ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SEMUA SEKOLAH DI KELANTAN DIJANGKA DAPAT DIBUKA AHAD INI

Friday 9 January 2015

SEMUA SEKOLAH DI KELANTAN DIJANGKA DAPAT DIBUKA AHAD INI

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan yakin semua 165 sekolah di Kelantan yang terjejas akibat bencana banjir baru baru ini, akan dapat dibuka menjelang hari pertama persekolahan Ahad ini.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata setakat hari ini, sebanyak 79 peratus atau 130 buah sekolah sudah dipulihkan dan bersedia untuk memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2015.
"Sebanyak 130 daripada 165 sekolah di Kelantan sudah dapat dibuka Ahad ini. ..dan saya jangka esok ada baki sehari lagi, sukarelawan akan berkerja keras untuk memastikan sekolah lain juga dapat dibuka pada Ahad nanti," katanya selepas melancarkan Tabung Bantuan Banjir Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.
Idris dijangka melawat Kelantan Ahad ini untuk meninjau kelancaran pembukaan sesi persekolahan di negeri terbabit.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekolah yang terjejas banjir di Kelantan boleh dibuka untuk sesi persekolahan 2015 jika separuh daripada keseluruhan bilik darjahnya sudah sedia untuk digunakan.
"Contohnya jika sekolah itu mempunyai 10 bilik darjah dan lima daripadanya sudah dibersihkan. Maka sesi persekolahan dianggap sudah boleh dimulakan Ahad ini," katanya.
Mengikut Idris, semua 30 sekolah di Pasir Mas dan 19 di Kota Bahru sudah selesai dibersihkan dan sedia untuk dibuka, manakala di Tumpat, 26 daripada keseluruhan 27 sekolah di jajahan itu sudah selesai dibersihkan.
Dalam pada itu, Idris berkata, semua sekolah di Terengganu sudah 100 peratus sedia untuk dibuka pada Ahad ini.
Kementerian Pendidikan hingga kini sudah membelanjakan RM17.2 juta untuk kos pengangkutan dan membeli peralatan kepada para sukarelawan yang turun padang menjalankan kerja pembersihan di negeri terjejas banjir.-Bernama

No comments:

Post a Comment