ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: February 2017

Wednesday, 22 February 2017

PAS AKAN PECAH LAGI ???


SHAH ALAM - Timbalan Presiden  Amanah, Salahuddin  Ayub  mendakwa, Pas  kini berdepan  perpecahan setelah parti Islam itu mula menampakkan kerjasama dan hubungan baik dengan Umno.  

“Saya boleh katakan hari ini Pas sudah terbelah dua dan sebenarnya sudah berpecah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Menurut bekas Naib Presiden Pas itu, situasi semasa kini yang memperlihatkan kompromi Pas dan Umno menyebabkan Pas berpecah dua.

“Satu kekuatan yang saya pelajari dengan Pas (dahulu), sekiranya pemimpin itu dilihat benar-benar rapat dengan erti kata lain tidak menganggap Umno sebagai musuh mereka, Pas akan berpecah lagi.

“Saya berani menyatakan Pas akan berpecah dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Katanya, perkara itu sukar diterima terutamanya dalam kalangan penyokong dan ahli Pas kerana melibatkan soal dasar.

“Secara semula jadinya tidak boleh kerana sejak dahulu lagi kita diajar begitu. Berlawan dengan Pas ini bukan soal peribadi sebaliknya soal dasar, kezaliman yang telah dilakukan, salah guna kuasa serta penyelewengan.

“Tiba-tiba hari ini kompromi, tidak boleh.. ia (Pas) akan berpecah lagi,” katanya.

Salahuddin berkata, sememangnya Pas mempunyai kekuatan dari soal keahlian yang ramai namun kelebihan itu tidak menjamin kemenangan pilihan raya.

Katanya, sejarah membuktikan Pas tidak boleh bersendirian dan hanya akan menang banyak kerusi menerusi muafakat politik dan bertahaluf siyasi bersama DAP serta PKR.

“Pas memang tiada masalah mengumpulkan ahli dalam ceramah besar, tetapi dalam pilihan raya, belum tentu menang.  Bila masa Pas menang? Apabila Pas amalkan politik muafakat.

“Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) jadi menteri besar, apabila terima Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai sahabat. Waktu Pas menang 27 kerusi Parlimen, ketika Pas berkawan dengan DAP dan PKR,” katanya.

Dalam pada itu, kata Salahuddin, Pas tidak perlu berteka-teki sebaliknya perlu bersikap jelas  mengenai hubungannya dengan Umno.

"Kalau mereka bersungguh-sungguh (niat bersama Umno), kita jelas. Sudah ada tanda-tanda besar, kapal berlayar ke Myanmar dan mereka bersama dalam satu pentas. Jadi PH/Bersatu akan lawan BN/ Pas. Ini lebih mudah untuk rakyat membuat pilihan," katanya.

Tuesday, 21 February 2017

PIMPINAN KERAJAAN KELANTAN TIDAK 'GENTLEMEN'


KOTA BHARU – Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah), Husam Musa hari ini membidas pimpinan kerajaan Kelantan yang didakwa tidak memberi ruang untuk berdebat dan berucap di pentas program ‘Husam Lari Dari Debat Baiah’ yang berlangsung malam tadi.

Menyifatkan pimpinan kerajaan Kelantan tidak ‘gentleman’, katanya, beliau kecewa apabila peluang untuk berdebat dihalang oleh Adun Meranti, Datuk Nasaruddin Daud.

“Ingatkan malam ini debat bai’ah akan berlangsung. Malang! Bukan Husam lari. Husam mari. Namun, ia hanya menjadi majlis mempamerkan pimpinan Kerajaan Kelantan tidak gentleman.

“Jangkaan saya akan diberi berucap sepatah dua meleset. Untuk makluman Meranti (Nasaruddin) saya masih bersedia berdebat bila-bila masa dengan beliau,” katanya dalam kenyataannya menerusi Facebook, malam tadi.

Suasana tenang di  Ceramah “Husam Lari dari Debat Baiah” bertukar riuh apabila Husam tiba-tiba muncul di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV itu.

Husam yang tiba jam 11 malam sewaktu Yang Dipertua Pas Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh sedang memberi ucapannya dilihat menaiki pentas utama dan duduk bersama pemimpin Pas yang lain.

Tindakan tersebut telah menimbulkan ketidakselesaan penonton mahupun pemimpin yang ada di atas pentas itu, sekali gus dilemparkan dengan kata-kata yang tidak sopan oleh beberapa penyokong yang hadir.
Sinar

VIDEO 1

VIDEO 2

Thursday, 16 February 2017

UMNO KELANTAN AJAK RAKYAT HADIR HIMPUNAN RUU 355

UMNO Kelantan meminta rakyat negeri ini turut hadir ke Himpunan Rang Undang Undang 355 (RUU 355) bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha untuk mendaulatkan Islam di negara ini.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md Alwi Che Ahmad (gambar) berkata umat Islam wajib hadir bagi menunjukkan rasa tanggungjawab mendaulatkan Islam.
Katanya, setiap umat Islam tidak mengira parti politik perlu hadir bagi menyatakan sokongan terhadap usaha PAS dalam meletakkan Islam di peringkat tertinggi.
"Ketepikan soal politik dalam isu ini kerana Islam adalah milik semua dan bukan alat politik semata-mata," katanya.
Alwi berkata, himpunan ini bukanlah demonstrasi tetapi untuk menunjukkan dalam Islam, seluruh umat bersatu tidak mengira fahaman bagi mendaulatkan hukum agama.
"Kita ingin tonjolkan bahawa undang-undang Islam perlu diperkasakan dan rakyat sokong RUU 355," katanya.
Himpunan itu akan diadakan pada Sabtu ini di Padang Merbok, Kuala Lumpur dan dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 umat Islam dari seluruh negara.

POLIS BENAR ANJUR PERHIMPUNAN RUU 355 SABTU INI

Polis memberi kelulusan kepada pihak penganjur Perhimpunan RUU355 untuk mengadakan perhimpunan aman di Padang Merbok, di sini Sabtu ini bermula 3 petang hingga 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman berkata penganjur dan peserta perhimpunan perlu mematuhi peraturan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pada hari itu, Dataran Merdeka dan sebahagian Jalan Parlimen pula akan ditutup mulai 8 pagi hingga 12 tengah malam, katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada 24 November lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
Pas dalam sidang media hari ini menjangkakan kira-kira 200,000 orang hadir Perhimpunan RUU 355 anjuran parti itu di Padang Merbok, Sabtu ini.
Ketua PeneranganPas  Pusat Nasrudin Hassan Tantawi berkata perhimpunan bertemakan 'Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera' itu akan bermula 2 petang sehingga 11 malam dan menampilkan 21 pemidato termasuk pemimpin bukan Islam.
Pada sebelah malam pula akan diadakan majlis munajat/solat hajat perdana memohon RUU itu diluluskan.
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Januari lalu dipetik berkata himpunan itu bertujuan menunjukkan sokongan orang Islam terhadap RUU itu, selain memberi penjelasan mengenainya kepada orang bukan Islam.
“Ia dapat membangkitkan semangat umat Islam dalam menghadapi tentangan pihak yang tidak memahami dan cuba ambil kesempatan sehingga boleh mencetuskan suasana tidak harmoni,"katanya.


Monday, 13 February 2017

EMPAT WAKIL RAKYAT DAP KELUAR PARTI



Empat wakil rakyat DAP di Melaka bertindak keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu.

Empat wakil rakyat DAP itu terdiri dari Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Goh Leong San, Lim Jack Wong (Bachang), Chin Choong Seong (Kesidang).

Bercakap di sidang media hari ini, Tong Him yang mewakili tiga lagi wakil rakyat itu memberitahu selain hilang keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada, mereka juga kecewa dengan kepimpinan DAP hari ini.

Tong Him mendakwa DAP kini sudah tersasar dari matlamat perjuangan asalnya.

Katanya, mereka akan terus memberi khidmat kepada rakyat sebagai wakil rakyat bebas.

Pada 2016, Tong Him dan Leong San telah digantung keahlian oleh lembaga disiplin DAP kerana mencemarkan nama parti atas tindakan undang-undang terhadap ahli parti yang lain.

Sunday, 12 February 2017

PM @NajibRazak GARIS TIGA RESEPI KEJAYAAN PRU

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu malam menggariskan tiga resepi kejayaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang - keazaman, semangat pasukan dan strategi yang tepat. 

Menggunakan analogi kejayaan pasukan Baiduri dari Perak yang muncul juara acara badminton sempena program tahunan isteri wakil-wakil rakyat BN di sini, Sabtu, perdana menteri berkata, tiga resepi itu perlu menjadi panduan dan asas untuk mencapai kejayaan.
"Menang atau kalah dalan badminton itu soal kedua, (sebenarnya) yang penting menang pilihan raya," katanya ketika berucap pada majlis penutup program itu.

Baiduri, Badan Amal dan Usaha Negeri Perak, yang diwakili isteri wakil-wakil rakyat BN Perak, muncul juara badminton berpasukan selepas menewaskan pasukan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti). 

"Saya melihat kejayaan Baiduri menang, kita mesti jadikan panduan... kita mesti ada perasaan nekad, keazaman untuk mencapai kejayaan. Ada keazaman, InsyaAllah akan mencapai kejayaan.

"Yang kedua, semangat sepasukan yang saya lihat begitu padu, (ia seperti) satu keluarga, satu ikatan yang tidak boleh dirungkai-rungkaikan oleh sesiapa dan ketiga untuk mencapai kejayaan, kita perlulah mempunyai strategi," katanya.

Turut hadir, isteri beliau merangkap Yang Dipertua Bakti Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; dan beberapa menteri, timbalan menteri serta menteri besar.

Program tahunan itu bermula sejak 7 Februari lepas dan disertai 14 badan amal isteri wakil-wakil rakyat dari seluruh negara.

Najib turut meminta isteri wakil-wakil rakyat BN memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu rakyat.

"Menerusi badan amal dan isteri wakil-wakil rakyat ini, kerja kebajikan merupakan satu lagi saluran membantu rakyat yang dilanda musibah seperti banjir dan sebagainya," kata beliau.
Beliau berkata, sekiranya isteri wakil-wakil rakyat boleh menjayakan peranan itu dan mempamerkan wajah yang prihatin terhadap rakyat, ia boleh menyumbang kepada kejayaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu pada program petang Sabtu, Najib menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan badminton dan boling yang merupakan dua acara dipertandingkan pada program tahunan itu. 
Bernama