"Dari segi hukumnya dah terjatuh (talak tiga). Itu pandangan yang diberi oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan," kata Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim di sini, Rabu.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan mengulas mengenai taklik lafaz cerai anggota Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli daripada PAS, berikutan dakwaan bahawa Dr Hatta telah menyertai parti baharu yang sedang dalam proses didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah).
PAS memperkenalkan bai'ah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh negara yang bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti mengosongkan kerusi mereka jika meninggalkan parti atau melompat ke parti lain dengan sukarela.
Selain itu, bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan menambah syarat bahawa wakil rakyat PAS di Kelantan perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing. 
Semalam, PAS mengesahkan sebanyak 22 bekas pemimpinnya termasuk Dr Hatta bukan lagi anggota parti berkenaan sebaik sahaja mereka menyertai Parti  Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) yang diambil alih oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) dan akan dijenamakan semula sebagai Amanah.
Perkara itu berdasarkan Fasal 15(1)(c) Perlembagaan PAS (Pindaan 2011) iaitu keberhentian disebabkan menyertai parti politik lain.
Daud sebelum ini dilaporkan berkata mana-mana individu yang melafaz sumpah dan melanggar sumpah, dengan menyertai parti lain, perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang diikrar adalah sah.
Beliau dipetik sebagai berkata taklik talak dengan bersumpah itu tidak boleh dielakkan dengan kafarah atau bayar denda sumpah dan menasihatkan individu yang terlibat melafaz bai'ah talak tiga dan bertindak keluar parti untuk menyertai parti lain, merujuk pengesahan cerai di Mahkamah Syariah kerana jika tidak dirujuk ke Mahkamah Syariah, mereka boleh dianggap bersekedudukan secara haram.- Bernama

Wednesday, 2 September 2015

AWAS !!! KERANG, TIRAM & LOKAN BERACUN DI PERAIRAN SUNGAI GETING


TUMPAT - Sejak kelmarin, notis larangan memakan kerang, tiram dan lokan di kawasan perairan Sungai Geting mula ditampal di serata tempat di perkampungan nelayan di Kampung Geting.

Ia sebagai peringatan awal meskipun belum ada lagi insiden keracunan makan kerang-kerangan yang tercemar kerana sungai tersebut mengandungi Plankton Alexandrium sp.

Jika termakan kerang-kerangan beracun itu boleh menyebabkan kematian dan rata-rata penduduk di pesisir Sungai Geting berwaspada dengan fenomena kerang beracun itu.

Bagaimanapun tinjauan ke Sungai Geting mendapati, masih ada aktiviti mencari kerang-kerangan  di sungai terbabit yang padat dengan bot ditambat di jeti dan sisa buangan sampah hanyut di permukaan sungai.

Seorang penduduk, Mohd Shuraidi Ismail, 30, berkata, dia mengetahui notis amaran itu tetapi dia tetap turun ke sungai mencari hasil kerang-kerangan untuk hidangan keluarganya.

“Saya masih turun ke sungai  ini mencari lokan (spesies kerang) seperti biasa sebab saya tahu selok-belok Sungai Geting ini.

“Saya tahu  mana kawasan yang dikatakan airnya tercemar teruk, di mana kawasan yang selamat untuk dicari lokan ini,” katanya ditemui di Sungai Geting, semalam.

Menurutnya, hanya spesies lokan dan 'tijah' sahaja yang hidup di Sungai Geting, manakala spesies lain seperti tiram, lala dan mentaram tidak hidup di sungai tersebut.

Katanya, dia yakin lokan yang dicarinya itu tidak beracun dan selamat untuknya sekeluarga makan yang enak dimasak rebus.

“Memang saya cari lokan ini di dalam Sungai Geting tetapi lokasinya di kawasan air yang mengalir berhampiran dengan kuala Tak Bai,” katanya.

Lagi pun katanya, penduduk di sini dapat mengenali kerang-kerangan itu beracun atau tidak kerana kerang beracun berbau seperti minyak diesel.


Hantar sampel lokan untuk kajian

Sebelum ini, notis Jabatan Perikanan memaklumkan kajian dari Stesen Penyelidikan Universiti Malaya di Bachok mendapati kandungan air Sungai Geting  mengandungi Plankton Alexandrium sp.

Justeru, Jabatan Perikanan mengeluarkan amaran mengenai penemuan hasil kajian berkenaan dengan melarang aktiviti memungut, menjual, memakan tiram dan kerang di kawasan tersebut kerana boleh mengakibatkan keracunan serta kematian.

Pengarah Perikanan Kelantan, Mohd Zain Saad berkata, pihaknya telah menghantar sampel lokan yang diambil di sekitar Sungai Geting ke tiga pusat penyelidikan untuk kajian lanjut.

Menurutnya,  lokan itu dihantar semalam ke sebuah makmal di Pahang, Universiti Malaya (UM) di Bachok dan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengetahui tahap kandungan bahan yang percayai beracun itu.

“Jadi untuk sementara ini, saya nasihatkan supaya rakyat Kelantan tidak lagi memakan kerang, lokan dan tiram di kawasan berkenaan bagi elak kejadian buruk berlaku.

“Dikhuatiri ia mengandungi racun dan boleh membawa maut. Bagaimanapun, kami masih lagi menunggu keputusan lanjut hasil kajian ke atas bahan berkenaan. Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang aduan berkaitan keracunan berpunca daripada lokan atau kerang yang diambil dari Sungai Geting,” katanya.

Mohd Zain berkata, nelayan dan juga penduduk diminta memberikan kerjasama tidak mengutip kerang-kerangan di kawasan yang berisiko itu.

“Hari ini (semalam) kita telah arahkan pegawai untuk menyebarkan maklumat kepada penduduk sekitar Sungai Geting.

“Notis-notis juga telah ditampal sebagai amaran dan peringatan sehingga kami mendapat keputusan lanjut daripada ujian makmal,” katanya.


Peniaga nafi kerang-kerangan dijual beracun

Dalam pada itu, peniaga  di Pantai Sri Tujoh berdekatan Sungai Geting menafikan hasil  kerang-kerangan yang dijual itu beracun.

Peniaga, Hamidah Ishak, 43, berkata, kerang di situ selamat dimakan kerana ia dikutip di lagun Pantai Sri Tujoh dan Kuala Tumpat.

“Kami tidak berniaga kerang dari Sungai Geting kerana kami tahu di situ airnya tercemar.

“Lagi pun spesies tiram, lala, mentaram dan kerang tidak hidup di dalam Sungai Geting, jadi pembeli tidak perlu rasa was-was untuk singgah membeli kerana kerang ini bukan dari Sungai Getting, ia selamat untuk dimakan,” katanya.

Walaupun gerainya turut menjual lokan, Hamidah berkata, lokan itu juga bukan daripada spesies di Sungai Geting.  

Bagi Rozie Ismail, 43, pula, masalah Sungai Geting tercemar telah diketahui penduduk kampung kerana pernah berlaku kes kerang beracun lima tahun lalu.

“Kawan saya sendiri yang kena keracunan apabila memakan kerang beracun,” katanya.

Menurutnya, sejak kejadian itu, dia tidak lagi mencari spesies kerang-kerangan itu di Sungai Geting kerana khuatir kejadian keracunan berulang.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang membeli tiram, lokan dan spesies lain di sini kerana kerang-kerangan itu dari lagun Sri Tujoh dan bukannya di Sungai Geting.

TUN M INGINKAN KEJATUHAN KERAJAAN @NajibRazak - DS DR SALLEH SAID KERUAK


Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pendiriannya bahawa undi tidak percaya perlu diluluskan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Salleh, Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata apa yang Dr Mahathir tidak beritahu rakyat adalah bahawa jika undi seperti itu diluluskan, bukan sahaja perdana menteri, malah kerajaan akan turut jatuh.

“Kerajaan semasa adalah kerajaan Najib Tun Razak. Apabila beliau jatuh maka kerajaannya turut jatuh. Dan itulah yang diinginkan DAP, PAS dan PKR.
“…dan nampaknya seolah-olah ini juga apa yang Dr Mahathir mahu – kejatuhan kerajaan Najib Razak,” katanya dalam catatan terkini blog beliau, sskeruak.blogspot.com.

“Sebab itu di negara lain apabila undi tidak percaya diluluskan terhadap mana-mana perdana menteri, laporan akhbar berkisar tentang kejatuhan kerajaan, bukannya tentang kejatuhan perdana menteri,” katanya.

Salleh menegaskan bahawa untuk menjayakan undi seperti itu, ia hanya bermakna Dr Mahathir terpaksa bekerjasama dengan pembangkang untuk mendapatkan sokongan mereka.

“Malah jika anda memperoleh 30 anggota Parlimen daripada UMNO atau Barisan Nasional untuk menyokong undi itu, anda masih memerlukan 100 peratus sokongan daripada anggota Parlimen DAP, PAS dan PKR untuk membolehkannya dilaksanakan,” jelas beliau.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 112 anggota Parlimen diperlukan untuk meluluskan undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Menteri itu selanjutnya berkata kehadiran Dr Mahathir pada perhimpunan Bersih pada hujung minggu menunjukkan penentangannya terhadap perdana menteri.

22 AHLI PAS SERTAI PARTI BAHARU GUGUR SECARA AUTOMATIK - TAKIYUDDIN

KOTA BARU: Keanggotaan 22 ahli PAS yang mengisytiharkan diri mereka menyertai Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) selepas diambil alih oleh Gerakan Harapan Baharu (HB) gugur secara automatik. 

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu jelas dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2011) di bawah Fasal 15(1)(c) berhubung keberhentian ahli.

"Sehubungan itu, PAS tidak perlu mengambil sebarang tindakan disiplin, cuma kita hanya perlu hantar surat kepada mereka untuk urusan pentadbiran.  

"Mereka boleh memohon untuk kembali menjadi ahli PAS namun ia bergantung kepada parti untuk menerima atau menolak permohonan mereka," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 di sini, Selasa.

Pada Isnin, Pengerusi HB, Mohamad Sabu mengumumkan gerakan itu telah mengambil alih dan akan menjenamakan semula PPM sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Butiran parti itu akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan.  

Pada sidang akhbar sama, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mengumumkan jawatankuasa Amanah, yang diketuai beliau sebagai pengerusinya, Ahmad Awang penasihat umum; bekas naib presiden PAS, Salahudin Ayub timbalan pengerusi; anggota Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa naib pengerusi; anggota Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Ahmad ketua wanita; Mohd Sany Hamzan sebagai ketua pemuda, Mohd Anuar Mohd Tahir setiausaha agung; Asmuwi Ani bendahari agung dan bekas ketua pemuda PAS Suhaizan Kaiat sebagai setiausaha organisasi. 

HB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas. 

Mengulas mengenai bai'ah dan lafaz taklik yang dipersetujui oleh anggota PAS ketika menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, Takiyuddin berkata, ia tidak memberi kesan dari segi perundangan. 

"Dari segi undang-undang, ia tak ada 'legal effect' (kesan perundangan), tapi ia 'moral obligation'(kewajipan moral), katanya. 

PAS memperkenalkan bai'ah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh negara yang bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti mengosongkan kerusi mereka jika meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan sukarela. 

Selain itu, bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan menambah syarat bahawa wakil rakyat PAS di Kelantan perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing.

Monday, 31 August 2015

HARGA PETROL & DIESEL TURUN BERKUATKUASA 1 SEPTEMBER


KUALA LUMPUR 31 Ogos - Harga petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun 10 sen seliter kepada RM1.95 dan RM2.35 bagi bulan September.

Manakala harga Diesel pula turun 15 sen seliter kepada RM1.80.

Harga baharu itu berkuatkuasa pukul 12.01 tengah malam ini.



PARTI BARU DILANCARKAN AMBIL ALIH PARTI PEKERJA


Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Haji Mohamad Sabu mengumumkan pelancaran parti baru yang dinamakan Parti Amanah Negara (PAN) sebentar tadi Hotel Vistana Kuala Lumpur.

Pelancaran PAN ini memang dinantikan oleh segenap rakyat Malaysia yang tidak sabar-sabar untuk mengetahui nama dan hala tuju parti baru yang bakal ditubuhkan.

Parti baru yang ditubuhkan ini bukan parti yang baru didaftarkan sebaliknya ia adalah parti lama yang ditukar nama dan perlembagaannya. Parti yang diambil alih ialah Parti Pekerja. Langkah ini diambil disebabkan ROS tidak membenarkan penubuhan Parti Progresif Islam (PPI) seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.

Protem Parti Pekerja ini akan mengumumkan perlembagaan dan nama parti pada 16 September 2015. Pihak protem Parti Pekerja ini sedang giat menggubal perlembagaan parti baru ini.

Ternyata parti baru ini memang signifikan lebih-lebih lagi ianya mendapat sokongan padu dari DAP dan PKR serta NGO-NGO di Malaysia. Ia terbukti apabila program-program GHB mendapat sokongan dari DAP, PKR, NGO dan rakyat Malaysia pada program road show yang dianjurkan oleh GHB.

Begitu juga dalam himpunan BERSIH 4.0 semalam GHB dilihat mendapat sokongan padu dari demonstran yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (PAN)

Penasihat Umum : Ustaz Ahmad Awang

Pengerusi : Hj Mohammad Sabu
Timbalan Pengerusi : Hj Salahuddin Ayub

Naib Pengerusi :
Dato' Dr Mujahid Yusof
Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Ketua Wanita : Dr Mariah Mahmud
Ketua Pemuda : Mohd Sany Hamzan
Setiausaha : Mohd Anuar Tahir
Timb. Setiausaha : Abang Ahmad Kardee Abang Masagus
Bendahari : Hj Asmuni Awi
Setiausaha Organisasi : Suhaizan Kaiat

Ahli Jawatankuasa :

Dr Mohd Hatta Ramli
Ir Khalid Samad
Ir Izham Jashim
Hj Adly Zahari
Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi
Dato Seri Muhammad Nizar Jamaluddin
Mazlan Aliman
Aminolhuda Hassan
Mohd Hanipa Maidin
Dato' Fakhrulrazi Zawawi
Saari Sungib
Zulkifli Mohd Omar
Hu Pang Chaw
Dato Wan Abd Rahim Abdullah
Hasnul Baharuddin

DUA KADET MAUT NAHAS KEMALANGAN DI KM10.5 JALAN GUA MUSANG-KUALA LIPIS


GUA MUSANG - Dua kadet tentera maut dan dua lagi parah apabila kereta Produa Myvi yang mereka naiki merempuh tiang elektrik diKilometer 10.5 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang maut ditempat kejadian pemandu kereta Myvi, Wan Ameerul Idris Wan Mohamed Rizal, 19, dari berasal dari Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan penumpang hadapan, Muhamad Johan Ahdza Ismail, 19 berasal Jalan Manal Jaya, Tanah Merah.

Dua rakan mereka yang duduk dibahagian belakang parah, Akhram Mohd Azmi, 20 berasal Kampung Timor, Jeli dan Muhammad Kamarul Amri, 19, di kejarkan ke Hospital Gua Musang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.55 pagi semasa mereka menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari Jeli menghala  ke Kuala Lumpur.

Katanya, semasa  dalam perjalanan itu, pemandu kereta berkenaan hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh lalu terbabas memasuki laluan sebelah kanan sebelum melanggar tiang elektrik.

Beliau berkata, kempat-empat mangsa tersepit dalam kereta terbabit yang dalam keadaan remuh sebelum dua daripada mereka meninggal dunia ditempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan dua mangsa yang mengalami kecederaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

GERAKAN HARAPAN BARU (GHB) GUNA NAMA PARTI PEKERJA


KUALA LUMPUR: Gerakan Harapan Baru (GHB) memutuskan untuk muncul melalui sebuah parti politik golongan pekerja dengan mengekalkan namanya sebagai Parti Pekerja Malaysia (PPM).

Perkara itu diumumkan Pengerusi GHB, Mohamad Sabu dalam satu sidang media di sini hari ini.

"Maka bermula hari bersejarah hari ini, kami melangkah untuk memasuki persada politik nasional secara rasminya.

"Dengan permulaan ini, ia sekali gus menampilkan sebuah lagi parti politik Islam di tanah air ini," kata Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun pindaan nama dan perlembagaan parti akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum pelancaran rasminya 16 September ini.

Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, nama baru parti itu yang akan dicadangkan kepada ROS ialah Parti Amanah Negara atau Amanah.

Sunday, 30 August 2015

TINDAKAN TUN M JADI TELADAN TIDAK BAIK KEPADA ANAK MUDA - DS MUSTAPA MOHAMED

Tindakan Tun Mahathir jadi teladan tidak baik kepada anak muda - Mustapa

KOTA BHARU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed menyertai himpunan Bersih 4  yang dikategorikan sebagai haram menjadi teladan tidak baik untuk anak muda.

"Tidak wajarlah kerana Tun orang yang keras menentang demonstrasi jalanan. Ini sudah pasti memberi kesan teladan yang tak baik kepada anak muda," kata Mustapa selepas beramah mesra di Majlis Minggu Mesra Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini petang tadi.

Beliau turut menyifatkan ada kaedah lain selain demonstrasi jalanan boleh dijadikan platform untuk menyuarakan tuntutan. 

Pada masa sama, beliau berkata sekiranya perhimpunan berlangsung aman, ia tidak akan menjejaskan imej Malaysia di mata pelabur asing.

"Setakat ini pelabur melihat Malaysia sebuah negara yang mampu mengekalkan perpaduan dan keamanan dan jika berlaku perkara tak diingini akan menjejaskan imej negara," kata beliau.