ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DR MAZA & DUKE PERLU SELESAIKAN PERMASALAHAN DENGAN BERHEMAH - DR HARUN DIN

Monday 9 March 2015

DR MAZA & DUKE PERLU SELESAIKAN PERMASALAHAN DENGAN BERHEMAH - DR HARUN DIN


Tokoh agama terkenal, Datuk Dr. Haron Din menasihatkan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Asri Zainul Abidin dan pendakwah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias saling memaaf berhubung kemelut  dakwaan riwayat palsu Nabi Muhammad saw.

Haron berkata, dua penceramah terkenal itu perlu menyelesaikan permasalahan mereka secara berhemah dan tidak menjadikan media sebagai medan perbalahan mereka.

“Saya juga mengikuti polemik yang berlaku di antara dua tokoh agama ini yang disebarkan kepada awam, Pertama sepatutnya perkara seperti ini tidak disebarkan kepada awam, menyebarkan kepada awam itu akan membuka keaiban itu ditonton oleh awam.

“Orang awam ini selalunya tidak boleh membuat keputusan yang tepat, siapa yang bersalah atau tidak. Maka ramai yang akan keliru nanti apabila  pergaduhan antara dua tokoh agama, oleh itu perkara seperti ini sepatutnya tidak tersebar kepada awam,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Asri yang dilaporkan menuduh Mohamad Kazim terlibat dengan pembacaan riwayat palsu mengenai Rasulullah SAW.

Pandangan Asri itu di buat dalam sepucuk surat kepada Pejabat Menteri Besar Perlis  yang mahu menjemput Kazim untuk memberi ceramah pada satu forum agama anjuran kerajaan negeri. 

Bagaimanapun surat Asri itu  dibocorkan oleh pihak yang tidak dikenali dan mengundang kritikan terbuka Kazim terhadap Asri. 

Haron yakin perbezaan pendapat di antara Asri dan Kazim boleh di atasi dengan cara yang memanfaatkan ummah.

“Tidak sebesar mana masalah jika dibandingkan dengan kebaikan  seseorang insan itu, lebih-lebih lagi dalam kes yang dirujuk itu kalau di antara banyak-banyak yang dilakukan oleh Datuk Ustaz Kazim itu, khidmat dia, ilmu dia, kebolehan dia berinteraksi dengan masyarakat, baiknya terlalu banyak.

“Kalau ada sedikit kelemahannya itu, kita boleh maaf-memaafkan, memberi teguran yang mesra,” katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.

Haron berkata amat malang komen yang dibuat oleh Asri terhadp Kazim disebarkan umum.

“Tetapi kalau sudah tersebar, maka saya berpandangan selepas ini eloklah kedua-dua tokoh ini berjumpa, bersemuka dan bercakap. Bila timbul tuduh-menuduh adalah amat tidak elok, tidak ada kerjasama untuk mengatasi masalah ini.

“Kerjasama maksudnya kalau kita sudah buat kesilapan itu, kita perlu menerima teguran dan yang menegur pula sepatutnya perlu ikut cara menegur dengan baik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Mufti Perlis itu supaya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kazim manakala kedua-dua mereka dinasihati mengelak memberi sebarang komen kepada media mengenai kemelut itu.

“Jangan guna media, media ini dia menambahkan bebanan kepada orang berkenaan dan juga tekanan kepada masyarakat kerana masyarakat ini sudah memihak, misalnya Ustaz Kazem sudah ada jemaah dia, Datuk Asri pun sama juga ada jemaah dia.

“Jadi jemaah ini akan mempertahankan ketua dia atau pun ulama yang dia sanjung, jadi seolah-olahnya kita sedang melaga-lagakan di antara jemaah dengan jemaah sedangkan Islam mengajak kita bersatu demi kebaikan bersama dan kebaikan ummah,” katanya.

Pejabat Mufti Perlis sebelum ini menghantar surat kepada pejabat Menteri Besar Perlis sebagai respon jemputan kerajaan negeri itu kepada Kazim untuk menjadi panel pada Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis ke-72 dan Ulang Tahun ke- 69 RTM.

Surat itu menyebut pejabat mufti negeri tidak bersetuju dengan jemputan itu kerana ustaz berkenaan sering menggunakan riwayat-riwayat palsu ketika berceramah.

Bagaimanapun Asri semalam menegaskan surat rasmi yang ditandatanganinya tidak seharusnya disebarkan kepada umum kerana ia akan menimbulkan spekulasi mengenai penceramah itu.

Beliau berkata  laman sosial Facebooknya milik Mufti akan digunakan sebagai medium untuk mengemukakan kesemua bukti yang mengatakan Kazim sebagai periwayat palsu.
AgendaDaily

No comments:

Post a Comment