ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AKAUN 1MDB PERLU DIAUDIT, JAWAB DAKWAAN

Sunday 8 March 2015

AKAUN 1MDB PERLU DIAUDIT, JAWAB DAKWAAN

1MDB

IPOH - Ketua Audit Negara perlu segera membuat audit secara bebas dan menyeluruh ke atas akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi menjelaskan tuduhan penyelewengan dan salah laku terhadap dana pelaburan strategik itu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, langkah itu perlu bagi menjawab dakwaan pembangkang selain membolehkan laporan itu diperinci oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wan Negara (PAC).

"Langkah ini perlu disegerakan bagi menjelas perkara yang berbangkit kerana ia berhubung kait dengan kepentingan negara.

"Ia memerlukan masa yang cukup bagi membolehkan pihak sewajarnya merungkai perkara yang berbangkit oleh pihak pembangkang dan media sosial," katanya kepada pemberita sebelum memberi taklimat kepada anggota Umno di Konvensyen Umno Perak hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengarahkan Ketua Audit Negara untuk meneliti secara bebas akaun 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu lepas, laporan Ketua Audit Negara itu akan diserah untuk pemeriksaan telus kepada PAC yang bersifat dwipartisan dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Kabinet sebelum itu memanggil 1MDB dan juruaudit mereka, Deloitte, berikutan laporan media baru-baru ini berkaitan syarikat milik penuh kerajaan itu.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, beliau berasa lega dengan pembebasan Lans Koperal Zakia Aliep hari ini selepas diculik kumpulan bersenjata di Mabul, Semporna pada 12 Julai tahun lepas.

"Apa yang penting kepada kita, dia sudah kembali ke pangkuan keluarga dan kampung asalnya," katanya.

Beliau berkata, Zakia berjaya dibebaskan selepas pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa bagi menyelamatkan nyawa anggota polis itu.

Mohd Shafie juga berkata pengusaha pelancongan di Semporna memaklumkan kepada beliau bahawa kedatangan pelancong meningkat daripada 30 kepada 80 peratus di kawasan pelancongan itu.

"Untuk meyakinkan pelancong ke sana, aspek keselamatan perlu diutamakan bukan hanya dari pasukan keselamatan malah penduduk juga perlu memainkan peranan sewajarnya bagi memastikan keadaan di pantai itu dikawal sebaik mungkin," katanya.

Mengenai keanggotaan Umno, Mohd Shafie yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Biro Keahlian dan Daftar Pemilih parti itu berkata, usaha menambah jumlah anggota Umno perlu diteruskan dari semasa ke semasa.

"Namun, usaha perlu dipertingkat di semua peringkat Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. Kalau kita kenal anggota kita, kenal pengundi kita, sudah tentu ini akan menambahkan kekuatan kepada perjuangan parti," katanya.
Bernama

No comments:

Post a Comment