Persoalan sama ada wajar atau tidak penjawat awam diberi kebebasan untuk berpolitik atau menyuarakan pandangan politik mereka seringkali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat.
Beberapa penganalisis berpendapat jika semangat berpolitik yang tinggi wujud di kalangan 1.4 juta penjawat awam dan dibenarkan bersikap partisan, ia boleh memberi kesan kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.
Pada masa sama, ada yang berpandangan bahawa penjawat awam wajar diberi kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan kritikan membina terhadap kerajaan bagi menambah baik sistem pentadbiran awam.
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam rancangan bual bicara 'Street Time with KJ' di sebuah stesen TV swasta menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh memaksa penjawat awam untuk menyokong parti pemerintah kerana Malaysia mengamalkan demokrasi dan pendirian politik penjawat awam mesti dihormati.
Namun, Khairy turut menimbulkan persoalan mengapa ramai penjawat awam tidak mengundi Barisan Nasional dan menyarankan satu kajian diadakan mengenai fenomena ini. 
Persoalannya, sejauh manakah penjawat awam boleh menzahirkan sokongan politik mereka? 
Peranan penjawat awam
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, penjawat awam wajar diberi galakan menyuarakan pandangan konstruktif dan kritikal bagi menambahbaik sistem pentadbiran awam.
"Sebagai golongan birokrat, penjawat awam lebih maklum akan kelemahan dan kekuatan sesuatu dasar. Justeru, kita harus mengalu-alukan kritikan secara konstruktif yang boleh membawa kebaikan kepada negara di samping menggalakkan mereka untuk berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat," katanya kepada
Bernama.
Kebebasan bersuara bagi penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, iaitu (a) Menghasut seseorang supaya benci kerajaan yang memerintah, (b) Mengadakan ceramah, perbincangan dan perbahasan yang mempunyai unsur membenci serta anti kerajaan, dan (c)
Memperlihatkan dengan jelas ketaksuban berpolitik anti kerajaan dengan pelbagai cara, baik secara langsung mahupun tidak langsung sama ada berbentuk lisan atau tulisan, ataupun melalui perhimpunan mingguan, perbualan, ceramah di surau, semasa kaunseling dan sebagainya.
Mohd Azizuddin berkata, adalah lebih baik sekiranya pegawai kerajaan tidak terlibat menjadi anggota mana-mana parti kerana dikhuatiri mengganggu tumpuan terhadap tugas hakiki mereka. 
Katanya pegawai kerajaan (Kumpulan Pengurusan dan Profesional) yang ingin bergiat aktif dalam politik wajar meletak jawatan bagi memastikan prinsip berkecuali pegawai awam akan dapat dikekalkan.
"Terdapat larangan untuk penjawat awam menyertai politik. Ini kerana mereka harus setia kepada kerajaan yang memerintah selain perlu sentiasa mengamalkan sikap berkecuali atau tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan tidak melanggar larangan yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. 
"Bagi pegawai daripada Kumpulan Pelaksana (sokongan), mereka boleh bergiat aktif dalam pertubuhan politik setelah mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Setiausaha kementerian," katanya.
Kesan buruk
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berpendapat peraturan tatatertib membenarkan penjawat awam menjadi anggota parti politik tapi tidak boleh memegang jawatan dan bergiat cergas seperti berkempen dalam pilihan raya. 
"Apa yang dinyatakan dalam peraturan tatatertib dan juga Akta 605 (Pemakaian Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000) dijadikan sebagai panduan di samping pekeliling (circular) Jabatan Perkhidmatan Awam dan pejabat Ketua Setiausaha Negara. Kalau nak benarkan lebih daripada itu, kenalah ubah undang-undang," katanya.
"Lebih elok sekiranya penjawat awam tidak bergiat dalam politik secara langsung. Mereka boleh jadi ahli parti tetapi tidak bergiat aktif kerana lebih banyak kesan buruk daripada baiknya," katanya.
Pandangan Nik Ahmad Kamal turut dipersetujui Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN Prof Dr Jayum Jawan yang berpendapat  pendirian dan sikap berkecuali penjawat awam akan dipersoalkan jika mereka melibatkan diri dalam politik. 
"Tetapi penglibatan politik mesti dibezakan daripada mengundi. Mengundi adalah suatu hak dan sebagai anggota perkhidmatan awam, seperti juga orang lain, penjawat awam berhak untuk mengundi dalam apa jua cara yang mereka rasa sesuai dan berfaedah untuk mereka. Ini bukanlah suatu yang boleh dirunding dan tiada individu  mempersoalkan ini," katanya.
Kekal berkecuali
Jayum berkata, dengan mengekalkan sifat berkecuali, ia secara langsung akan menimbulkan rasa hormat rakyat terhadap penjawat awam.
"Dalam usaha merealisasikan hal ini, anggota perkhidmatan awam perlu menahan diri daripada terlibat secara langsung dalam politik, termasuk menyatakan pendapat berhubung dasar-dasar kerajaan dan menzahirkan sokongan politik secara terbuka kerana ini akan menghakis kredibiliti mereka sebagai penjawat awam yang mesti berkhidmat kepada kerajaan yang pemerintah hari ini dan juga rakyat tanpa mengira fahaman dan latar belakang politik mereka.
"Tambahan pula, mereka adalah sebahagian daripada pihak yang membuat dasar dan merangka program pemerintah. Maka, sepatutnya tidak ada apa-apa isu yang memecah-belahkan antara kerajaan yang memerintah dan anggota perkhidmatan kerajaan, "katanya.
Bagi mengimbangi hak kebebasan bersuara dan tugas hakiki, Mohd Azizuddin berkata penjawat awam harus tahu saluran dan platform terbaik bagi mereka menyuarakan pandangan politik. 
Katanya selagi penjawat awam tidak mencampuradukkan kegiatan politik khususnya politik kepartian di dalam tugas harian, mereka dilihat mampu memenuhi kehendak, objektif dan tanggungjawab sebenar mereka.
"Sebagai pengundi berdaftar pastinya mereka mempunyai persepsi terhadap parti-parti yang bertanding sebelum mereka mengundi. Namun, persepsi mereka haruslah tidak menjejaskan peranan mereka sebagai penjawat awam yang berkhidmat untuk kerajaan yang memerintah," katanya.
Sokong pembangkang
Bersetuju dengan pandangan Khairy berhubung "hormati pandangan politik penjawat awam", Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia Tan Sri Ramon Navaratnam dalam tulisannya di akhbar tempatan 12 Februari lepas bagaimanapun mendakwa, penjawat awam yang memberikan pandangan kritikal seringkali dilihat sebagai penyokong pembangkang selain berhadapan kesukaran mendapat kenaikan pangkat atau jawatan tertentu. 
Mengulas hal itu, Mohd Azizuddin berkata dalam era teknologi maklumat hari ini, kerajaan perlu sentiasa berinteraksi bukan sahaja dengan pegawai kerajaan malahan rakyat, terutama perkara berkaitan perkhidmatan dan sistem penyampaian awam. 
"Sebarang kritikan membina yang konstruktif wajar dialu-alukan dan tidak disekat dengan pelbagai tuduhan dan penafian kenaikan pangkat atau jawatan tertentu," katanya. 
Prosedur tertentu
Nik Ahmad Kamal berpendapat penjawat awam boleh meluahkan kritikan kepada kerajaan melalui prosedur tertentu dan dipantau sendiri oleh mekanisme dalaman sesebuah kementerian.
Beliau berkata penjawat awam adalah jentera yang melaksanakan polisi kerajaan dan mereka mesti taat kepada kerajaan yang memerintah serta menjauhi politik yang boleh menggugat taat setia mereka. 
"Mereka bukan setia kepada parti tetapi kepada kerajaan yang memerintah, jadi kenalah bijak bezakan parti dengan kerajaan. Jika mekanisme dalaman jabatan dan kementerian membenarkan mereka mengeluarkan pendapat dengan berani maka mereka akan lebih berfikiran terbuka.
"Namun jika mereka sentiasa disekat oleh ketua jabatan yang mementingkan kedudukan, maka sukarlah untuk membentuk minda yang rasional dan terbuka di kalangan penjawat awam," katanya. - Bernama