ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: "SAYA TAK AMBIL SERIUS KENYATAAN HADI" - PRESIDEN PASMA

Wednesday, 28 January 2015

"SAYA TAK AMBIL SERIUS KENYATAAN HADI" - PRESIDEN PASMA


Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) berkata beliau tidak menganggap kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta Pasma keluar daripada PAS sebagai sesuatu yang serius.

Presidennya Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, kenyataan Presiden PAS itu tentang Pasma semalam bukan sesuatu yang baharu, tetapi kenyataan "ulangan" yang dibuatnya tidak lama dahulu.

"Saya sebenarnya tidak 'ambil pusing' dengan kenyataan itu (yang dibuat oleh Presiden PAS). Saya tidak anggap ia serius kerana ia adalah kenyataan ulangan, sama seperti sebelum ini," katanya kepada Bernama Selasa. 

Phahrolrazi yang juga merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor di dalam Parlimen Kuala Kedah berkata, Presiden PAS dan kepimpinan parti yang lain mungkin tidak mendapat maklumat yang betul tentang Pasma. 


Pada Isnin Presiden PAS itu menerusi tulisannya di dalam laman sosial Facebook berkata, Pasma "dipersilakan" untuk meninggalkan parti pembangkang itu sekiranya tidak lagi sehaluan dengan PAS.

"Pasma ini ibarat mereka yang menebuk kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka, yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi," kata Presiden PAS itu.

Menurut Phahrolrazi, Pasma tidak perlu meninggalkan PAS kerana ia hanyalah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang sememangnya berada di luar PAS dan bukan sebuah parti politik. 

Tidak ada keperluan untuk Pasma "menebuk kapal" daripada dalam, kerana ia bergiat di luar PAS sebagai sebuah NGO, katanya dan menambah, adalah perkara biasa bagi seorang anggota politik untuk turut bergiat aktif di dalam NGO.

Beliau juga berkata, di dalam pertemuan empat mata dengan Presiden PAS itu di dalam satu majlis anjuran PAS Kuala Kedah di Alor Setar baru-baru ini, Abdul Hadi tidak menyatakan sebarang pandangan mengenai Pasma kepadanya.

"Tidak ada isu berbangkit ketika kami bertemu minggu lepas," katanya dan menambah, semakin ramai menyertai Pasma sejak pemimpin-pemimpin PAS membidas pertubuhan itu secara terbuka akhir-akhir ini.

Menurut Phahrolrazi, bukan hanya anggota PAS yang menyertai Pasma, tetapi ia turut meliputi anggota daripada parti-parti pembangkang yang lain.

No comments:

Post a Comment