ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ISU HUDUD : LGE & LKS BOLEH LETAK JAWATAN SEKARANG - KENG LIANG

Thursday 19 March 2015

ISU HUDUD : LGE & LKS BOLEH LETAK JAWATAN SEKARANG - KENG LIANG


Isu hudud: Guan Eng dan Kit Siang boleh letak jawatan sekarang - Keng Liang
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan hudud di Kelantan memberi petanda kegagalan usaha Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang selama ini untuk menghalang hukum itu dijalankan di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, kedua-dua pemimpin itu kini boleh mempertimbangkan cadangan untuk melepaskan jawatan mereka dan memberi peluang kepada muka baharu untuk memerintah parti.

"Dahulu Guan Eng dan Kit Siang terlalu sibuk dengan pendirian untuk menghalang hudud di negeri Pakatan Rakyat. Kini semuanya berubah, usaha mereka jelas gagal dan siapa hendak menanggung jaminan mereka selama ini?

"Rasanya bolehlah mereka berdua berhenti dan beri peluang pemimpin muda menerajui parti," katanya.

Keng Liang mengulas pembentangan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengenai Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mengandungi hukum hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Rang Undang-undang setebal 47 muka surat itu dibentangkan oleh Ahmad pada jam 11 pagi Rabu itu mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, perbahasan pindaaan enakmen tersebut ditangguhkan hingga ke pagi Khamis.

Sebelum ini, DAP sentiasa menegaskan kerjasamanya dengan PAS dan PKR dalam kerangka Pakatan Rakyat jelas untuk tidak menjadikan hudud sebagai agenda bersama dalam Pakatan Rakyat.

Pada Rabu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke turut memberi amaran, tindakan Kerajaan Negeri PAS Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah di Dewan Undangan Negeri diibaratkan menikam belakang Pakatan Rakyat dan bertujuan memecahbelahkan perikatan politik tersebut.

Dalam pada itu kata Keng Liang, Guan Eng dan Kit Siang boleh mula berfikir untuk 'cuci tangan' dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab kesalahan menolak pelaksanaan hudud yang selama ini diperjuangkannya.

"Kita juga desak supaya DAP menghentikan segera semua retorik politik mereka dan pemimpin atasan harus dipertanggungjawabkan atas kegagalan itu," katanya.

Pada April 2014, Pemuda Gerakan telah menghantar satu notis kepada pimpinan PAS, bahawa tidak akan teragak-agak untuk bertindak bagi mencabar pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan atau di mana-mana negeri di Malaysia.

Pemuda Gerakan turut menekankan bahawa sebarang langkah pemimpin DAP untuk memutuskan hubungan dengan PAS hanyalah satu drama politik sahaja.
AstroAwani

No comments:

Post a Comment